Pages

Rajagobal atur strategi beza lawan Thai Ahad ini

KECEDERAAN beberapa pemain tonggak mungkin memaksa ketua jurulatih Harimau Malaya Datuk K. Rajagobal merencana strategi berbeza apabila bertemu Thailand pada saingan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2012, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
Antara yang mengalami kecederaan ialah dua pemain sayap iaitu S. Kunalan (pangkal paha) dan Wan Zack Haikal Wan Nor (ketegangan otot), pemain tengah Mohd Shakir Shaari (buku lali) dan penyerang Mohd Safee Mohd Sali (hamstring).
"Saya akan mendapatkan nasihat daripada doktor pasukan untuk mengetahui sama ada mereka boleh diturunkan pada perlawanan menentang Thailand nanti kerana mereka adalah tunjang utama kekuatan pasukan kebangsaan," katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, beliau akan menjadikan pertemuan persahabatan Harimau Malaya dan Polis Diraja Malaysia malam esok sebagai medan untuk memilih pemain berpotensi menggantikan mereka yang mengalami kecederaan.
 
Mengulas kekuatan Thailand, Rajagobal berkata beliau tidak terlalu bimbang kerana sudah mengetahui corak permainan skuad bimbingan Winfried Schafer itu.
"Kita pernah bertemu dengan mereka (pada perlawanan persahabatan) 7 November lepas (di Stadium Muang Thong) dan saya tahu kekuatan pemain Thailand kerana sebahagian daripada mereka pernah beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan (dengan kita) sebelum ini," katanya.
Sementara itu, pemain tengah kebangsaan, Mohamad Aidil Zaquan Abdul Radzak bertekad untuk 'merantai' pergerakan penyerang lincah skuad Thailand, Teerasil Dangda yang sudah menjaringkan tiga gol untuk pasukannya setakat ini.
"Saya sudah melihat aksi pemain ini serta pemain-pemain pasukan Thailand yang lain dalam Piala AFF Suzuki kali ini yang mampu memberikan ancaman kepada barisan pertahanan kita...malahan jurulatih sendiri telah memberikan arahan kepada barisan pertahanan kita (untuk mengawasi jentera serangan Thailand)," katanya.
Pada masa yang sama, Mohamad Aidil yang menjadi pilihan utama Rajagobal untuk mengetuai pertahanan negara mahu meneruskan rekod tanpa bolos sebagaimana kemenangan 2-0 yang dicatatkan mereka ke atas Indonesia pada 1 Disember lepas.
 
"Dari segi komunikasi antara barisan pertahanan dan penjaga gol adalah baik tidak kiralah Khairul Fahmi Che Mat ataupun Mohd Farizal Marlias diturunkan dalam sesuatu perlawanan memandangkan kekuatan kedua-dua pemain itu hampir sama," katanya.
Harimau Malaya pernah kalah 0-2 kepada Thailand yang digelar 'Changsuk' (Gajah Perang) pada Piala AFF edisi 2000 di Bangkok (ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger).
Skuad kebangsaan akan ke Thailand Selasa depan untuk menghadapi separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan