Pages

Pandelela: ‘Saya tetap gadis low profile’

PERANAN jurulatih dalam melahirkan atlet pelapis yang berdisiplin dan berdaya saing amat penting terutamanya dari segi teori dan praktikal. Adakah Malaysia sudah memiliki jumlah jurulatih berkaliber untuk membantu atlet pelapis untuk bersaing di persada dunia?
Mungkin nama seperti Bryan Nickson Lomas, Yeoh Ken Nee, Lee Mung Yee dan Pandelela sahaja menjadi perhatian rakyat dan apakah penyelesaian yang perlu dilakukan kerajaan bagi membangunkan imej bidang terjun di persada dunia?
Di manakah atlet pelapis lain yang mampu menjadi  sebalik kemenangan Pandelela Rinong dengan kekurangan jurulatih terutama dalam bidang terjun antara punca atlet muda sekarang kurang menonjol.

Ikuti wawancara Sinar Harian Online bersama penerjun negara, Pandelela Rinong yang berjaya meraih gangsa dalam Sukan Olimpik, London baru-baru ini bagi mengikuti pandangan atlet muda ini mengupas isu jurulatih.

SINAR HARIAN ONLINE: Selepas memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik, apakah tumpuan Pandelela seterusnya?

PANDELELA: Buat masa ini, saya tidak mempunyai apa-apa pertandingan. Saya hanya mahu berehat dan tidak terlibat dalam mana-mana kejohanan. Oleh itu, jurulatih beri kelonggaran untuk saya menghadiri wawancara bersama media dan sebagainya.

Malah, saya mungkin memberi laluan kepada penerjun muda beraksi di Sukan SEA 2013 di Myanmar dan memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia atau Piala Dunia akan datang serta bersedia untuk Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana kehidupan Pandelela selepas meraih pingat gangsa. Apa perbezaan dulu dan sekarang?

PANDELELA: Saya semakin dikenali ramai (ketawa). Tiada apa yang berubah, saya masih seperti dulu. Pandelela dulu dan sekarang tetap seorang gadis yang 'low profile' dan saya sentiasa senang dengan cara begitu walaupun sudah mendapat pingat di Olimpik.

Jadi, saya ingin tegaskan bahawa karakter saya tidak akan berubah walaupun saya sudah memperoleh kejayaan. Saya akan tetap merendah diri sampai bila-bila. Itu adalah diri saya dan tidak akan berubah.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah Pandelela mengharapkan insentif dari kerajaan setelah memenangi pingat gangsa ini?

PANDELELA: Saya tidak terlalu memikirkan insentif lumayan yang menanti atlet, bagi saya, sumbangan kepada kerajaan lagi penting dan itu adalah matlamat saya sebelum ini.

Saya juga menafikan yang saya mempamerkan aksi cemerlang di London adalah kerana ingin insentif dan perhatian daripada kerajaan. Bagi saya, insentif itu akan datang dengan sendiri sekiranya kita berjaya mencipta pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa dan ia boleh dijadikan sebagai perangsang kepada atlet kita untuk memberikan persembahan terbaik.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula sasaran Pandelela pada kejohanan akan datang. Kita juga tahu sebelum ini jurulatih anda, Yang Zhuliang berjanji untuk jadikan Pandelela sebagai penerjun nombor satu dunia. Apa pandangan Pandelela sendiri?

PANDELELA: Saya terharu dengan semangat yang ditunjukkan Zhuliang untuk membimbing saya ke arah itu. Saya betul-betul hargai apa yang dikatakan olehnya. Sebenarnya, tidak mustahil untuk mendapatkan status nombor satu dunia asalkan kita sentiasa berdisiplin dan berani menghadapi cabaran.

Malah saya yakin, dengan adanya jurulatih seperti Zhuliang, kita mampu mencapai sasaran itu.

Bagaimanapun, saya enggan memberikan harapan terlalu tinggi kepada rakyat mahupun jurulatih. Saya harus lebih realistik kerana pesaing dari China amat sukar ditangani dan memecahkan dominasi mereka dalam acara terjun. Apa-apa pun yang saya boleh janjikan, saya akan melakukan yang terbaik dan akan mengekalkan prestasi yang ada sekarang ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Maknanya untuk kejohanan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Pandelela yakin mampu menyumbangkan sebutir pingat kepada negara?

PANDELELA: Perkara itu tidak mustahil. Saya yakin untuk mempertahankan apa yang saya menangi di Olimpik, cuma untuk menjelmakan sebutir emas, saya rasa masih terlalu awal untuk fikirkannya. Apa-apa pun, saya yakin untuk berada di kelompok tiga terbaik.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah demi meningkatkan prestasi, Pandelela ada perancangan untuk mengambil jurulatih peribadi?

PANDELELA: Tidak, saya tidak akan mengambil jurulatih peribadi. Bagi saya, jurulatih sekarang, Zhuliang sudah cukup untuk membimbing saya. Beliau seorang jurulatih yang berkaliber dan mampu membimbing saya menjadi penerjun terbaik nanti.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula pandangan Pandelela mengenai atlet muda sekarang. Boleh dikatakan mereka agak kurang menonjol berbanding Pandelela. Apa sebenarnya menjadi punca mereka kurang menyerlah?

PANDELELA: Bukan mereka tidak mahu menonjol, tapi kekurangan jurulatih antara punca kenapa mereka tidak boleh maju ke hadapan.

Cuba kita lihat, kalu seorang jurulatih dibebani dengan ramai atlet pelapis, adakah mereka sempat untuk mengajar. Ini akan membuatkan perhatian jurulatih dengan atlet agak terhad sekali gus menjejaskan latihan nanti.

Jadi, mereka memerlukan jurulatih yang berkaliber untuk mengajar mereka setiap seorang dan saya yakin dengan adanya ramai jurulatih, atlet pelapis mampu cipta sejarah tersendiri dan mampu menjadi penerjun bertaraf dunia.

SINAR HARIAN ONLINE: Jadi, apakah cadangan anda untuk menangani masalah ini?

PANDELELA: Berdasarkan pemerhatian saya sebagai atlet elit, terdapat 10 hingga 12 orang penerjun pelapis yang amat berpotensi. Bagi membentuk skuad terjun lebih kuat dan disegani dunia, masih banyak perkara yang perlu kita siapkan.

Pada pandangan saya, lebih ramai penerjun bertaraf dunia mampu dimiliki Malaysia jika barisan yang ada ketika ini digilap menerusi pembangunan infrastruktur pusat latihan yang lebih berkualiti seperti China.

Jadi, saya berharap kerajaan akan memberi perhatian dari segi aspek kejurulatihan bagi membantu atlet pelapis dalam membina nama dalam bidang terjun sekali gus membangunkan imej negara di persada antarabangsa.

Akhirnya Zaman Bujang
SINAR HARIAN ONLINE: Sebelum ini, Ibu Pandelela, Hartini memberi lesen untuk Pandelela berkahwin, apa pandangan Pandelela?
PANDELELA: Iyakah? (terdiam seketika). Setiap wanita mengimpikan untuk memiliki keluarga sendiri tetapi, buat masa ini saya ingin menumpukan perhatian terhadap kerjaya selain bekerja bagi mengumpul aset.
Saya masih muda dan sebagai anak muda pelbagai impian ingin saya realisasikan terlebih dahulu seperti memiliki kereta, rumah dan aset lain. Saya juga ingin membantu ibu dan ayah di kampung agar dapat membalas jasa mereka selama ini.

Jadi, saya berhasrat untuk menamatkan zaman bujang enam tahun lagi iaitu ketika mencapai usia 25 tahun kerana beranggapan angka itu paling sesuai untuk dirinya bergelar seorang isteri.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah itu bermakna Pandelela sudah mempunyai kekasih hati?

PANDELELA: Sejujurnya saya mengakui sudah mempunyai pilihan, namun saya dan pasangan lebih selesa untuk menjalinkan hubungan tanpa sebarang publisiti. Tiada apa yang mahu diceritakan kepada mereka kerana saya hanya menjalinkan hubungan sahaja dan saya percaya semua orang akan  faham.

Namun, saya berjanji jika ada berita baik daripada kami berdua, tentunya kami tidak akan membelakangi mana-mana pihak serta pihak media. Lagipun, kerjaya renang saya baru bermula dan masih banyak yang perlu difikirkan untuk memartabatkan karier saya bagi menjadi penerjun terbaik dunia.
Jadi, saya ingin memberi fokus terhadap perkara itu terlebih dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan