Pages

‘Objek Terapung Itu Anak Saya’


KOTA BHARU – Seorang ibu yang sedang mencari anak bongsunya berusia 15 bulan yang hilang dari rumah di Pantai Mek Mas di sini kelmarin tidak menyangka menemui bayi itu dalam keadaan terapung di kuala sungai belakang rumahnya.
Ketika ditemui pada pukul 2 petang, Nik Muhd. Iqbal Azim Nik Ruslan disahkan sudah tidak bernyawa selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mangsa.
Ibu mangsa, Lini Abdullah, 27, berkata, sebelum kejadian dia sedang melakukan kerja rumah di dapur manakala Iqbal Azim pula bermain seorang diri di ruang tamu.
Wanita itu mula menyedari anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu hilang pada pukul 1.30 petang selepas bayi itu tiada di ruang tamu sebelum dia keluar mencarinya di sekitar kawasan rumah.
"Sewaktu saya dan sepupu mencari Iqbal Azim, saya tergerak hati untuk pergi ke sungai dan terkejut apabila ternampak satu objek terapung di sungai.
"Sebaik diamati, rupa-rupanya objek terapung itu ialah anak saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan