Pages

Piala AFF - Malaysia 2 - 0 Indonesia

MASALAH komunikasi dilihat masih menghantui skuad Harimau Malaya sebaik melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012 apabila membenam Indonesia 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Andai ia tidak diatasi segera, tidak mustahil anak-anak buah Datuk K. Rajagobal berdepan tugas getir ketika melayan kunjungan juara Kumpulan A, Thailand dalam aksi separuh akhir pertama pada 9 Disember ini.
 
Kesukaran benteng pertahanan Harimau Malaya mengekang larian deras Andik Vermansyah, Elie Aiboy dan Oktovianus Maniani malam tadi juga seolah-olah memberikan petunjuk jelas buat Thailand nanti.
Namun pada masa sama, kejayaan menewaskan Sang Garuda malam tadi sememangnya detik yang paling istimewa buat seluruh rakyat Malaysia, sekali gus mengulangi kecemerlangan final edisi dua tahun lalu yang menyaksikan Malaysia muncul juara buat julung kalinya.
Ternyata, skrip yang lebih kurang sama seperti mana edisi dua tahun lalu masih menjadi pilihan Rajagobal kali ini apabila kembali bangkit melakar dua kemenangan bergaya setelah dikejutkan Singapura 0-3 dalam aksi pembuka tirai kumpulan, Ahad lalu.
 
4-1
Sebaik membelasah Laos 4-1 dalam perlawanan kedua, Harimau Malaya tidak lagi menoleh ke belakang apabila menjadikan Sang Garuda sebagai medan melepaskan geram malam tadi sebaik dikritik hebat penyokong fanatik negara pada permulaan kempen kali ini.
Lebih manis, kekalahan Indonesia itu juga bermakna Sang Garuda ditunjukkan jalan keluar lebih awal dalam kempen kali ini setelah Singapura berjaya menewaskan Laos 4-3 dalam satu lagi aksi dramatik kumpulan yang berlangsung serentak di Stadium Shah Alam malam tadi.
Dengan keputusan itu, Singapura muncul juara kumpulan biarpun berkongsi enam mata dengan Harimau Malaya, namun kedua-dua pasukan dibezakan dengan jaringan gol.
 
Aidil Zaquan Abdul Razak dan Mohd. Fadhli Shas.
Dalam perlawanan malam tadi, Harimau Malaya nyaris 'lemas' dengan asakan bertali-arus Sang Garuda yang dilihat beberapa kali berjaya memerangkap benteng pertahanan negara yang diterajui Aidil Zaquan Abdul Razak dan Mohd. Fadhli Shas.
Masalah komunikasi antara jentera tengah dan benteng pertahanan negara juga nyaris mengundang padah pada awal babak pertama, mujurlah kecekapan penjaga gol negara, Farizal Marlias melegakan lebih 60,000 penyokong tuan rumah.
 
Azammuddin Mohd. Akil
Namun, keghairahan skuad kendalian Nil Maizar memburu gol awal akhirnya dihukum pasukan negara apabila Azammuddin Mohd. Akil tenang memecah kebuntuan pada minit ke-26.
Pemain pertahanan, Mahalli Jasuli menambah derita Indonesia apabila menggandakan kelebihan tiga minit kemudian hasil hantaran kemas Wan Zack Haikal Wan Nor sekali gus mengatasi jangkauan penjaga gol lawan, Wahyu Tri Nughoro.
 
Aidil dan Shakir Shaari.
Indonesia yang terdesak memburu gol penyamaan dilihat semakin garang lantas mengundang aksi kasar beberapa pemain negara selepas itu sehingga memaksa pengadil dari Uzbekistan, Kovalenko Valentin melayangkan kad kuning kepada Aidil dan Shakir Shaari.
Mujur kebijaksanaan Fadhli dan Zubir Azmi merantai pergerakan Andik dan M. Syafiq sepanjang babak kedua juga menyebabkan Indonesia berputih mata bagi menyamakan kedudukan.
Begitupun, kecederaan beberapa pemain seperti Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha yang dilihat terhincut-hincut pada penghujung babak kedua dilihat meresahkan menjelang pertemuan menentang Thailand nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan