Pages

Teguhkan pegangan agama

KEBIADAPAN golongan pencetus provokasi agama semakin terserlah sejak peristiwa 11 September 2001. Yang menjadi sasaran tidak lain tidak bukan adalah agama Islam itu sendiri. Peristiwa 11 September itu dijadikan 'lesen' besar untuk mereka menimbulkan prejudis terhadap umat Islam.
Belum reda lagi isu penindasan umat Islam Rohingya di Myanmar, kini terbit pula satu filem anti Islam yang bagaikan sengaja menimbulkan api kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Filem 'Innocence of Muslims' biarpun tidak ditayangkan secara rasmi di mana-mana pawagam dan hanya boleh ditonton di laman Youtube, sudah cukup untuk 'menggeletek' golongan yang sememangnya mempunyai persepsi sinis terhadap Islam.

Filem ini dikhabarkan, diarah oleh Sam Bacile atau nama sebenarnya Nakoula Basseley Nakoula yang berketurunan Kristian Koptik dan mempunyai pertalian darah dengan Yahudi Israel.

Sememangnya dia amat membenci Islam dan mengaku tujuan penerbitan filem itu adalah untuk memberi 'kesedaran' betapa Islam itu sebenarnya adalah barah di dalam masyarakat seluruh dunia.

Dia juga mengakui bahawa tujuan filem itu dihasilkan adalah untuk membantu Israel dan golongan anti Islam dalam kempen membenci Islam. Kebiadapan Sam Bacile terserlah dalam filem ini apabila menggambarkan Nabi Muhammad SAW sebagai orang dungu serta gila seks yang tidur dengan sejumlah wanita.

Selain itu juga dia cuba memberikan gambaran betapa kolotnya Islam dengan menjadikan keldai sebagai binatang tunggangan Baginda SAW.

Natijahnya, Sam Bacile berjaya mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia terutamanya di negara Asia Barat melalui beberapa siri tunjuk perasaan yang akhirnya bertukar ganas dan mengorbankan nyawa sebagaimana yang terjadi terhadap konsulat Amerika Syarikat (AS) di Libya.

Presiden AS, Barack Obama dikhabarkan mengutuk serangan yang mengorbankan warga Amerika Syarikat itu tetapi pada masa sama, hanya berdiam diri terhadap Sam Bacile. Akhirnya, yang nampak biadab dan ganas itu berbalik kepada Islam.

Sememangnya agak pelik dengan tujuan sebenar penghasilan filem ini. Jika di segi logiknya, adakah pengarah dan kru penerbitannya begitu naif untuk mengetahui implikasi penghasilan filem yang biadab itu? Atau sebenarnya mereka terus bersembunyi di sebalik agenda rahsia seperti mana yang terjadi di dalam serangan 11 September 2001?

Keganasan demi keganasan dilaporkan oleh media masa setiap hari hasil daripada protes terhadap filem ini. Tidak mustahil, akan ada yang mengambil kesempatan untuk melakukan keganasan secara ekstrim dengan misi untuk memperlihatkan betapa ganasnya Islam itu pada mata dunia, wallahualam.

Walau apa persepsinya, sewajarnya sebagai umat Islam kita mestilah ada rasa sensitif dalam isu ini walaupun hanya sekelumit kerana selemah-lemah iman apabila melihat kemungkaran adalah dengan menzahirkan rasa tidak reda di dalam hati.

Lebih-lebih lagi yang dihina di dalam filem ini adalah kekasih Allah. Maka jika kita tidak terkesan dengan penghinaan ini, tentunya ada sesuatu yang bersarang di dalam hati yang membuatkan hati kita gelap untuk melihatnya.

Penghinaan serta pendustaan terhadap agama suci ini sememangnya tidak akan berakhir hingga dunia ini menemui saat kehancurannya. Fitnah akan terus hidup untuk memburukkan agama yang diredai Allah ini, di kalangan mereka mencari teman untuk kehidupan di neraka Allah nanti.

Namun, sebenarnya apa yang berlaku kepada Islam pada zaman ini sudah diceritakan oleh Rasulullah SAW lebih 1,000 tahun yang lalu. Zaman di mana umat Islam akan ditindas dan dizalimi sewenang-wenangnya oleh orang kafir.

Allah SWT telah menarik rasa gerun dan takut orang kafir terhadap umat Islam hingga Islam tidak lagi gah seperti zaman kegemilangannya dulu.

Perkara ini terjadi disebabkan kalangan umat Islam sendiri yang memilih untuk menjadi lemah. Lemah kerana terlalu mengejar dunia sehingga takut untuk mati.

Hal ini diceritakan Rasulullah SAW dalam satu hadis yang bermaksud: "Umat yang lain akan meratah, memusnahkan dan menyerang kamu sebagaimana orang-orang yang meratah makanan terhidang di dalam hidangan mereka.

"Kemudian sahabat bertanya; Adakah ketika itu bilangan kami sedikit wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Tidak, bahkan bilangan kamu pada masa itu ramai tetapi kamu pada masa itu umpama bunyi air banjir. Allah mencabut perasaan gerun terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu dan kemudian Allah memasukkan wahan ke dalam hati kamu.

"Para sahabat bertanya lagi; "Apakah itu wahai Rasulullah? Jawab Baginda; "Cintakan dunia dan takutkan mati."

Apa yang telah dikatakan oleh Baginda ini dapat dilihat dengan jelas pada hari ini. Umat Islam begitu sibuk mengejar keduniaan hingga tidak dapat membezakan di antara yang hak atau batil serta tidak dapat mengenal pasti keutamaan dalam sesuatu perkara.

Kuasa serta negara besar sibuk menjaga kepentingan ekonomi mereka sehingga menurut saja kemahuan AS dan sekutunya. Mereka hanya memejam mata terhadap penindasan terhadap umat Islam yang berlaku di Palestin, Rohingya dan sebagainya kerana bimbang hubungan diplomatik mereka tergugat.

Lebih menyedihkan lagi, apabila ramai di kalangan umat Islam itu sendiri seolah-olah menjadi duri dalam daging yang menyumbang kepada kelemahan Islam pada zaman sekarang. Mereka mempertikaikan apa yang disyariatkan Allah walaupun telah diturunkan nas yang jelas.

Mereka menimbulkan keraguan orang bukan Islam terhadap kesucian Islam itu sendiri. Lihat saja kes mencampak bayi dari tingkat tiga sebuah bangunan baru-baru ini oleh seorang wanita Melayu Muslim. Sememangnya kita malu kerana yang melakukannya adalah daripada kalangan bangsa Melayu tetapi sepatutnya kita lebih malu kerana dia juga membawa gelaran Muslim bersamanya.

Tidak cukup dengan itu, orang Islam sendiri kadang-kadang tidak berasa bangga dengan gelaran Islam yang dibawanya malah kadang-kadang berasa rendah diri dan tidak yakin untuk mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dalam komuniti masyarakat pada hari ini.

Sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya Islam datang dalam keadaan asing dan akan kembali pula dalam keadaan asing, maka berbahagialah orang-orang dikatakan asing." (Hadis Riwayat Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan