KEMATANGAN fikiran dan hala tuju membawa tiga anak muda yang berpayungkan nama Bunkface ini untuk terus meluncur laju.
Bukan hanya sekadar menjadi peserta industri nyanyian tanah air, lebih daripada itu Youk, Paan dan Sam meneroka jauh dalam bergelar anak seni.
Buktinya, pelancaran album Bunkface yang bertajuk Bunk Not Dead dalam bentuk Augmented Reality. Pelancaran album Blippable-Augmented Reality (AR) ini merupakan album pertama di Malaysia dan Asia dan dibawakan khas oleh Hunter Worldwide Interactive Sdn. Bhd.
Berlangsung di Restoran Teeq, Kuala Lumpur, majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri, Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. Dalam ucapannya, Mukhriz menganggap penggunaan AR bukan sahaja membantu penyelesai masalah cetak rompak tetapi menambah nilai sektor kreatif.
Teknologi itu bukan percuma sebaliknya Bunkface yang terkenal dengan lagu Revolusi itu melaburkan sebanyak RM200,000 untuk sistem interaktif baharu itu.
Boleh ceritakan sedikit tentang album dan sistem interaktif ini?
AR merupakan aplikasi yang membolehkan pengguna mengimbas kulit album terbaru kami di telefon pintar dan peminat boleh berinteraksi dengan kumpulan secara digital. Peminat hanya perlu memuat turun aplikasi Blippers ke dalam telefon pintar yang menggunakan sistem IOS dan Android bagi membolehkan mereka berinteraksi terus tanpa perlu memasuki laman web lain untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Bunkface.
RM200,000 merupakan pelaburan besar. Sejauh mana keyakinan kalian dan kesedaran khalayak tentang sistem dan teknologi sebegini?
Kami tahu ini risiko dan tidak harapkan pulangan. Ini sebuah perjudian tetapi kami sedar bahawa teknologi di Malaysia sendiri bergerak dengan cepat. Anak muda sekarang memang meminati gajet dan mereka pastinya mahu mencuba teknologi baharu. Lagi pun Blippers dan teknologi AR senang digunakan.
Boleh sentuh sedikit tentang kegagalan Bunkface masuk ke Anugerah Juara Lagu di sebalik kekuatan lagu tersebut dan persembahan kalian?
Kami tidak kisah kerana sudah dua kali ke AJL. Beri peluang wajah baharu yang tercalon.
Mungkinkah kegagalan itu berpunca daripada perkataan 'celaka' dalam lirik lagu Panik yang dipertandingkan?
Sudah tentu. Lagi pun lagu kami tidak santai dan tidak dalam arus perdana.
Maksudnya lagu yang masuk rata-rata adalah lagu santai? Adakah ini adil?
Tentang lagu-lagu santai, dengarkan sahaja dan anda pasti bersetuju. Kalau kata adil, memang tidak adil kerana lagu kami bukan kutuk siapa-siapa. Nampaknya mereka seperti tidak pentingkan lirik dan jalan cerita. Mungkin lebih pentingkan rating. Kami sudah buat sehabis baik. Sepertinya mereka mahu mengurangkan kuota grup dalam AJL kali ini.
Sepertinya ada nada kecewa di situ. Mungkin Bunkface kecewa dengan industri tempatan sekarang?
Industri sekarang suram. Apresiasi terhadap artis tempatan sekarang sudah lesu. Ini semua kerana pendedahan lagu luar. Kita tidak salahkan pendengar tetapi pihak berkuasa perlu bentuk polisi mapan. Ini perjuangan kami kerana tidak mahu anak-anak muda lupakan industri tempatan. Kami berjuang untuk grup. Ramai artis baharu tidak diberi peluang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan