Pages

Hantu Kapcai juara carta

Pada mulanya mereka agak risau untuk mempertaruhkan genre komedi aksi, memandangkan pasaran industri perfileman kini yang agak sukar untuk dijangkakan. Namun risiko diambil Showbiz Productions menerbitkan filem Hantu Kapcai dikatakan berjaya membuahkan hasil.

Elemen rempit dan hantu yang ditonjolkan di dalamnya meletakkan filem berkenaan pada kedudukan teratas carta pecah panggung hujung minggu lalu, mengatasi filem animasi Hollywood, Hotel Transylvania, dengan anggaran kutipan kasar lebih RM2 juta dalam tempoh empat hari tayangan sejak ia ditayangkan 27 September lalu.
Penerbitnya, Jaja Nadzir, tidak menyangka sambutan begitu baik diberikan peminat kepada filem terbabit, ketika judul lain sukar untuk mencatat pungutan memberangsangkan.

Saya dimaklumkan, filem ini mendapat kutipan harian tertinggi sejak ditayangkan dan ia meningkat pada setiap hari. Saya mengharapkan Hantu Kapcai setidak-tidaknya dapat membantu mengembalikan semula minat orang ramai untuk menonton filem tempatan, seterusnya menolong mengubah suasana suram kutipan.

Sebelum kami memutuskan untuk menerbitkan filem ini, kami agak takut juga jika ia gagal di pasaran. Namun kita berserah saja kepada penonton. Saya masih menunggu jumlah sebenar kutipan dan buat masa sekarang, apa yang saya boleh katakan sambutannya memuaskan, katanya ketika dihubungi, semalam.

Meskipun filem itu diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas, Jaja berpuas hati dengan sambutan diterima dan mengharapkan filem itu mampu mencapai kutipan antara RM3 juta hingga RM5 juta, sehingga akhir tayangan.

Berasakan judul terbabit mampu meraih kutipan lebih tinggi jika diletakkan di bawah klasifikasi Umum, Jaja tetap akur dengan keputusan Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Mungkin babak akhir filem ini, yang memberikan gambaran alam lain, boleh disalah tafsir oleh kanak-kanak. Tetapi apa yang cuba disampaikan pengarah hanyalah imaginasi mimpi saja.

Sudah tentu kita mengharapkan filem ini dapat ditonton semua lapisan umur dan menjadi hiburan sekeluarga. Tetapi itulah keputusan LPF, jadi kita terima saja, katanya.

Garapan sulung Ghaz Abu Bakar itu bukan saja diterima penonton kerana jalan ceritanya yang santai, malah pemilihan pelakon yang tepat juga menjadi faktor ia mendapat sambutan. Filem ini dibintangi Zizan Razak, Fizz Fairuz, Remy Ishak, Hairul Azreen dan Neelofa.

Belum terfikir untuk menerbitkan kesinambungan filem itu, Jaja sebaliknya mahu memfokuskan kepada lima filem terbaru yang akan dikeluarkan Showbiz Productions, tahun depan.

Insya-Allah kalau ada permintaan dan sambutannya cukup memberangsangkan, saya tidak mengatakan tidak untuk menghasilkan susulannya. Buat masa sekarang saya nak fokuskan kepada filem lain pula.

Bagaimanapun saya tidak meletakkan sebarang sasaran, berapa banyak filem kami keluarkan dalam setahun, kerana ia bergantung kepada keadaan pasaran. Namun begitu, kami sentiasa bersedia dengan karya terbaru, katanya yang akan menerbitkan filem berjudul Kahwin 5, hujung tahun ini, diikuti Dendam Orang Mati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan