Pages

Ford Focus berwajah baru

PETALING JAYA 16 Sept. - Pengedar tunggal kenderaan berjenama Ford, Sime Darby Auto Connexion Sdn. Bhd. (SDAC) menyasarkan jualan sebanyak 300 unit setahun bagi Ford Focus berwajah baru yang dilancarkan, baru-baru ini.
Ford Focus mula diperkenalkan di pasaran dunia sejak 1998 dan menjadi kenderaan paling laris jualannya di dunia dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pengarah Urusan SDAC, Lee Eu San berkata, pihaknya menawarkan empat varian Ford Focus wajah baru iaitu dua varian bagi kategori sedan dan dua lagi untuk hatchback.
 
Katanya, beliau yakin jualan Ford Focus wajah baru ini akan mendapat sambutan menggalakkan di Malaysia dan juga di ASEAN.
"Ford Focus wajah baharu ini merupakan model yang dipertingkatkan bagi menepati kehendak pasaran dengan ciri-ciri canggih," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena pelancaran Ford Focus wajah baharu di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pengurus Serantau, Operasi Eksport dan Pertumbuhan Ford, David Westerman.
Harga di pasaran termasuk insurans bagi Ford Focus wajah baru bagi kategori sedan, varian 2.0L Ti-VCT Titanium AT dijual pada harga RM115,888, manakala varian 2.0L Ti Titanium+ AT dijual pada harga RM128,888.
 
Harga bagi kategori hatchback, Ford Focus bagi varian 2.0L Ti-VCT Sport AT (RM115,888) dan 2.0L Ti-VCT Sport+ AT pada harga RM128,888.
Tambah Eu San, keunikan wajah baru Ford Focus adalah ciri-ciri pintar iaitu Ford SYNC yang membolehkan pemandu membuat panggilan dan memainkan muzik melalui arahan suara.
Jelasnya lagi, ia dilengkapi dengan bantuan meletak kenderaan aktif tanpa menggunakan tangan, segmen pertama seumpamanya diperkenalkan di Malaysia.
"Ford Focus turut menampilkan ciri-ciri mengatasi titik buta (blind spot) untuk pemandu, sistem keselamatan kamera pengesan kenderaan di hadapan bagi mengelakkan perlanggaran," ujarnya.
 
Tambah Eu San, semua varian Ford Focus baharu turut menawarkan pemula enjin tanpa kunci.
Katanya, pada November ini, SDAC akan membawa masuk model Ford Focus ST (Sport Tecnologies) untuk peminat kenderaan itu di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan