Pages

Pameran kereta lama

KEMUNCULAN kenderaan canggih berbentuk futuristik dengan kelengkapan teknologi terkini yang lebih mesra alam tidak sedikit pun menggugat peminat kereta lama atau antik.
Bahkan kenderaan itu kini semakin popular dan menjadi aliran masyarakat pelbagai latar belakang untuk menjadikannya sebagai koleksi peribadi paling bernilai.
Jadi tidak hairanlah ada segelintir yang sanggup meredah perjalanan jauh dengan menjengah ceruk kampung untuk membeli kereta berkenaan walaupun hanya tinggal 'rangka'.

Usaha mereka dianggap murni untuk menyelamatkan kereta lama yang bernilai sebagai sejarah automotif daripada pupus ditelan zaman kemodenan.

Bukan sekadar itu saja, malah sanggup membelanjakan wang tambahan untuk mengubahsuai kereta lama yang dimiliki mengikut ciri-ciri tertentu bersesuaian dengan peredaran masa.

Bagi penampilan lebih menarik dan berseri-seri biasanya pemilik menghiasi dengan pelbagai aksesori, menyediakan alat pendingin udara di samping pilihan warna kereta menarik.

Sehubungan itu, pelbagai pihak turut mengambil inisiatif menganjurkan pameran kereta lama secara terbuka untuk mempromosikan kenderaan itu supaya dapat dinilai masyarakat secara keseluruhannya.

Perhimpunan terbesar tahunan pengguna dan penggemar kereta melalui program Olskool Mega Gathering (OMG) 2012, pada hujung minggu lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 650 kenderaan yang berdaftar.

Bagaimanapun, kenderaan lama yang dikeluarkan sebelum 1984 saja dibenarkan menyertai perhimpunan di tempat letak kereta di tingkat enam, Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Cheras.

Pelbagai jenama buatan Eropah dan Jepun hadir memeriahkannya perhimpunan itu membabitkan Toyota KE70, Starlet KP61, Datsun 120Y, Bluebird 910, Volkswagen Beetle serta beberapa model lain yang sukar di lihat di jalan raya.

Penyelaras Projek OMG 2012, Mohd Najib Abd Rashid berkata, perhimpunan itu sudah masuk tahun keempat dan mencatatkan penyertaan meningkat setiap kali diadakan.

Menurutnya, program tahunan itu diperkenalkan pada 2009 di Kuala Lumpur sebelum diadakan di Mersing, Johor dan Pantai Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan pada tahun lalu.

Katanya, OMG 2012 itu menggabungkan lebih 20 kelab kereta lama berkumpul dalam satu komuniti bersama tidak mengira model atau jenama.

"Keunikan perhimpunan ini juga, kita mampu mengumpulkan peserta pelbagai latar belakang sama ada golongan profesional atau eksekutif di bawah satu bumbung.

"Kebanyakan peserta yang menyertai perhimpunan ini membaik pulih kenderaan �mereka mengikut spesifikasi asal seperti baru keluar daripada kilang," katanya ketika ditemui.

Mohd Najib berkata, konsep OMG itu diilhamkan daripada perhimpunan kelab kereta lama yang diadakan di Jepun dan Amerika Syarikat dengan bertemakan secara santai.

Katanya, pihaknya turut menyediakan pelbagai aktiviti sampingan kepada peserta untuk memeriahkan acara itu dengan mengadakan pertandingan autoshow, cabutan bertuah dan kuiz.

Peserta wanita, Nurnisyah Mohd Kamaruzzaman, 24, memandu kereta Toyota Corolla KE50 yang berusia 36 tahun.

Menurutnya, kereta peninggalan datuknya itu digunakan sejak empat tahun lalu sebagai kenderaan 'rasmi' untuk kegunaan hariannya.

"Saya bangga memandu kenderaan ini kerana ia �mempunyai nilai tersendiri selain tidak mahu ia tersadai kerana dimamah usianya.

"Walaupun sudah berusia, kereta yang menggunakan spesifikasi asal itu mampu mengharungi perjalanan jauh antara Kuala Lumpur ke Ipoh dan masih bertenaga mendaki bukit ke taman tema di Genting Highlands," katanya.

Pengurus restoran itu berkata, komuniti kereta lama banyak membantunya dalam menyelesaikan masalah jenteranya dalam mencari alat ganti dengan mudah.

Pemilik Datsun Pikap buatan 1974, Hamizan Selamat, 39, teruja memiliki kenderaan yang sukar didapati itu selepas membelinya pada tahun lalu.

Menurutnya, dia membelanja hampir RM30,000 untuk membaiki kenderaan itu dengan banyak membeli alat gantian di luar negara melalui Internet.

"Selain Datsun, saya memiliki Toyota Starlet yang sudah diubah suai penampilan luaran dan dalamannya yang tampak sporty.

"Toyota Starlet ini dibeli RM4,500 di Rantau Panjang, Klang dengan keadaannya sedikit uzur sebelum saya mengambil masa hampir setahun untuk membaikinya," katanya.

Menurutnya, bentuk luarannya kenderaan itu ditambahkan dengan gentian kaca untuk tampak sedikit lebar selain memadankan tempat duduk ala 'bucket'.

Sementara itu, pekerja bank, Mohd Syukri Harun, 28, sanggup mengorbankan wangnya untuk membeli Datsun 510 atau lebih dikenali SSS semata-mata menyertai OMG berkenaan.

Menurutnya, walaupun kenderaan itu masih lagi dalam proses baik pulih, dia berasa puas dapat menyertai OMG dengan membelanja hampir RM10,000 untuk membaiki kereta berkenaan.

"Saya membelinya pada Mei lalu dan bertungkus-lumus membaikinya dengan gaya ala perlumbaan serta bakal disiapkan sebelum OMG pada tahun hadapan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan