Pages

Conti jentera serangan Pahang

Kuantan: Pahang memberi mesej jelas, semalam betapa mereka akan memastikan FELDA United akan pulang dengan tangan kosong dalam saingan Liga Super di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Jurulatih skuad Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, komitmen dan semangat juang tinggi ditagih daripada semua pemain supaya lebih fokus untuk menampilkan aksi garang mengutip mata penuh di laman sendiri selepas kecundang kepada Johor Darul Takzim (DT) minggu lalu.
Tanpa sebarang pilihan kami harus menang esok (malam ini). Saya harap gandingan pemain mantap terutama jentera serangan diketuai Matias (Conti) dan Mohd Fauzi (Rozlan) dapat membolosi gawang lawan.


Tebus kekalahan

Kegagalan mereka menjaringkan gol pada pertemuan dengan Johor DT diharap ditebus esok untuk memastikan tiga mata menjadi milik skuad Tok Gajah, katanya semalam.

Namun, bekas pemain kebangsaan itu mengakui perancangan skuadnya terganggu berikutan beberapa pemain utama mungkin tidak dapat beraksi.

Dollah berkata, lebih mendebarkan ia membabitkan perancang tengah Amirul Hadi Zainal tidak dapat diturunkan kerana penggantungan satu perlawanan manakala Mohd Hafiz Kamal dan Azidan Sarudin baru pulih daripada demam.
Katanya, situasi tidak menentu skuadnya itu menyebabkan tumpuan kini terarah kepada semua pemain supaya lebih bersedia untuk berdepan Felda United.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan