WALAUPUN semakin kurang tampil di kaca televisyen, kelibat Khir Rahman tetap mudah untuk dikenali. Kurang ditatap tidak seinci pun memencilkan namanya dalam peta industri. Sesekali muncul, dia mampu memberi impak.
Malang Yang Berbau mungkin satu-satunya drama lakonan Khir kepada penonton televisyen untuk tahun ini. Dia sendiri mengakui namun sedikit kurang pasti fakta itu.
"Yelah rasanya. Saya pun tak pasti sangat. Benda tak dirancang. Tahun ini saya tak banyak berlakon, mengarah sahaja yang memanjang. Ini kira produktif tapi ada bahayanya.
Televisyen ke filem kemudian ke televisyen semula
"Ia mengundang kerisauan dalam diri saya terhadap soal kualiti. Memang seronok bila banyak dapat tawaran kerja tapi bila berturut-turut, mula rasa letih. Tumpuan kena berlipat-ganda. Bertukar pula dimensi dari bahasa televisyen ke filem kemudian ke televisyen semula," tenang Khir bercerita tentang pengisian kerja seninya.
Merenung tepat ke wajahnya, payah untuk Khir membuang sifat antagonis Kemawas yang pernah dibawanya menerusi Hikayat Merong Mahawangsa. Amanah yang dilakukan untuk filem Dalam Botol juga barangkali satu penanda aras kepada haluan yang mahu dijolok ke dalam kerja pengarahannya.
"Dalam Botol ialah satu kenyataan paling garang yang pernah saya utarakan dalam kerja setakat ini. Ibaratnya, kalau tak berani berjuang, potong sahajalah, simpan dalam botol. Itu mungkin orang tidak perasan, tapi bagus juga sebenarnya. Bagi saya filem itu akan bertahan lama.
Bayi pertamanya
"Ia mungkin bukan pilihan kaki wayang tapi bagi kaki filem mungkin mereka akan suka," katanya mengucap syukur kerana petik sahaja kerja pengarahan filem, karya berkonsep sebegitu yang diangkat sebagai 'bayi' pertamanya.
Tidak sekadar mengungkit apa yang telah diberikan, anak kepada pasangan penyanyi pop yeh yeh, Datuk A. Rahman Hassan dan Datin Azizah Mohamad yang muncul dengan karakter seadanya itu bercerita tentang apa yang sedang didepani.
Sama ada terdorong atau didorong, perbualan Santai Selebriti kali ini lebih kepada sesi mengenal hikmah.
"Jika ada perkara yang tidak kita senangi, jangan lihat perkara itu secara fizikal. Leburkan ia, dari situlah baru kita nampak benda yang terlindung kerana selama ini dipengaruhi oleh mata dan telinga," ungkapnya seperti menanam sesuatu yang boleh difikirkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan