Pages

Ducati Multistrada 1200S, empat dalam satu

Ducati Multistrada 1200S keluaran 2010 dicipta dengan reka bentuk sporty dan menampilkan konsep yang begitu menawan. Ia ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu merah, hitam, hitam-merah dan putih dalam kategori sport touring yang terlaris di pasaran.

Motosikal berkuasa 1200cc ini mendahului masa depan dengan menggabungkan empat mod tunggangan dalam satu iaitu Urban, Touring, Sport dan Enduro bagi memberikan pengalaman menunggang tersendiri dalam setiap laluan berbeza. Penunggang hanya perlu menekan punat pada panel LCD untuk mengubah mod setiap tunggangan yang pasti akan memberi keseronokan tersendiri.

Penulis sempat mencuba semua mod berkenaan untuk merasai kelainan dan keupayaan motosikal ini. Mod Sport menyemarakkan lagi adrenalin untuk menunggang dengan kelajuan tinggi enam kelajuan versi 'S' dengan kuasa serta merta.
Manakala tunggangan menggunakan mod Touring juga diprogramkan untuk menghasilkan kuasa yang sama, dengan konfigurasi yang memberikan keselesaan kepada penunggang dan pembonceng.

Mod Urban menjadikan aktiviti tunggangan amat mudah ketika berada di pusat bandar. Perubahan suspensi secara automatik menjadikan ia sedikit rendah serta banyak membantu ketika melalui kesesakan. Manakala mod Enduro pula menjadikan Multistrada 1200 lebih
tangkas dan ringan. Ia memberi penunggang keupayaan untuk menyusuri laluan off-road begitu mudah dengan adanya kelembutan suspensi jenama Öhlins secara automatik.

Kerangkanya diperbuat daripada aluminium dan komponen fiber menjadikan motosikal lebih tegap, ringan dan mudah dikendalikan. Menunggang pada waktu malam tiada masalah kerana lampu LED cukup terang.

Sistem brek Brembo ABS yang canggih memberikan keyakinan ketika menunggang mahupun ketika anda melakukan brek kecemasan. Jumlah isi padu tangki minyak sebanyak 20 liter mampu menggerakkan jentera melebihi 300 kilometer.

Multistrada diperkenalkan sebagai motosikal tanpa kunci konvensional. Kunci elektronik  di dalam poket penunggang "berkomunikasi" dengan Multistrada untuk  membolehkan enjin  dihidupkan secara automatik. Selain itu, ia turut menawarkan sistem penguncian motosikal secara automatik sepenuhnya sebagai ciri-ciri keselamatan. Penunjuk kelajuan, rpm (putaran seminit), gear, jumlah jarak dan baki minyak adalah antara ciri-ciri kelebihan yang terdapat di panel LCD.

Ducati Multistrada 1200S  memang sesuai untuk anda dan pasangan menikmati keindahan dan keseronokan ketika berada di atas jalan raya. Menunggangnya  sama ada di jalan raya mahu pun off road, nyata memberikan tunggangan yang berbeza dan sebagai penunggang anda akan merasai perbezaan yang sebenar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan