Pages

Tempat berhantu tarikan pelancong

KAWASAN penempatan, mahupun kemudahan yang terbiar tanpa digunakan untuk tempoh yang agak lama, layak digelar sebagai tempat 'berhantu' kerana ia menimbulkan perasaan takut kepada mereka yang melihatnya atau bersiar-siar di situ.
Hal ini kerana, pada masa dahulu, kawasan dan kemudahan ini adalah merupakan lokasi strategik bagi orang ramai, bukan sahaja untuk mencari rezeki, malah untuk bersosial dan berhubung.
 
Di beberapa kawasan di dunia ketika ini, masih terdapat kapal terbang, kereta api, rumah-rumah dan juga lapangan terbang serta lombong yang kesemuanya terbiar sejak berdekad lalu.
Fenomena ini agak pelik kerana ada antara bangunan dan kemudahan itu sebenarnya masih elok dan mampu menjana ekonomi setempat.
Namun, ia kekal berdiri sebagai monumen, rentetan kepada keadaan ekonomi yang berubah, pergolakan politik, peperangan dan bencana alam buatan manusia tetapi terbiar begitu saja.
 
Kita mungkin masih ingat akan bencana nuklear Chernobyl di Ukraine pada 1986.
Ia mengakibatkan kira-kira 50,000 penduduk dari bandar Pripyat yang terletak tiga kilometer dari lokasi kejadian itu terpaksa dipindahkan.
Kini selepas 27 tahun tragedi tersebut, bandar itu yang diisytihar sebagai zon tercemar dibiarkan tanpa sebarang penghuni dan menjadi 'bandar berhantu'.
Bagaimanapun, ia mula menjadi destinasi pelancongan popular kembali, kerana tinggalannya seperti kompleks dan penempatan loji nuklear, Istana Kebudayaan dan tapak pesta dengan roda berpusing masih tersergam sehingga sekarang dan menarik kunjungan orang ramai.
Selain di Ukraine, bandar Kolmanskop di Namibia, selatan Afrika turut menerima nasib serupa menjadi bandar perlombongan berhantu selepas ditinggalkan sejak 1950-an.
Ia menjadi sepi selepas Perang Dunia Kedua dan kejatuhan harga berlian menyaksikan syarikat lombong di situ menutup operasinya dan berpindah ke wilayah Oranjemund.
 
Keadaan itu mengakibatkan rumah pekerja lombong yang terbiar mula dimasuki pasir dari gurun dan ia kini dimasukkan ke dalam Taman Negara Sperrgebiet di Namibia.
Hal serupa turut berlaku di bandar Varosha yang merupakan destinasi popular pelancongan pantai yang terletak di utara Cyprus.
Pencerobohan Turki pada 1974, bagaimanapun menyaksikan bangunan-bangunan hotel tersergam indah di situ terbiar sepi dan ia kini dipagar bagi mengelak dimasuki penceroboh.
Turut menerima kesan serupa akibat pencerobohan Turki itu adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Nicosia.
Ia pada mulanya merupakan lapangan terbang utama bagi negara kepulauan itu, namun sejak insiden berkenaan, beberapa pesawat, malah ruang utama kemudahan tersebut dibiarkan begitu sahaja sehingga kini dan ia menjadi kawasan yang sunyi.
Di Amerika Syarikat (AS), bangunan terbiar yang paling popular dan ditinggalkan begitu sahaja adalah Stesen Sentral Michigan di Detroit yang merupakan hab industri keluli dan automotif negara itu.
Selama beberapa tahun, stesen itu yang menempatkan depot kereta api di pinggir bandar Detroit terus berdiri gah sebagai simbol yang menghantui kejatuhan bandar tersebut.
 
Kereta api terakhir yang menggunakan stesen itu ialah pada 1988, tidak lama selepas Honda Accord muncul sebagai kereta terlaris di Amerika.
Seiring dengan tema industri, kewujudan kubur besar kereta api di daerah Uyuni, selatan La Paz dekat Bolivia dan di Thessaloniki, di Greece menjadikan kawasan itu turut muncul sebagai sebuah lokasi yang agak pelik dan menakutkan.
Kepulauan Battleship di Jepun, turut menjadi mangsa 'penempatan berhantu' setelah industri lombong arang batu di bawah pulau itu berhampiran Pelabuhan Nagasaki dihentikan.
Hal ini kerana, kompleks kediaman yang didiami pekerja dan keluarga mereka terus dibiarkan kosong selepas ia ditutup.
Selain kawasan penempatan terbiar di Jepun, taman tema Nara Dreamland juga menjadi taman hiburan 'berhantu' selepas ia tidak terusik sejak ditutup pada 2006, berikutan kekurangan pengunjung, walaupun telah beroperasi sejak 1961.
Sementara itu di Britain, kubu Maunsell Forts yang terletak di muara Sungai Thames turut tidak terkecuali menjadi kawasan yang menakutkan di negara itu.
 
Kubu itu, yang dibina semasa Perang Dunia Kedua bagi mempertahankan Britain ditutup sekitar 1950-an, namun digunakan untuk pelbagai aktiviti lain selepas itu.
Namun, sebuah konsortium kini bercadang untuk memelihara semula kubu itu di bawah Projek Redsands.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan