Pages

Neelofa Reka Kasut Persandingan Ezlynn RM20,000

 
 
Majlis resepsi perkahwinan penyanyi Ezlynn pada 11 Januari ini bukan sahaja bakal bergemerlapan dengan berlian dan aksesori tajaan Rafflesia Pearl Wedding, malah ia tambah berseri apabila kasut penyanyi itu mendapat sentuhan rekaan khas pelakon jelita Neelofa.
 
Neelofa berkata dia menerima peluang untuk menghasilkan kasut bernilai RM20,000 itu daripada perunding perkahwinan Bill Bora yang memberikan platform untuk memperagakan kreativitinya dalam rekaan kasut.
 
"Pada awalnya, saya memang tidak pasti untuk menerima tawaran menghasilkan kasut perkahwinan Ezlynn kerana saya tidak pernah mereka kasut untuk majlis perkahwinan sebelum ini, apatah lagi untuk seorang selebriti.
 
"Kepercayaan yang diberikan itu menyuntik keyakinan kepada saya. Saya mengambil masa selama sebulan sejak Disember lalu untuk membuat kajian dan menyiapkan rekaan terbaik yang bersesuaian dengan tema musim luruh di Sepanyol itu," katanya kepada mStar Online selepas menghantar kasut tersebut untuk dicuba oleh Ezlynn, petang Isnin.
 
Bercerita lanjut, Neelofa berkata idea rekaan kasut tersebut diperoleh secara spontan ketika dia sedang mengelamun sebelum melelapkan mata pada minggu terakhir, Disember lalu.
 
"Sebelum ini, saya sudah melakukan beberapa draf dan pengubahsuaian pada rekaan kasut tersebut sehinggalah ilham muncul secara spontan sebelum saya masuk tidur pada satu malam, kira-kira dua minggu lalu.
 
"Selepas itu, saya mula melakukan pengubahsuaian terakhir sebelum menghantar rekaan muktamadnya kepada pengeluar dan siap dihantar kepada Ezlynn pada petang Isnin," katanya.
 
 
Ilham rekaan muktamad kasut bernilai RM20,000 ini muncul secara spontan sebelum Neelofa melelapkan mata pada satu malam, kira-kira dua minggu lalu.
Kasut berwarna emas yang menggabungkan renda, permata Rafflesia dan berlian Swarovski itu direka bentuk agar sepadan dengan baju pengantin rekaan tiga pereka muda iaitu Nurliza Azulkarnain, Sya Shaharani dan Sharifah Mariam Syed Mohd.
Majlis resepsi itu akan berlangsung pada Rabu ini di Hotel Crowne Plaza Mutiara dan bakal diserikan dengan paduan warna tema emas, kuning dan perang.
 
Ezlynn sah bergelar isteri kepada pengurusnya, Adam Fahmi, 35, pada 20 November lalu dalam satu upacara yang berlangsung di Sime Darby Convention Centre, di sini.
 
Sementara itu dalam perkembangan lain Neelofa mengakui berasa teruja mengendalikan Nona bersama Fara Fauzana pada Ahad lalu bagi menggantikan Vanidah Imran.
 
"Saya berasa seronok dengan pengalaman baru ini. Walaupun kami tidak bergandingan secara langsung sebagai pasangan pengacara, sekurang-kurangnya waktu-waktu yang terluang di antara rakaman program itu dapat saya gunakan untuk bertanyakan tip daripada Fara yang jauh lebih berpengalaman.
 
"Saya bertuah kerana Fara seorang pengacara yang tidak lokek ilmu dan banyak membantu dalam melancarkan pengendalian saya dalam program tersebut," katanya.
 
Dalam pada itu, duta produk kecantikan Avon ini juga sempat berkongsi kegembiraannya apabila tersenarai sebagai calon lima teratas bagi kategori Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011), April depan.
"Saya tidak harapkan kemenangan, tersenarai dalam kategori ini pun sudah cukup menggembirakan bagi orang baru seperti saya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan