Pages

Aroma seksi Marsha + Julie Woon



SAMBUTAN Hari Natal yang jatuh pada hari ini tetap disambut dengan cara tersendiri oleh dua selebriti tempatan, Marsha, 26, dan Julie Woon, 27. Malah, tiada apa bezanya dengan penganut Kristian yang lain kerana saban tahun setiap kali perayaan Krismas ini menjelma, meluangkan masa bersama keluarga antara satu kemestian.
Menyatukan kedua-duanya untuk sesi muka depan B*POP kali ini juga atas alasan mereka mempunyai persamaan yang nyata kerana kecenderungan memilih lelaki Melayu sebagai arjuna hati. Selain kedua-duanya juga mempunyai 'aroma' seksi dalam bergaya dan personaliti.
Demi meraikan keghairahan kedua-duanya, tema color blocking dipersembahkan dengan ilham idea pereka fesyen, Hazree Wahid. Warna rona merah menjerit memang cukup sinonim dengan sambutan Krismas, malah turut menjadi pilihan Santa Claus yang sinonim dengan perayaan ini.

Gandingan ini menjadi pertemuan kali kedua untuk bintang Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) dan personaliti 8TV menerusi program Quickie itu. Kali pertama mereka bersua ketika Marsha menjadi artis undangan program 8TV Whack It yang dihoskan Julie dan Prem Shankar.

Mengimbas kembali sisi peribadi, Marsha pernah diingati dengan cinta bersama rakan seperjuangannya di AF3, Kefli dan jejaka dengan huruf pangkal Z di mana kedua-duanya sudah pun berakhir. Kini, Marsha sedang bahagia dengan kerabat Pahang, Tengku Burn sejak cinta mereka mula bersemi beberapa bulan lalu.

Julie pernah diingati dengan hikayat cintanya bersama Qushairi atau Qi. Namun, cinta itu yang berputik sejak sama-sama berlakon dalam drama Blogger Boy sudah lama berakhir. Kini, Qi diketahui umum sedang meniti bahagia bersama penyanyi popular, Yuna.
Bagi Marsha yang sedang sibuk melunaskan baki penggambaran drama Bicara Hati arahan Osman Ali bagi siaran Astro Prima (Selasa, jam 9 malam bermula 3 Januari depan), saat ditanya mengenai kamar hatinya, dia memilih untuk tidak terus menyembunyikan status hubungannya dengan Tengku Burn.

"Lebih baik saya berterus-terang dan mengaku. Kalau tak cakap perkara betul selagi itu pasti ada yang akan cuba mencari kesahihan. Tak kisahlah kalau ada yang tak suka jika saya memilih untuk tidak berselindung. Apa yang boleh saya katakan, saya gembira bersamanya selepas tiga bulan kenal rapat," katanya yang merancang lebih-lebih mengenai fasa hubungannya dengan Tengku Burn kerana bimbang apa dirancang tak menjadi.

Dalam sisi lain, 2011 turut dicemari kontroversi buat wanita kelahiran Michigan, Amerika Syarikat ini. Gimik kononnya berkahwin secara rahsia di di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan dituduh cuba melakukan cubaan membunuh diri dengan mengambil pil secara berlebihan antara contoh.

"Ada yang positif dapat saya raikan tahun ini terutama memiliki album dan tidak kurang juga kontroversi yang cukup menyesakkan jiwa. Tahun 2011 tahun cukup mencabar diri. Kontroversi yang terjadi bukan dibuat-buat atau disengajakan terutama berkaitan gimik kahwin itu.

"Tiada niat pun untuk saya mencipta publisiti murahan sebegitu. Cuma apabila disalah tafsir dan jatuh hukum, ia jadi lain. Tapi saya tidak mahu lagi mengenang kisah lalu. Saya nak buka buku baru sempena kedatangan 2012 beberapa hari lagi.

"Musim 2012 juga menjadi tahun untuk saya terus memberi tumpuan terhadap kerjaya. Banyak lagi saya ingin capai sejak tahun lalu, namun belum menjadi kenyataan. Perniagaan jeans saya pun belum terbukti dan lagu dihasilkan pun tidak memberi impak. Harap-harap saya tidak terus dibayangi dan dihantui kontroversi lalu," katanya yang bergandingan dengan Sharnaaz Basir Ahmad dam Cris Cempaka dalam drama Bicara Hati.

Ditanya mengenai sambutan Krismas tahun ini, Marsha yang berada di bawah pengurusan syarikat Laugh Out Loud (LOL) Entertainment Sdn Bhd diberi pelepasan bercuti daripada berlakon sejak 23 hingga 27 Disember ini. Bagaimanapun tahun ini, Marsha hanya menyambutnya di Kuala Lumpur saja.

"Selalunya saya sambut Krismas di Sabah dan kadang-kadang keluarga saya pun turun Kuala Lumpur. Cuma tahun ini kami tak beraya sakan sangat sebab masih dalam proses berkabung sejak kematian datuk, Basanda Ponguk, dua bulan lalu. Kehilangannya masih dirasai apatah lagi saya cukup rapat dengannya.

"Saya hanya beraya dengan abang dan mungkin lepak dengan kawan-kawan. Rutin biasa bertukar-tukar hadiah tak dilupakan. Mujur saya sempat belikan hadiah sejak dua minggu lalu kerana ada undangan persembahan di Sabah. Jadi alang-alang sudah tahu tak balik beraya, saya sudah belikan hadiah untuk keluarga.

"Sekarang kalau beli hadiah untuk perayaan ini, saya sudah mula merancang bajet. Tidak seperti awal kemunculan AF3, saya memang boros dan beli hadiah sesuka hati. Kenangan bersama mendiang datuk juga masih terasa hingga kini," katanya yang turut diundang berlakon dalam telefilem Penjara arahan Michael Ang bersama pelakon seperti Erra Fazira, Elliza Razak, Zarina Zainoordin, Sharifah Shakinah dan Azza.

Julie tak kisah dapat jodoh lelaki Melayu

BAGI Julie Woon, seperti biasa dia akan menyambut Krismas di Kuala Lumpur. Kali ini, dia meraikannya bersama ibu tersayang kerana bapanya berada di Sabah, abangnya di Manchester, England. Tiada persiapan khusus dilakukan kerana apa yang penting baginya ialah mensyukuri nikmat kehidupan yang dilalui ini.

Kata Julie, makan besar antara yang dinanti-nantikan setiap kali tiba Krismas. Rutin bertukar hadiah sesama sendiri tak sesekali dilupakan. Krismas ini juga masa terbaik untuknya memberi hadiah kepada mereka yang kurang bernasib baik.

"Makan besar selalunya bukan hanya pada malam Krismas bersama keluarga dan sanak saudara. Empat hari sebelumnya pun sudah ada sesi makan besar dengan kawan-kawan. Saya juga bercadang untuk menurut jejak kawan untuk membuat amal menjelang Krismas.

"Kawan saya setiap tahun akan membeli apa saja makanan atau barangan untuk dikongsi dengan mereka yang memerlukan atau tidak mempunyai tempat tinggal. Tahun lalu, kawan saya membeli 200 burger untuk diagihkan kepada masyarakat miskin di sekitar tempat tinggalnya. Jadi, saya pun nak buat benda yang sama tahun ini.

"Selain itu, kenangan bertukar hadiah yang dipanggil Secret Santa juga masih diingati. Dulu saya sesama kawan akan melakukan cabutan bertuah dengan bertukar hadiah secara rahsia dengan bajet paling maksimum sebanyak RM50. Bererti, kami menerima hadiah tanpa mengetahui siapa pemberinya," kata pengacara Take Me Out versi Malaysia itu.

Musim 2012 juga menjadi tahun ketiga Julie bersama 8TV Quickie. Julie juga menjadi antara pengacara perintis program berkenaan bersama Prem dan Zher. Kini bilangan hos program terbabit turut bertambah, selain hubungannya dengan kru dan hos 8TV Quickie semakin erat.

Julie mula membabitkan diri dalam bidang pengacaraan sejak enam tahun lalu dan mengakui peluang dibuka 8TV kepadanya menjadi landasan terbaik memasarkan diri dalam liga seni. Selain mengacara, berlakon iklan dan drama, Julie juga aktif menjadi pengacara majlis.

"Kerjaya ini juga membuka ruang mengembara ke negara orang. Tahun ini saja saya dapat ke Sepanyol dan Itali kerana terbabit dalam kerja mengacara. Tahun depan, saya mahu mengembara lagi untuk menimba pengalaman," katanya yang meletakkan soal cinta di tangga kedua selepas kerjaya.

Sambil berseloroh, Julie memberitahu, dia merancang bertunang pada 2013 dan berkahwin sekitar 2014.

Difahamkan selepas putus cinta dengan Qi, dia sempat bertemu pengganti dengan lelaki Cina yang juga kawan kepada pengurusnya. Mereka saling mengenali ketika Julie terbabit dalam penggambaran telefilem Qalbu di Ipoh, Perak. Lelaki itu bukan orang seni dan tinggal di Australia dan sesekali pulang ke Malaysia.

"Tapi hubungan itu sudah putus sejak dua bulan lalu. Kini saya ada berdating dan terbuka dalam soal berkawan. Saya pun tak kisah berkawan dengan lelaki Melayu atau Cina. Kalau ada jodoh dengan lelaki Melayu atau disyorkan sesiapa, saya OK saja," katanya yang cuba berselindung mengenai status sebenar dirinya kini sama ada sudah bertemu pengganti atau tidak.

PROFIL Marsha
Nama: MARSHA MILAN LONDOH
Tarikh lahir: 6 DISEMBER 1985
Tempat lahir: MICHIGAN, AMERIKA SYARIKAT
Filem: CUN, 4 MADU, MAGIKA, SENARIO EPISODE 2: BEACH BOYS, SAUS KACANG, MISI 1511
Drama: MIMI MENCARI CINTA, KUM KUM, AWAN DANIA 3, SERIBU KALI CINTA, DOTTIE, K.I.T.A, HOTEL MANIA, MEGA SEKEPING HATI, KORBAN 44, KERANA KARINA

PROFIL Julie Woon
NAMA KOMERSIAL: Julie Woon
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
TARIKH LAHIR: 21 Julai 1984
PENDIDIKAN: Diploma Pemasaran & Perakaunan Kolej Metropolitan
KARIER: Pengacara, pelakon dan model
IKLAN: HSBC, Sony Handycam, Maxis, Volkswagen, 1Utama, Canon, Myeg

ANTARA DRAMA & TELEMOVIE: Tin Kei Bin, Like Sunshine After Rain (drama Mandarin), Perfect Match (drama Taiwan), Blogger Boy musim pertama dan kedua, Rembak, Qalbu

PENGACARA PROGRAM: Absolute Football menerusi saluran Astro SuperSport (2006), Championship Gaming Series (Astro Star World/ 2007), Motorsports@Petronas (ESPNStarSports/ 2008), Motorsports@ Petronas (ntv7/ 2009), 8TV Quickie, Looking Good With Watson.

Penghargaan
Solekan: Marsha (Jijie Zainal, gg_dayantee@yahoo.com, www.facebook.com/jijie.zainal) dan Julie Woon (Chomel Redza, chomel.redza@gmail.com)
Busana: Hazree Wahid (hazreewahid@yahoo.com, www.twitter.com/hazreewahid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan