Pages

Sekolah agama juara pertandingan saintis muda

HASIL inovasi menghasilkan serbuk bahan pewarna masakan nasi kerabu menggunakan tumbuhan herba telah melayakkan lima pelajar perempuan tingkatan empat Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hishamuddin (SAMTSH) dinobatkan juara Pertandingan Loreal Saintis Muda di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, baru-baru ini.
 
Guru Penasihat Projek sekolah itu, Che Azwira Che Aziz berkata, daya kreativiti mereka menjadikan bunga telang iaitu sejenis tumbuhan herba yang hanya terdapat di negeri Kelantan sebagai serbuk bahan pewarna masakan telah menarik minat juri sekali gus diumum juara untuk merangkul wang tunai RM3,000.
Kami bangga terpilih sebagai pemenang pertandingan ini dan mampu memberi saingan yang hebat kepada sekolah menengah lain walaupun SAMTSH aliran agama," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di SAMTSH, Klang, Selangor baru-baru ini.
Projek pertandingan itu yang diberi nama Blua Pea Powder disiapkan dalam masa sebulan oleh Erna Laila Mohd. Shaher, Khairul Nisa Ishak, Aina Syairah Zakaria, Syazwa Azirah Rahmat dan Nur Amirah Zainal.
Menurut Che Azwira, bunga telang digunakan untuk menghasilkan warna biru nasi kerabu dan kandungannya bersih daripada bahan kimia berbanding bahan pewarna nasi kerabu sedia ada dijual di pasaran.
 
Bagi memudahkan proses penyediaan makanan berkenaan, kami melakukan beberapa kajian sebelum mendapati bunga ini boleh digunakan dalam bentuk serbuk selain mampu disimpan lama.
Blua Pea Powder dihasilkan adalah untuk memudahkan penghuni rumah yang tinggal di rumah pangsa dan mereka yang tinggal di luar negara mudah mendapatkan produk ini, jelasnya.
Pertandingan Loreal Saintis Muda disertai enam sekolah menengah berprestasi tinggi dengan mengemukakan 12 projek dan menguji pesertanya dari segi rekaan saintifik yang menumpu dalam penggunaan teknologi terkini bagi memudahkan urusan seharian.
Tempat kedua pertandingan itu disandang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah, Klang yang meraih RM2,000 manakala SMK Jalan Empat pula membawa pulang RM1,000 selaku pemenang tempat ketiga.
 
Hadiah disampaikan Pengarah Urusan Loreal Malaysia, Andrew Stanleick sambil disaksikan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPM, Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris.
Sementara itu, Andrew berkata, objektif pertandingan tersebut adalah untuk mengembangkan potensi dan kemahiran saintifik pelajar ke peringkat lebih tinggi.
Pertandingan ini juga sebagai platform kepada pelajar untuk mempamer hasil kajian generasi muda selain dapat menggalakkan minat pelajar terhadap manfaat sains," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan