Pages

Upah ‘bapa ayam’ RM450

KUALA LUMPUR: Bermodalkan bayaran RM450 sebagai upah khidmat orang tengah, satu sindiket pelacuran dikesan boleh menghubungkan lelaki hidung belang dengan pelacur kelas atasan, termasuk pelajar dan wanita daripada golongan profesional di negara ini.
Difahamkan, kebanyakan pelanggan bagi khidmat orang tengah itu membabitkan golongan kenamaan dan kaya berikutan wanita berkenaan menerima bayaran sebagai gadis pengiring antara RM1,200 hingga RM4,500 untuk langganan selama satu hingga enam jam.

Berdasarkan siasatan Metro Ahad, khidmat sebagai orang tengah itu diatur melalui sebuah laman web sosial yang menawarkan khidmat gadis pengiring dan difahamkan turut menarik perhatian pelanggan dari Singapura.
Wartawan cuba berhubung dengan orang tengah berkenaan melalui e-mel, dan maklum balas diterima menyatakan jika bayaran upah diterima, mereka akan menyertakan gambar gadis pengiring berkenaan.

"Saya ada lebih 40 kenalan gadis freelance (sambilan), ada seorang gadis Cina belajar di kolej, dua pelajar kolej Melayu, seorang campuran Melayu-Cina, bakinya gadis tempatan Cina dan Melayu.

"Bayar saya RM450, saya beri semua senarai nombor contact (kenalan), atau RM300 untuk 20 contact saja. Semuanya freelance di Kuala Lumpur dan Selangor," kata orang tengah dalam e-mel itu.
Wartawan turut difahamkan, mereka membantu pelanggan berhubung dengan wanita terbabit dan bayaran boleh dilakukan melalui pemindahan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM) atau transaksi Internet.

Orang tengah itu juga akan membantu jika nombor telefon bimbit wanita terbabit bertukar untuk mendapatkan nombor baru bagi mengelak perbuatan itu dihidu pihak berkuasa.
Sementara ini, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan jenayah pelacuran bagi mengelak ia menjadi lebih serius.

"Sebelum ini, polis sering membuat tangkapan terhadap wanita yang menjadi gadis pengiring (escort), tapi kebanyakannya membabitkan wanita yang bekerja biasa, bukan di kalangan profesional.

"Apapun, kita akan membuat siasatan dan bertindak dengan segera," katanya.

Jalil berkata, polis memandang serius masalah pelacuran yang berlaku dan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lanjut.

"Kita akan lakukan lebih banyak operasi lagi untuk menutup semua ruang mereka (sindiket) melakukan jenayah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan