Pages

Tak sempat joli RM700,000

KUALA LUMPUR: Hasrat sekumpulan enam penculik untuk 'joli sakan' dengan wang tebusan RM700,000 selepas menculik seorang remaja lelaki berusia 15 tahun lebur apabila empat daripada mereka ditahan di sebuah flat di Butterworth, Pulau Pinang, Jumaat lalu.
Kumpulan penculik terbabit ditahan pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) antara jam 9 hingga 11 malam ketika urusan pembayaran wang tebusan dilakukan bapa mangsa berusia 40-an.

Menurut sumber, remaja lelaki terbabit diculik dua lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta di hadapan restoran bapanya di Taman Midah, Cheras, di sini, seminggu lalu.
"Remaja terbabit dibawa ke sebuah flat di Butterworth sebelum dikurung di situ. Kumpulan penculik itu menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang tebusan lebih RM1 juta.

"Bagaimanapun, bapa mangsa melaporkan kejadian kepada polis," katanya.

Menurutnya, sebaik menerima laporan, satu pasukan khas ditubuh bagi mengesan dan menyelamatkan remaja berkenaan.
"Kumpulan penculik itu dilapor beberapa kali menghubungi bapa mangsa meminta wang tebusan sebelum berlaku tawar-menawar antara kedua-dua pihak.

"Akhirnya, kedua-dua pihak bersetuju dengan bayaran RM700,000 sebelum kumpulan penculik mengarahkan wang diserahkan di sebuah flat di Butterworth," katanya.
Sumber itu berkata, selepas memastikan remaja terbabit selamat ketika sesi pertukaran dilakukan, polis melakukan serbuan sebelum menahan empat individu termasuk seorang wanita berusia 25 hingga 30 tahun.

"Semua yang ditahan dibawa ke IPKKL untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya sambil memberitahu remaja terbabit tidak cedera, namun masih trauma dengan kejadian menimpanya itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan