Pages

Kelantan yakin

KELANTAN cukup optimis untuk melangkah ke pusingan separuh akhir kempen Piala Malaysia 2012.
Malam ini, mereka bakal melayan kunjungan Felda United pada aksi suku akhir kedua di Kota Bharu.
Selepas berjaya memperoleh kelebihan dua gol di gelanggang lawan, di atas kertas Kelantan sudah pastinya berdepan tekanan hebat untuk menjadi pasukan pilihan mara ke pusingan seterusnya.
 
Malah, saingan daripada Felda United juga seharusnya tidak boleh dipandang mudah terutama apabila anak-anak buah E. Elavarasan mempamerkan aksi mantap dan telah banyak kali Felda United membuktikan mereka adalah pasukan berstatus kelab yang berada dalam kelas tersendiri.
Bagaimanapun, hakikat tersebut pantas disedari oleh pengendali Kelantan, Bojan Hodak yang sudah merasakan bahawa cabaran yang bakal dihadapi pasukannya malam ini pastinya cukup sengit.
 
"Kita mempunyai segala kelebihan, beraksi di laman sendiri selain reputasi semasa sudah pastinya menjadikan kita pasukan pilihan berbanding Felda United yang beraksi tanpa tekanan.
"Saya fikir gol awal akan membantu memudahkan tugas kita melangkah ke separuh akhir. Sudah tentu ia akan menjarakkan kedudukan dan memberi tekanan kepada Felda United.
 
"Tetapi ia bukan tugas yang mudah kerana mereka (Felda United) juga akan turun habis-habisan untuk mencari kemenangan," katanya di Kota Bharu semalam.
Tambahnya, beliau menjangkakan Felda United yang tewas 1-2 dalam perlawanan minggu lalu akan turun dengan taktik
bertahan dan memburu gol melalui serangan pantas yang sudah tentunya
menyukarkan jentera hadapan dan benteng pertahanan The Red Warriors.
Katanya, mungkin sokongan daripada para peminat mampu memberi tonik tambahan kepada para pemain Kelantan.
"Mungkin sembilan atau 10 pemain mereka akan berkampung di kawasan pertahanan dan saya harap kita tidak melakukan kesilapan dan terlalu ghairah memburu gol sehingga menyebabkan kita terperangkap."
 
Jelasnya, dua gol melalui aksi di gelanggang lawan sudah memberi kelebihan namun beliau tidak mahu anak-anak buahnya berpuas hati dengan keputusan tersebut. Hodak mahu Kelantan melangkah dengan penuh
bergaya dengan jumlah jaringan yang lebih besar.
Mengulas mengenai kemungkinan berlaku beberapa rombakan yang akan dilakukannya, Hodak menjawab:
"Saya akan lakukan perubahan satu atau dua pemain tetapi saya belum fikir tentang rombakan tersebut lagi, mungkin saya akan tengok dalam sesi latihan petang ini (semalam).
 
"Muhammad Ghaddar masih berada di bangku simpanan. Saya bersedia menurunkan dia pada babak kedua. Saya yakin kita boleh menewaskan Felda United malam esok (malam ini). Dengan stadium penuh dan sokongan peminat, kita boleh menewaskan Felda United untuk ke separuh akhir," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan