Pages

Guru sekolah Mesir tuntut cerai daripada suami pro-Morsi

Kaherah: Seorang guru sekolah Mesir memfailkan tuntutan cerai daripada suaminya, seorang penyokong kuat Presiden Mohammad Mursi, yang dilaporkan sering mendera dan memukulnya kerana mengkritik dasar pemimpin berkenaan, lapor media tempatan, semalam.

Dalam tuntutan difailkan di sebuah mahkamah keluarga Kaherah, wanita berusia 31 tahun itu berkata beliau sering kali dipukul suaminya, 36, yang berbeza pendapat mengenai Morsi sejak pemimpin terbabit mengambil alih tugas setahun lalu, lapor akhbar bebas, Al Youm Al Saba.
Diserang secara fizikal


Setiap kali Morsi menetapkan satu keputusan, masalah besar tercetus antara pasangan suami isteri itu sehingga memaksa si isteri meninggalkan rumah selepas diserang secara fizikal oleh suaminya, kata dokumen mahkamah terbabit.

Beberapa usaha oleh keluarga pasangan itu untuk menyelamatkan perkahwinan mereka selama 12 tahun berkenaan tidak menunjukkan hasil.

Dia terlalu berkeras memberikan sokongan melulu terhadap Morsi.

Saya tidak boleh lagi bertahan untuk hidup dengan lelaki ini. Jadi saya memutuskan untuk ke mahkamah, kata wanita yang dipetik melalui dokumen mahkamah berkenaan.
Sifatkan isteri tak bijak

Bagaimanapun suaminya, seorang kakitangan kerajaan memberitahu mahkamah bahawa perbalahan mereka tidak terlalu serius. Sebaliknya menyifatkan isterinya itu sebagai tidak bijak kerana memilih mahkamah bagi menyelesaikan mahkamah mereka.

Dalam perbalahan kami mengenai Presiden Morsi, isteri saya terlalu provokatif.

Beliau sering mempermainkan keputusan Morsi dan mendengar kepada saluran televisyen beracun yang menyebarkan penipuan mengenai presiden terbabit, kata dokumen mahkamah yang memetik suami berkenaan.

Mahkamah belum lagi memutuskan permohonan cerai wanita berkenaan.

Morsi sejak beberapa bulan kebelakangan ini sering mendapat kritikan dari pembangkang yang mendakwa kegagalan beliau dalam memenuhi objektif revolusi yang membawa kepada pemerintahan beliau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan