Pages

Hidayah Fiona

SEBAHAGIAN besar masyarakat bukan Islam di negara ini menerima dengan hati terbuka laungan azan yang berkumandang setiap kali masuk waktu sembahyang terutamanya sekali wakyu Subuh.
Sharafina Ng @ Fiona, 32, yang berketurunan Cina adalah antara yang senang dengan kemerduan laungan azan. Baginya azan adalah unik dan membuat jiwanya tenteram.
Fiona mula tertarik mendengar azan yang berkumandang semasa umurnya mencecah 22 tahun - iaitu ketika bulan puasa pada November 2002.
Sejak itu, Sharafina atau lebih gemar dipanggil Fiona mula mencari jawapan kenapa azan dilaungkan dan mengapa umat Islam menunaikan solat.
Minatnya terhadap Islam sebenarnya mula berputik sejak berumur 17 tahun semasa bekerja sambilan di sebuah kedai muzik di ibu kota pada musim cuti sekolah.
Menerusi seorang kenalan yang dianggap sebagai kakak yang turut bekerja di kedai muzik yang sama, dia sering mengajukan pelbagai soalan tentang Islam terutamanya yang berkaitan dengan halal dan haram.
 
"Jawapan yang diberikan oleh kakak tersebut dapat menyakinkan saya bahawa Islam adalah agama yang merangkumi keseluruhan kehidupan harian manusia.
"Baru saya tahu Islam mengajak kepada kebaikan, sekali gus menyangkal gambaran ia agama yang ekstrem dan dipenuhi elemen-elemen keganasan.
"Pada waktu zaman persekolahan lagi, kami sering diingatkan dan dilarang oleh orang tua jangan sesekali melalui depan surau atau masjid. Mereka takut kami terpengaruh dan dikata takut terpijak ilmu hitam," cerita Fiona mengenai pengalaman awalnya sebelum mengucap dua kalimah syahadah kira-kira 10 tahun lalu.
Selain itu dia juga tertarik melihat kawan-kawan Islamnya menghormati kedua-dua ibu bapa mereka dengan memberi salam setiap kali keluar atau pulang ke rumah.
Malah mereka juga memberi salam semasa bertemu dengan rakan-rakan Islam atau dengan orang yang lebih tua.
"Mereka juga membaca doa setiap kali selepas sembahyang atau waktu makan. Semua tingkah laku mereka saya lihat begitu bersopan.
"Semasa saya belajar di Shah Alam saya mula ikut kawan-kawan satu bilik yang beragama Islam berpuasa.
"Sejak dari situ saya mula mendekati Islam dan saya berjanji pada diri untuk bergelar Muslim pada umur 21 tahun," katanya.
Fiona akhirnya mengucap dua kalimah syahadah di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam, Selangor iaitu pada hari keempat Aidilfitri pada 9 Disember 2002 selepas empat bulan ayahnya meninggal dunia.
 
"Pada ketika itu tidak ada ahli keluarga mengetahuinya. Saya merancang mencari masa yang sesuai untuk memberitahu ibu dan adik-beradik lain," cerita anak ketiga daripada empat adik-beradik itu.
Pemergian bapanya itu membuat Fiona seperti kehilangan sesuatu kerana mereka mempunyai hubungan yang cukup akrab.
Fiona mula gemar mendengar azan dan tertarik dengan rancangan televisyen mengenai saudara baru Islam.
Sehingga pada satu malam, dia seolah-olah mimpi ternampak dirinya sedang mengerjakan solat dengan memakai telekung, sedangkan pada waktu itu dia dalam keadaan sedar.
"Pada waktu yang sama juga muncul seorang ustaz yang bertanya saya hendak guna nama apa, secara spontan saya sebut Sharafina. Sedangkan saya sendiri tidak tahu maksud sebenar nama pilihan tersebut,"akuinya insiden itu menjadi salah satu sebab pengislaman.
 
Cabaran
Selepas memeluk Islam, ramai juga rakan-rakan Islam yang meragui tujuan sebenar dia bergelar Muslim, hinggakan ada yang berpandangan kerana ingin berkahwin.
"Saya menjelaskan kepada mereka saya memilih Islam atas kerelaan dan bukan tujuan hendak berkahwin pada waktu itu," katanya.
Sebagai saudara baru atau mualaf, Fiona tidak menafikan dia melalui pelbagai dugaan dan cabaran ekoran sikap dan mentaliti orang di sekelilingnya terutamanya rakan-rakan Islam sendiri yang seolah-olah meragui kejujurannya.
Antara kesukaran yang dihadapinya ialah untuk menyesuaikan diri dengan penampilan dan ramai yang tidak tahu betapa sukarnya untuk menjaga hati ibu.
Namun begitu dia tidak peduli apa kata orang sekelilingnya. Dia tetap tabah melalui kehidupan harian seperti biasa.
Dia memulakan hidup baru dan belajar berdikari termasuk berpindah dan tinggal rumah sewa bersama-sama kawan rapat bagi memudahkannya belajar solat dan tidak was-was untuk makan minum.
 
"Walaupun tinggal berasingan dengan ibu dan adik-beradik yang lain tetapi hubungan kekeluargaan tidak pernah terputus.
"Kami sering berkumpul untuk bersama keluarga dan melawat ibu bila ada masa lapang.
"Menurut Islam hubungan silaturahim dengan ahli keluarga tidak terputus terutamanya dengan ibu kita sendiri," ujar Fiona.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan