Pages

Awas amukan Tentera

LAIN macam sengat yang dipamerkan oleh skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini.
Reputasi selaku pasukan kerdil bukan halangan buat mereka untuk menumbangkan pasukan gergasi dan yang terkini menjadi mangsa amukan mereka ialah Negeri Sembilan yang juga juara bertahan Piala Malaysia.
 
ATM menang 3-2 ke atas Negeri Sembilan pada aksi suku akhir pertama kempen Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat lalu.
Bagi menghadapi suku akhir kedua di tempat lawan malam esok, misi memburu gol awal menjadi keutamaan pengendali ATM, B. Sathianathan (gambar kecil).
Berbekalkan kelebihan satu gol selepas menang tipis 3-2 dalam aksi pertama Jumaat lalu, Sathianathan pastinya sedar betapa pertemuan esok menjanjikan 1,001 macam gelora buat anak-anak buahnya.
Kelebihan dua gol di tempat lawan yang dimiliki Sang Rusa ketika ini juga mampu membikin ATM 'berputih mata' sekiranya kedua-dua pasukan terikat menerusi agregat.
 
Justeru, Sathianathan menuntut barisan pemain supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama seperti mana aksi pertama tempoh hari.
"Banyak perkara yang perlu saya perbaiki menjelang saingan suku akhir kedua nanti.
"Kami tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama dan apa lebih penting, kami harus menjaringkan gol awal di tempat lawan untuk mencerahkan peluang ke separuh akhir," kata Sathianathan.
 
Biarpun masih berteka-teki mengenai strategi ketika kembali berdepan skuad kendalian Azraai Khor Abdullah nanti, Sathianathan sebaliknya percaya pemainnya meraih pengalaman yang cukup berharga pada aksi suku akhir pertama sebelum ini.
"Ada antara pemain yang membuat kesilapan mudah serta hilang fokus sehingga kami bolos kedua-dua gol tersebut.
"Jadi, ia tidak lagi harus berulang jika kami mahu memastikan sasaran mara ke separuh akhir tercapai," tegasnya.
Seandainya berjaya menjinakkan Sang Rusa malam esok, ATM bakal berdepan pemenang antara Lions XII dan Pahang pada peringkat separuh akhir pertama Jumaat depan.
 
Pahang kini selesa mendahului menerusi agregat 2-1.
Satu lagi aksi separuh akhir pula dijadualkan berlangsung sehari kemudian yang membabitkan pemenang antara Johor FC/Selangor dan Felda United/Kelantan manakala separuh akhir kedua dijadualkan berlangsung pada 11 dan 12 Oktober ini.
Aksi final kekal berlangsung di Stadium Shah Alam pada 20 Oktober nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan