Pages

Penggali kubur maut tertimbus dalam lubang

TEMERLOH: Seorang penggali kubur maut selepas kubur yang sedang digalinya tiba-tiba runtuh dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Penak, dekat sini, jam 10 pagi semalam.
Ketika kejadian, mangsa, Mohd Zailan Hitam @ Hamid, 46, sedang menyiapkan liang lahad sambil diperhatikan bapanya yang berusia 60-an serta seorang rakan, Mohd Nasir Musa, 40.

Mohd Zailan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala lehernya patah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood ketika mengesahkan insiden itu berkata, Mohd Zailan sedang menyiapkan kubur seorang warga emas, Minah Ishak, 76, yang meninggal dunia malam kelmarin akibat sakit tua.

"Mohd Zailan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan lehernya patah. Insiden itu berlaku ketika mangsa sedang berusaha menyiapkan bahagian liang lahad.

"Secara tiba-tiba, tebing kubur runtuh dan menimbus keseluruhan badan mangsa. Mangsa tertimbus lebih setengah meter. Hanya kaki kanan mangsa saja dilihat terjulur keluar.
"Bapa, rakan serta beberapa penduduk yang berada di kawasan berkenaan menjalankan kerja awal untuk membantu menyelamatkan mangsa dengan mengorek tanah menggunakan tangan dan berjaya mengeluarkan mangsa beberapa minit kemudian.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, semalam.
Zundin berkata, polis menolak kemungkinan unsur jenayah dan menyifatkan sebagai kemalangan biasa.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat dan sudah dituntut ahli keluarganya semalam.

Sementara itu, sepupu mangsa, Zainal Abidin Mohamad Ali, 48, berkata kejadian itu berlaku kira-kira lima minit selepas dia pulang ke rumah Minah memaklumkan perkembangan kubur yang sedang digali.

"Tiba-tiba, saya menerima panggilan rakan memberitahu kubur yang digali itu runtuh dan menimbus arwah. Saya bergegas kembali ke tanah perkuburan dan sebaik tiba, saya lihat tangan dan kaki kanannya terjulur keluar. Kami mengorek tanah dengan tangan kerana bimbang dia cedera jika menggunakan cangkul.

"Ketika itu juga saya terdengar bunyi rengusan yang agak kuat dari arwah. Saya yakin arwah sedang berada dalam keadaan yang sangat sakit serta menderita. Hampir menitis juga air mata saya. Beberapa minit kemudian, kami berjaya mengeluarkannya dan ketika itu dia sudah nyawa-nyawa ikan. Dia meninggal sebelum ambulans tiba," katanya.

Jenazah Mohd Zailan dikebumikan di tanah perkuburan sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan