Pages

Khutbah Jumaat: Derhaka zaman moden

Anak biar ibu bapa hidup melarat

Fitrah kejadian manusia tidak dapat menafikan peningkatan usia dari hari ke hari. Suka atau tidak, kita seharusnya menerima hakikat bahawa setiap yang muda akan menjadi tua apabila sampai masa yang di tetapkan oleh Allah SWT.
Namun, persoalannya bukan usia yang menjadi pertaruhan kita, tetapi amalan dan pengorbanan yang kita lakukan selama ini yang menjadi hasil yang harus dinilai setiap manusia lebih-lebih lagi mereka yang bergelar seorang anak.

Rasulullah SAW pernah bersabda "Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: seorang yang membenci kedua-dua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian selepas isteri itu diceraikan beliau menggantikannya sebagai suami dan seseorang yang berusaha supaya orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesama sendiri dengan hasutannya". (Riwayat Ad Dailami)
Justeru, Islam mendidik umatnya supaya berbakti dan menghormati serta berbuat baik kepada orang tua.

Dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan semasa berhadapan dengan mereka, memelihara dan mencurahkan kasih sayang dengan tulus dan ikhlas, tidak sekali-kali cuba menyakiti hati mereka, sama ada secara langsung ataupun tidak.

Rasulullah SAW berpesan dan mengingatkan bahawa orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan Muslim sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami." (Riwayat Al-Tabrani).

Sehubungan itu, sebagai seorang yang bergelar anak, kita wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa.
Hari ini, banyak kes penderhakaan zaman moden yang dilakukan oleh generasi muda kepada warga tua. Ada di kalangan mereka diabaikan, dibiar melarat di jalanan, mengemis dan didera.

Malah, pernah terjadi anak menyaman orang tuanya sendiri sehingga ke mahkamah serta sanggup membunuh disebabkan tamak kepada wang atau harta.

Ramai golongan tua yang terbiar dan tak kurang pula yang dihantar ke rumah kebajikan, walaupun pada dasarnya rumah kebajikan ini hanya disediakan kepada warga tua yang tidak mempunyai waris.

Pelakuan sebegini menandakan semakin ramai anak mengabaikan tanggungjawab dan penghormatan terhadap orang tua mereka.

Situasi ini menjelaskan kepada kita bahawa kehilangan nilai murni di kalangan generasi muda semakin meruncing dan membimbangkan bukan saja di negara kita malah seluruh dunia.

Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2012, seramai 2,020 penghuni di rumah kebajikan JKM. Daripada jumlah itu seramai 982 orang (48 peratus) adalah orang Melayu Islam dan 19 peratus daripada jumlah kemasukan ke rumah kebajikan adalah kes pengabaian serta dipinggirkan keluarga sendiri.

Sebanyak 26 peratus berkaitan masalah penjagaan dan tiga peratus berkaitan dengan masalah penderaan. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar ada di kalangan penghuni rumah kebajikan ini mempunyai anak-anak yang berjawatan tinggi, pensyarah, pegawai kerajaan, golongan profesional, akan tetapi mereka masih sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah-rumah kebajikan.

Membenci ibu bapa dan mengabaikan kasih sayang kepada mereka akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan adalah dosa besar.

Rasulullah SAW pernah bersabda "Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: seorang yang membenci kedua-dua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian selepas isteri itu diceraikan beliau menggantikannya sebagai suami dan seseorang yang berusaha supaya orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesama sendiri dengan hasutannya". (Riwayat Ad Dailami)

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW. tentang dosa besar.

Sabda baginda: "Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya". Tanyanya lagi: "Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?" Jawab Nabi SAW: "Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya".

Apalah gunanya anak berpangkat besar, berjawatan tinggi, memiliki harta banyak sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan dosa disebabkan derhaka kepada kedua-dua orang tuanya.

Kita harus sedar bahawa amal soleh yang banyak tidak mencukupi untuk kita mengabaikan tanggungjawab menjaga orang tua.

Pastinya hati mereka hancur dan air mata sedih akan menitis bila mereka mengenangkan anak-anak yang dibelai dari kecil bagaikan menatang minyak yang penuh, tetapi apabila dewasa dan berjaya, mereka ditinggalkan dan diabaikan.

Janganlah kita menjadi seorang anak semasa kecil diberi susu, akan tetapi apabila dewasa membalasnya dengan tuba.

Sempena 1 Oktober yang diisytiharkan sebagai Hari Warga Emas Sedunia, mimbar menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mengenangkan jasa dan pengorbanan warga ini yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Adanya Hari Warga Emas ini secara tidak langsung memberi ingatan kepada kita semua bahawa setiap manusia pasti akan melewati usia tua.

Justeru, mimbar juga menyeru, marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap mereka.

Sebagai seorang anak menghormati dan berbakti kepada orang tua khususnya kepada ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia, serta menjadi pemangkin utama ke arah membina masyarakat penyayang.

Ingatlah bahawa ketaatan kepada ibu bapa adalah pintu keredaan Allah SWT di dunia ini.

Khutbah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan