WARSAW, Poland – Jurulatih Itali, Cesare Prandelli hanya tersenyum sinis apabila ada pihak yang mengatakan pasukan itu sebagai pilihan untuk menjadi juara Euro 2012.
Prandelli berkata, Sepanyol lebih berhak untuk merangkul gelaran itu meskipun Itali berjaya mengejutkan pasukan pilihan, Jerman 2-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Nasional awal pagi semalam.
"Pasukan pilihan adalah Sepanyol kerana pemain-pemain mereka sudah bersama sejak beberapa tahun lalu dan sentiasa bijak menguasai permainan dalam setiap perlawanan.
"Kami menganggap Sepanyol adalah pasukan yang lebih hebat. Dalam kejohanan seperti ini, ia agak memenatkan kerana keadaan fizikal pemain akan turut menjadi penentu pada final nanti," kata Prandelli.
Kedua-dua finalis yang turut diundi dalam Kumpulan C itu sekadar seri 1-1 pada perlawanan peringkat kumpulan, 10 Jun lalu.
Namun, jika diambil kira pertemuan terakhir di luar Euro 2012, Itali pernah menewaskan Sepanyol dalam satu perlawanan persahabatan tahun lalu.
Pada aksi separuh akhir awal pagi semalam, kedua-dua gol Itali dijaringkan Mario Balotelli manakala gol tunggal Jerman menerusi sepakan penalti Mesut Ozil pada masa kecederaan.
PEMAIN-PEMAIN Itali memberikan penghormatan kepada para penyokong selepas menewaskan Jerman 2-1 pada aksi separuh akhir Euro 2012 di Stadium Nasional awal pagi kelmarin.
Meskipun gembira dengan persembahan keseluruhan anak-anak buahnya, Prandelli masih tidak dapat menyembunyikan kebimbangan berikutan kegagalan menyempurnakan beberapa peluang yang terhidang menerusi serangan balas pantas pada babak kedua.
"Kami memang sudah keletihan ketika permainan berbaki 10 minit. Empat hari sebelum itu, kami terpaksa bertarung sehingga 120 minit (menentang England).
"Jadi, apabila kami peroleh empat peluang untuk menjaringkan gol ketiga, kami gagal memanfaatkannya. Jika berjaya, sisa perjuangan Jerman akan berakhir.
"Dalam bola sepak, sepakan percuma atau penalti boleh mengubah perlawanan dalam sekelip mata. Ia boleh meletakkan kami dalam kesukaran," tegasnya.
Bagaimanapun, Prandelli mengakui, ini adalah persembahan terbaik Itali di bawah kendaliannya sejak dua tahun lalu sebaik mengambil alih jawatan jurulatih selepas kegagalan pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan