Pages

Jururawat ditipu penyampai radio

LONDON - Sebuah hospital yang merawat isteri Putera William, Catherine semalam mengaku pihaknya menjadi mangsa panggilan telefon palsu daripada sebuah stesen radio Australia.
Catherine yang lebih mesra dengan panggilan Kate Middleton dimasukkan ke hospital King Edward VII di sini pada minggu ini selepas dia mengalami loya yang teruk akibat kehamilannya.
 
Beberapa penyampai stesen raido 2Day FM dari Sydney yang menyamar sebagai pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan ayahanda William, Putera Charles berjaya bercakap dengan seorang jururawat yang memberikan butiran terbaharu tentang keadaan Kate.
Jururawat tersebut memberitahu, Kate sudah tidak mengalami rasa loya yang teruk seperti ketika dia dimasukkan ke hospital itu pada Isnin lalu.
Pihak pengurusan hospital King Edward VII yang kesal dengan insiden tersebut mengesahkan bahawa jururawat terlibat telah mendedahkan butiran perkembangan Kate, 30, kelmarin.
 
"Ia merupakan panggilan jenaka biadab yang kami kesali," kata ketua eksekutif hospital itu, John Lofthouse.
"Kami amat mementingkan hak peribadi pesakit kami dan kami kini menyemak semula protokol panggilan telefon hospital ini," tambahnya.
Kate diserang sindrom rasa loya yang teruk, hyperemesis gravidarum.
Sindrom tersebut menyerang purata seorang dalam setiap 200 ibu yang mengandung.
Berita tentang kehamilan Kate pada Isnin lalu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai pewaris kepada takhta diraja Britain itu yang tercetus selepas beliau berkahwin dengan William pada April 2011.
 
Tanpa mengira jantina, bayi mereka pasti akan menjadi pewaris takhta diraja Britain susulan satu persetujuan pada tahun lalu untuk menamatkan amalan yang cuma mengiktiraf lelaki sebagai pewaris takhta.
William merupakan pewaris kedua takhta diraja Britain selepas ayahandanya. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan