Pelakon yang kini bergelar penerbit, Fazurina berhasrat membantu pelakon wanita yang bertudung untuk berlakon di bawah syarikat penerbitannya iaitu Tripix Studios Sdn Bhd.
Fazurina atau nama sebenarnya, Siti Fazurina Mohd Famir, 30, berkata, hasrat itu timbul apabila melihat banyak produksi yang enggan mengambil pelakon wanita sekiranya mereka bertudung untuk berlakon dalam produksi mereka.
"Saya sendiri sudah bertudung dan merasai tempias produksi tidak berani untuk mengambil pelakon bertudung seperti saya. Bagaimanapun bukan semua yang berbuat demikian.
"Menerusi syarikat produksi ini, saya boleh membantu artis wanita bertudung lain dari segi tawaran berlakon melalui projek-projek yang sedang saya usahakan, Insya-Allah," ujarnya.
Fazurina berhasrat untuk mengambil artis wanita bertudung berlakon drama terbitan produksinya.
Tambah Fazurina, syarikat produksi yang baru ditubuhkan sejak awal tahun lalu turut mendapat kerjasama daripada rakan kongsi iaitu Hykal Zulkifli.
Selain itu, Fazurina berkata, dia juga turut mengambil dua adiknya iaitu Mohamad Fauzy Mohd Famir, 24 dan Mohd Firdaus Mohd Famir, 22 untuk menguruskan produksi berkenaan selain beberapa orang kakitangan lain seperti penulis skrip tetap dan pengurus akaun.
"Syarikat ini adalah perniagaan keluarga dan saya mahu dua adik saya yang baru tamat pengajian di universiti mendapat pendedahan dan membantu saya menjayakan produksi ini," katanya.
Bercerita lanjut mengenai Tripix Studios, Fazurina menjelaskan dia telah lama memasang hasrat untuk bergelar penerbit dan memiliki syarikat produksi sendiri dan bersyukur impian itu tercapai.
Fazurina berkata, sejak kemunculannya sebagai seorang pelakon kira-kira sembilan tahun lalu, dia telah mengutip pelbagai ilmu daripada pengarah yang pernah bekerjasama dengannya sebagai persediaan.
"Alhamdulillahlah penantian selama sembilan tahun itu boleh dikira berbaloi kerana sepanjang tempoh tersebut banyak perkara yang telah saya belajar mengenai bidang penerbitan drama.
"Kini tiba masanya untuk saya praktikal dan berasa lebih yakin untuk bergerak sendiri dalam merancakkan lagi industri seni di negara ini," katanya.
Dalam pada itu, Fazurina berkata, syarikat produksinya itu bakal muncul dengan projek pertama iaitu sebuah drama bersiri berjudul Hana untuk siaran RTM.
Katanya, drama yang mendapat sentuhan pengarah Zulkifli M. Osman itu bakal membariskan pelakon seperti Syed Ali, Tunku Anis, Yuswaizar, Liza Abdullah, Afida Es yang akan memulakan penggambaran di Alor Setar, Kedah pada hujung bulan ini.
"Saya sangat mengagumi kredibiliti Zulkifli sebagai seorang pengarah dalam merealisasikan skrip yang berat kepada sebuah drama.
"Sudah tentu saya teruja dengan projek pertama ini dan berharap ia akan berjalan dengan lancar," ujarnya.
Sementara itu, Fazurina memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran musim terbaru drama Trilogi Cinta untuk RTM sebanyak 40 episod yang akan ditayangkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Selain itu, filem Baik Giler gandingannya bersama Zizan Razak dan Awie bakal menjengah pawagam pada 28 Jun manakala filem Hantu Bukit Cina bakal ditayangkan pada akhir tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan