Pages

Juara bertahan rebah

KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Negeri Sembilan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala Malaysia 2012 selepas tewas kepada juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-1 dalam pertemuan suku akhir kedua di Seremban, semalam.
Jaringan seawal minit keempat oleh Alif Shamsuddin tidak cukup untuk menyekat kegarangan pelawat yang hadir dengan gol oleh Aidil Zafuan Abd. Radzak dan dua lagi daripada Marlon Alex James di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.
 
Kemenangan menerusi gol minit kesembilan, 42 dan 57 itu, sebaliknya melayakkan ATM ke separuh akhir untuk menentang Lions XII, Jumaat ini dengan agregat besar 6-3 selepas mereka menang 3-2 pada pertemuan pertama di Selayang, Jumaat lalu.
Pasukan undangan dari Singapura yang kembali ke Piala Malaysia sejak 1994, Lions XII pula mengesahkan tiket lain ke separuh akhir dengan menundukkan Pahang 2-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada satu lagi suku akhir.
Biarpun tewas 1-2 di Kuantan, minggu lalu, kemenangan di gelanggang sendiri semalam membolehkan anak buah V. Sundramoorthy ini mara ke separuh akhir, Jumaat ini secara agregat 3-2.
 
Dalam pertembungan dramatik di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, jaringan Nor Farhan Muhamad dan Mohamed Ghaddar menghidupkan semula impian Kelantan untuk memburu gelaran ketiga mereka musim ini, Piala Malaysia dengan mengikat Felda United 2-2.
The Red Warriors nyaris tersingkir apabila dikejutkan gol pemain Felda United, Mickael Curier dan Farderin Kadir pada minit ke-42 dan 54, namun dua gol Farhan dan Ghaddar pada minit ke-70 dan masa kecederaan itu, menjadikan tuan rumah mara secara agregat 4-3.
 
Juara Piala FA dan Liga Super 2012 itu kini menempah pertemuan separuh akhir pertama di Kota Bharu, Sabtu ini dengan Selangor yang turut mara secara agregat 5-2 selepas menewaskan Johor FC 2-1 hasil jaringan S. Veenod dan Fitri Shazwan di Stadium Shah Alam, semalam.
Fernando Augusto cuba menghidupkan peluang dengan gol penyamaan Johor FC, namun kemaraan Gergasi Merah yang juga juara Piala Malaysia 32 kali tidak mampu dibendung pelawat lagi apabila menyambung kemenangan 3-1 dalam suku akhir pertama, minggu lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan