Pages

Pelajar IPT boleh tanding PRU-13

Putrajaya: Kerajaan membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kebenaran itu tanda kerajaan mengiktiraf fungsi dan sumbangan serta kematangan daya pemikiran mahasiswa di negara ini sekarang.
Ia juga selari dengan langkah kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) baru-baru ini yang membenarkan mahasiswa aktif dalam aktiviti dan parti politik di luar kampus tanpa sebarang sekatan.


"Pindaan ini menunjukkan kepercayaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap kemampuan dan keupayaan mahasiswa berfikir, bertanggungjawab serta membuat keputusan dengan matang demi menentukan masa depan mereka.

"Kerajaan tidak pernah menutup minda mahasiswa, sebaliknya sentiasa memberi peluang untuk membuat penilaian dan pertimbangan.

"Justeru, kerajaan sedia membenarkan pemimpin pelajar yang memenangi pilihan raya kampus baru-baru ini menjadi calon mana-mana parti politik pada PRU-13 jika mereka mahu berbuat demikian," katanya ketika perasmian Program Persijilan 1CITIZEN dan Konvensyen Pemimpin Pelajar 2012, di sini malam tadi.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata ia tidak akan mengganggu keharmonian kampus sebagai entiti bebas politik kepartian dan kekal berkecuali.
Berikutan itu, Khaled berkata adalah menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk mempertahankan keharmonian kampus daripada pengaruh politik partisan.

"Persekitaran kampus yang berkecuali perlu dipelihara untuk melahirkan mahasiswa yang dapat memperluaskan dan meneroka daya pemikiran kritikal, membina minda dan keupayaan intelektual mereka sendiri, sekali gus menerapkan budaya kesarjanaan di kalangan mereka," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada mereka perlu berhenti belajar, beliau berkata pelajar yang bertanding dan menang boleh meneruskan pengajian tetapi tidak dibenarkan berpolitik atau berkempen di dalam kampus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan