Pages

SPNB jamin beri pampasan

Kota Kinabalu: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memberi jaminan akan memberi pampasan kepada pembeli rumah jika projek gagal disiapkan mengikut jadual.

Pengarah Urusan SPNB, Datuk Kamarul Rashdan Salleh, berkata pihaknya bersetuju membayar pampasan kepada pembeli yang berhak iaitu mereka yang sudah menandatangani perjanjian jual beli serta mendapat pinjaman bank.
Antara projek perumahan SPNB di Sabah yang bermasalah ialah Putatan Platinum Apartment, Vista Minintod, Penampang serta beberapa projek di Lahad Datu serta Tawau. Semua projek itu lewat siap dari tarikh yang dijadualkan.


Jumlah pampasan atau bayaran lewat siap (LAD) yang akan diberikan kepada pembeli yang berhak akan ditentukan sama ada mengikut harian, mingguan atau bulanan.

Katanya, 50 peratus daripada jumlah pampasan akan dibayar sebelum pembeli memasuki rumah, manakala bakinya pula selepas itu.

"Sebagai agensi kerajaan yang prihatin, SPNB memahami segala kesulitan pembeli seperti dalam soal kewangan apabila projek perumahan tidak siap mengikut tempoh sepatutnya.

"Jadi, kita akan membayar pampasan kepada pembeli yang berhak bagi meringankan beban mereka. Inilah komitmen SPNB untuk membantu mereka," katanya ketika dihubungi BH, baru-baru ini.
Kamarul Rashdan berkata, pihaknya sedar rasa tidak puas hati pembeli rumah projek SPNB yang bermasalah dan meminta mereka bersabar.

"Pelbagai kritikan dilemparkan dan saya akui SPNB agak lemah dalam memberikan penjelasan kepada pembeli...banyak projek kita lewat atas sebab tidak boleh dielakkan seperti masalah pemindahan penduduk di tapak pembinaan.

"Sehubungan itu, SPNB akan memperhebatkan usaha memberikan penjelasan kepada pembeli supaya mereka faham masalah dihadapi SPNB," katanya.

Berhubung projek SPNB di negeri ini tahun depan, Kamarul Rashdan berkata, pihaknya memfokuskan untuk melaksanakan projek Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) serta menyelesaikan projek bermasalah.

"Menerusi Bajet 2013, kerajaan ada mengumumkan sejumlah peruntukan untuk SPNB melaksanakan projek perumahan di seluruh negara. Sudah tentu ada juga untuk Sabah.

"Kita akan gunakan (peruntukan) untuk membina lebih banyak RMR1M dan menyiapkan projek bermasalah. Itu fokus SPNB di Sabah tahun depan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan