KEMUNCULANNYA dalam bidang ini diiringi pelbagai sudut pandangan, bukan saja diberi jolokan seksi, malah kerana dia juga darah daging kepada seorang penyanyi 1980-an popular, Rohana Jalil. Uniknya dia, namanya senang diingati dan tidak ketinggalan, wajah cantiknya juga mudah dikenali.
Mula menempa namanya menerusi lakonan dalam filem Karak, Syakila Nisha Jangir Khan atau Kilafairy, 20, tidak saja memperdagangkan bakatnya pada bidang lakon layar, malah turut berhasrat menjadi penyanyi.
Namun sejauh mana seriusnya dia untuk mengembangkan karier nyanyiannya pula, seolah-olah belum menampakkan apa-apa. Ditambah pula dengan kesibukannya menjalani pengajian di kolej, bagaimana agaknya dia hendak mencuri masa untuk semua itu.
Bertemunya pada sesi fotografi, baru-baru ini, dia yang juga kini sedang popular lantaran lakonannya menerusi siri Saiful Nita di TV3 ligat ditayangkan, Kilafairy rupanya hanya menunggu masa untuk melancarkan single keduanya.
Bertemunya pada sesi fotografi, baru-baru ini, dia yang juga kini sedang popular lantaran lakonannya menerusi siri Saiful Nita di TV3 ligat ditayangkan, Kilafairy rupanya hanya menunggu masa untuk melancarkan single keduanya.
"Akhirnya sampai juga masa untuk melancarkan single yang berjudul Pasti walaupun lagu berkenaan sudah lama siap. Lama juga menanti untuk mencari masa yang paling sesuai sebelum memperdengarkan lagu itu kepada peminat.
"Sebenarnya, saya rancang selepas Aidilfitri untuk pelancaran itu, namun terpaksa menangguhkannya kerana mendapat pula tawaran untuk berlakon dalam Saiful Nita.
"Lagu berentak R&B soul ini hasil ciptaan Amylea AF dan mengambil masa empat bulan untuk disiapkan. Saya memilih Amylea kerana dia faham apa kehendak saya, selain kami serasi dan dia juga seorang komposer yang sangat bagus.
"Agak berdebar juga kerana takut kelainan yang ada pada lagu ini tidak menepati cita rasa pendengar tempatan. Bagaimanapun, saya cukup berpuas hati dan berharap pendengar pun akan suka lagu ini," katanya yang pernah muncul dengan lagu Roman, sebelum ini.
Kembali semula ke set penggambaran selepas berehat seketika untuk memberi laluan kepada pengajiannya, Kilafairy atau manja dipanggil Kila berkata, antara sebabnya menerima tawaran untuk Saiful Nita adalah gara-gara hendak mencabar dirinya.
"Ini adalah drama pertama yang saya lakonkan dan kebetulan mendapat watak utama pula. Selama ini, saya hanya mendengar pelakon lain yang mengatakan, berlakon drama siri sangat memenatkan berbanding filem.
"Jadi, selain tertarik dengan watak yang diberikan, saya juga sebenarnya mahu melalui sendiri pengalaman berada lama di lokasi penggambaran. Ternyata, memang benar apa yang mereka sampaikan dan antara perkara paling saya dapat rasakan adalah apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga.
"Kila memang pantang berjauhan dengan keluarga dan mulalah rasa rindu yang teramat. Apapun, Kila bersyukur dapat berlakon dengan produksi terbabit kerana mereka memang seronok menyebabkan rasa rindu itu tidaklah terasa sangat," katanya.
Digandingkan bersama pendatang baru, Aidil Aziz, 25, dalam siri itu, Kila yang memegang watak Nita, seorang gadis berada tetapi hidupnya huru-hara juga terpaksa menolak beberapa tawaran demi memberi tumpuan kepada drama terbabit.
"Kila memang tidak suka mengambil banyak projek dalam satu masa dan lebih selesa memberi fokus kepada satu perkara saja. Bukan saja menolak tawaran berlakon, Kila juga terpaksa melepaskan tawaran nyanyian kerana jadual penggambaran memang padat, tambahan pula di luar Kuala Lumpur," katanya.
Aidil lepasi ujian
MENGENALI jejaka kelahiran Seri Kembangan, Selangor, yang mula mencuri perhatian ini, Mohd Aidil Abdul Aziz atau Aidil pula mempunyai perjalanan mencabar sebelum diberi peluang memegang watak utama.
Saiful Nita bukanlah drama pertama yang dilakonkannya, malah sudahpun mula menapak dalam industri sejak 2009 lalu. Bagaimanapun, pembabitannya dalam siri Trilogi Cinta menjadi titik tolak sebelum watak Saiful diberikan kepadanya.
"Dalam drama berkenaan, saya cuma berlakon sebagai watak tambahan saja dan di situlah saya berkenalan dengan pengarahnya, Amy Maziah. Sebenarnya, pada episod ke-29 siri itu, watak saya sepatutnya sudah dimatikan, namun pengarah mengambil keputusan untuk mewujudkan terus watak itu sehingga ke episod 40.
"Dia menguji saya lagi dan menawarkan untuk berlakon sebuah telefilem berjudul Lorong Cahaya. Maka dari situlah dia memberi kepercayaan kepada saya sehinggalah dapat memegang watak utama dalam Saiful Nita pula," katanya.
Menyifatkan dia bertuah kerana diberikan watak utama malah disiarkan pula dalam slot Samarinda TV3, Aidil menggunakan sepenuhnya pengalaman dan membuat yang terbaik demi memastikan wataknya itu meninggalkan kesan di hati penonton.
"Ruang sudah terbuka dan saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang sudah ada buat saya. Watak Saiful memang sangat mencabar kerana memerlukan saya untuk bermain emosi dalaman sesuai dengan karakter watak itu.
"Memainkan watak seorang lelaki yang kental jiwanya, dihambat pula dengan situasi mencabar setiap masa, Saiful memendam banyak perkara dan menyelesaikan semua masalahnya seorang diri.
"Memang berat sangat watak itu dan sebagai pelakon baru, saya berharap ia berjaya dirasai penonton," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan