Soalan: Ustaz, saya ingin bertanya apa hukumnya jika seseorang itu mandi sebelum waktu berbuka iaitu kira-kira setengah jam sebelum berbuka untuk memudahkannya untuk menunaikan ibadah jemaah maghrib di surau akibat kekotoran setelah bersukan? harap Ustaz dapat jelaskan
Jawapan: Berdasarkan hadis Nabi s.a.w., mandi adalah harus bagi orang berpuasa sama ada untuk menyucikan diri atau untuk meredakan kelesuan badan kerana puasa. Keharusan mandi untuk menyucikan badan (dari hadas besar), sabit di dalam hadis dari Aisyah r.a. dan Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; "Rasulullah s.a.w. bangun pagi (setelah masuk waktu subuh) dalam keadaan berjunub, kemudian baginda mandi dan berpuasa" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).
Adapun mandi dengan tujuan menyejukkan badan untuk meredakan keletihan puasa, keharusannya sabit dalam hadis dari beberapa sahabat Nabi s.a.w. yang menceritakan; "Kami telah melihat Rasulullah s.a.w. ketika berada di satu kampong Arab bernama al-'Araj, baginda mencurah air ke atas kepalanya ketika baginda sedang berpuasa untuk meredakan dari lapar atau dari kepanasan" (HR Imam Abu Daud dan al-Hakim).
Kesimpulannya, mandi pada bila-bila masapun hukumnya harus bagi orang berpuasa berdalilkan hadis di atas kerana tujuan mandi tidak lari dari apa yang dilakukan Nabi s.a.w. tersebut. Namun hendaklah ketika mandi itu jangan berlebihan hingga air masuk ke kerongkong (terutamanya orang yang mandi dengan berendam/berenang) atau air masuk ke dalam corong telinga (yang mengikut sebahagian ulamak akan membatalkan puasa).
Wallahu a'lam.
Rujukan:
1. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 3/78.
2. al-Wajib Fi Fiqh as-Sunnah Wa al-Kitab al-'Aziz, Dr. Abdul-Adziem Badawi, hlm. 204.
3. Fiqh al-'Ibadat, Syeikh Hassan Ayyub, hlm. 435.
2. al-Wajib Fi Fiqh as-Sunnah Wa al-Kitab al-'Aziz, Dr. Abdul-Adziem Badawi, hlm. 204.
3. Fiqh al-'Ibadat, Syeikh Hassan Ayyub, hlm. 435.
sumber: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan