Pages

Jurulatih Jerman Semakin Yakin Muncul Juara Euro 2012

JURULATIH  Jerman, Joachim Loew memuji barisan pemainnya yang mempamerkan aksi membanggakan setelah menundukkan Greece 4-2untuk melangkah ke separuh akhir Euro 2012.
Kejayaan anak buah Loew itu memberi gambaran bahawa mereka telah selangkah kaki untuk mengulangi pencapain Euro 2008 untuk mara ke pentas akhir.
"Kita bermain dengan baik. Pemain juga banyak melakukan serangan dan ikut apa yang dirancang.
"Jadi, saya harap impian kami untuk ke final dan merampas kembali trofi Euro kali ini akan menjadi kenyataan," kata Loew.
 
Pengendali Jerman, Joachim Loew
Pada masa yang sama, Loew yang mengambil langkah berani dengan merehatkan trio  Mario Gomez, Lukas Podolski dan Thomas Mueller dalam pertemuan dengan Greece dan menggantikan pemain muda, Miroslov Klose dan Marco Reus membuahkan hasil apabila rancangan tersebut berjaya mencatat kemenangan berharga.
Ini berikutan kedua-dua pemain tersebut memainkan peranan apabila masing-masing menjaringkan gol untuk membantu Jerman mencatat kemenangan 4-2 ke atas Greece.
Loew berkata, "selepas kami mencatat tiga kemenangan berturut-turut, saya mengambil keputusan untuk membuat perubahan dengan membawa masuk beberapa pemain muda dalam pasukan."
"Saya yakin masanya adalah tepat dengan perubahan ini. Lagipun saya optimis mereka boleh melakukan dengan baik.
"Akhirnya mereka membuktikan yang pemilihan mereka adalah tepat apabila berjaya menjaringkan gol untuk Jerman," tambah Loew.
Sementara itu, jurulatih Greece, Fernando Santos pula berkata, mereka boleh meninggalkan kempen Euro 2012 dengan perasaan bangga dan mengaku Jerman adalah pasukan jauh lebih hebat.
"Tipulah sekiranya saya kata kekalahan ini tidak mengecewakan kami.
"Tapi, kami telah berjuang sehingga ke saat-saat akhir, dan kekalahan itu tidaklah terlalu dirasai kerana saya berpuas hati dengan corak permainan pemain.
"Apa-apa pun, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jerman kerana mempamerkan aksi yang hebat dan mereka berhak untuk kemenangan itu," kata Santos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan