Pages

Pemandu Teksi Mungkin Dapat Perkeso

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Najib TunRazak berkata kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk memberi faedah PertubuhanKeselamatan Sosial (Perkeso) kepada pemandu teksi.
Katanya cadangan itu dilihat munasabah kerana pada masa ini belum ada sebarang peruntukan di bawah skim Perkeso untuk melindungi rakyat Malaysia yang bekerja sendiri.
"Masalah sekarang ini undang-undang Perkeso hadkan perlindungan kepada mereka yang bergelar pekerja sahaja. Tiada peruntukan untuk mereka yang bekerja sendiri.
 
"Kita sedang kaji perkara ini dan mungkin tak lama lagi boleh buat keputusan untuk dipertimbangkan. Tapi sebelum itu kita bantulah, bagi satu set tayar dan insurans seperti yang saya umumkan baru-baru ini," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan 'Suara Kami 2012′ yang disiarkan oleh Astro Awani malam ini.
Selain itu, Najib berkata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah diarahkan untuk mengadakan sesi dialog dengan wakil-wakil persatuan teksi dalam usaha merangka model baharu untuk industri perkhidmatan teksi.
 
Menyedari banyak kelemahan dalam sistem sedia ada, Najib berkata model baharu itu penting agar perkhidmatan teksi di negara ini lebih cekap dan memberi kepuasan kepada orang ramai.
"Kedua, kita mesti jaga kebajikan dan kepentingan pemandu teksi yang hari ini menghadapi tekanan dan saya rasa tak wajar kita kekalkan sistem sedia ada," katanya.
Rancangan 'Suara Kami 2012′ itu mengumpulkan pandangan serta cadangan rakyat pelbagai latar belakang dari seluruh negara untuk memajukan tahap kehidupan semasa masing-masing.
 
Suara-suara terbaik dipilih untuk hadir ke rancangan kemuncak di Astro bersama tetamu khas yang boleh memberikan susulan dan penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan.
Ditanya bagaimana beliau memastikan tiada rakyat yang tersisih dalam pembangunan negara terutama dengan program transformasi yang beliau perkenalkan, Najib berkata senjata paling berkesan adalah melalui pendidikan.
Katanya pendidikan penting supaya generasi sekarang dan masa depan  mempunyai ilmu dan kemahiran untuk melakukan perubahan yang besar pada diri sendiri dan kehidupan masing-masing.
"Sebab itu saya telah lahirkan Gagasan 1Malaysia yang satu prinsip di sebaliknya adalah kita perlu bersifat inklusif. Apa-apa yang kita buat, kesannya mestilah dapat dirasai oleh orang ramai," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan