Pages

Negara perlukan 17,000 lagi jurutera

Johor Bahru: Seramai 17,000 jurutera diperlukan bagi mengimbangi nisbah keperluan Malaysia sebagai negara membangun sebelum mencapai status maju pada 2020, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Negara kini, katanya, hanya mempunyai 65,000 jurutera dan jumlah itu tidak mencukupi bagi mengimbangi nisbah negara membangun iaitu seorang jurutera kepada 350 penduduk.
Masih kurang jurutera

"Berdasarkan kajian Lembaga Jurutera, Malaysia sebagai negara membangun memerlukan sekurang-kurangnya 82,000 jurutera profesional, tapi kita masih kekurangan lagi 17,000 pakar terbabit. Untuk mencapai status negara maju, nisbahnya 1:100 seperti dicapai Korea dan Jepun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini semalam. Hadir sama Timbalan Naib Canselor UTM (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim.

Amat diperlukan

Shaziman berkata, tenaga profesional itu amat diperlukan sebagai tulang belakang pembangunan negara termasuk merealisasikan cita-cita mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian.
"Bidang kejuruteraan mempunyai peluang cerah dan mendatangkan hasil lumayan kerana banyak projek mega seperti Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang serta My Rapid Transit (MRT) memerlukan tenaga jurutera yang ramai," katanya.

Pada majlis itu, Shaziman turut menyerahkan replika Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) kepada UTM yang membolehkan pemiliknya menikmati diskaun sehingga 60 peratus untuk barangan terpilih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan