Pages

Korban Pertama Pantai Klebang

 
 
Mayat mangsa dibawa naik ke darat.
 
KLEBANG – Aktiviti riadah dua beradik dan empat sepupu bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas selepas bermain bola air di laut di Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang, di sini, petang kelmarin.
Mangsa, S Mathavanan, 24, dari Peringgit datang ke kawasan riadah itu menaiki bas pada jam 2.30 petang, dilihat terkapai-kapai sebelum tenggelam dan hilang daripada pandangan kira-kira jam 3.30 petang ketika mahu mengambil bola.
Adik mangsa, S Anita, 20, berkata, abangnya bermain bola di laut bersama salah seorang sepupu mereka, R Purushatamanraj, 18, selama kira-kira 30 minit di kawasan laut yang ditambak itu.
"Mereka berdua bermain ketika air surut, sementara saya dan tiga sepupu lain melihat dari jauh di tepi pantai sebelum saya pergi membeli air di kawasan berhampiran.
"Apabila saya kembali, saya lihat Purushatamanraj naik ke darat tanpa abang. Tiba-tiba seorang lagi sepupu, K Gomeleswary, 17, beritahu dia lihat abang terkapai-kapai lalu tenggelam," katanya, di sini, petang kelmarin.
Anita berkata, dia kemudian menghubungi rakan abangnya tanpa meminta bantuan orang awam yang sedang bermain layang-layang dan aktiviti riadah lain.
 
"Rakan abang datang bersama rakannya yang lain sebelum mereka menghubungi bomba selepas abang yang bekerja sebagai pekerja kontrak tanaman tidak timbul," katanya.
Sementara itu, Purushatamanraj berkata, ketika bermain bola bersama mangsa, air hanya separas dada sebelum mangsa cuba mengambil bola yang hanyut dan tenggelam secara tiba-tiba.
"Saya tak dapat buat apa-apa dan terus naik ke darat," katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Yazid Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.22 petang dan tiba di lokasi larangan berenang dan memancing itu lapan minit kemudian.
"Seramai dua pegawai dan 23 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Polis dan Penyelamat Jalan Kubu, Tangga Batu dan Bukit Katil terlibat dalam operasi mencari mangsa dalam tempoh kira-kira dua jam setengah ini.
"Mangsa ditemui kira-kira jam 7 malam dengan jarak 10 meter dari tempat dia dilihat jatuh seperti yang dimaklumkan ahli keluarganya kepada pihak bomba," katanya kepada pemberita.
Menurutnya, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan pada anggota badan diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan