Pages

Mat Yo tidak sabar sarung jersi Johor

Usah terpengaruh kiamat Jumaat ini

Kuala Lumpur: Umat Islam diingatkan supaya tidak terpengaruh atau mempercayai ramalan bahawa kiamat akan berlaku Jumaat ini.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata sebagai umat Islam mereka perlu yakin kiamat pasti berlaku pada Jumaat, namun bila tarikhnya itu adalah rahsia Allah.
Katanya, hanya Allah SWT saja yang mengetahui bila tibanya hari itu seperti dijanjikan-Nya.

Namun, beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mempersiapkan diri menghadapi kiamat ataupun hari pembalasan, tetapi tidak perlu meramalkan bila ia akan berlaku.

Tanda kiamat sudah dinyatakan buat persiapan

"Tanda-tanda kiamat yang besar dan kecil sudah dinyatakan sebagai persiapan untuk manusia menghadapinya. Kiamat ada dua iaitu kiamat kecil dan kiamat besar, kiamat kecil yakni kematian. Setiap manusia akan menghadapinya.

"Mengapa kita sibuk meramal tarikh kiamat, sepatutnya kita perlu sibuk untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi kiamat kerana ia bakal terjadi.
"Ia adalah perkara ghaib yang mana hanya Allah SWT saja mengetahuinya. Bahkan Nabi Muhammad SAW bersabda, kalau dengar langit hendak runtuh (kiamat) tetapi di tangan masih ada benih (tanaman), maka tanamlah benih itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas polemik mengenai hari kiamat, yang mengikut Kalendar Mesoamerican Mayan pusingan bumi selama 5,125 tahun akan tamat pada 21 Disember ini.

Ekoran ramalan itu, segelintir masyarakat di negara ini termasuk umat Islam dikatakan membuat persiapan bagi menghadapi hari terakhir itu termasuk membeli dan menyimpan keperluan makanan.

Mohamad Shukri berkata, jika umat Islam mempercayai ramalan kiamat, bermakna mereka mencampuri urusan Allah SWT.

"Usahlah kita meramalkan bila kiamat akan berlaku sebaliknya menggandakan lagi amal ibadat bagi menghadapi kiamat," katanya.

Penggodam dipenjara papar gambar bogel selebriti AS

LOS ANGELES: Mahkamah Amerika Syarikat (AS) semalam menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang penggodam komputer kerana menceroboh emel selebriti terkemuka, termasuk gambar bogel Scarlett Johansson dan membocorkannya di laman online.

Hakim Mahkamah Persekutuan Los Angeles juga mengarahkan Christopher Chaney, 36, dari Florida, membayar sejumlah AS$76,000 kepada Johansson, Christina Aguilera dan Renee Olstead, antara berpuluh selebriti yang digodamnnya.
Chaney mengaku bersalah atas tuduhan pada Mac lalu selepas berunding dengan pendawa raya.


Beliau boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 121 tahun jika didapati bersalah atas semua 26 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Hakim S James Otero, berkata Chaney terbukti menganiaya mangsanya terutama dua selebriti yang diekorinya sejak 10 tahun lalu. - AFP

SOS pop diva rock metal

UMMER On September (SOS) mula mengorak langkah pada pertengahan tahun 2009 dengan membawa konsep lagu progressive metal core.
 
Terdiri daripada enam orang ahli iaitu Nurlisa Azizul (vokal), Nor Asyraf Azizi (gitar), Ahmad Fitri Kamarullizam (gitar), Raja Ezzat Ezmir Raja Zaen (keyboard), Razlan Shah Abdul Hamid (dram) dan Muhammad Fauwaz Fitri Othman (bes), SOS kini berubah ke arah progressive hard rock selepas pertukaran beberapa ahli kumpulan.
 
Nama kumpulan ini mula menjadi sebutan ramai pada awal 2010 selepas menyiapkan EP bertajuk Brainforest, yang memuatkan lagu Tonight I Cant Sleep, Brainforest, The Tears, Sandiwara dan Remember This. Malah pada tahun itu juga mereka giat membuat persembahan gig di seluruh Malaysia dan pernah melangkah ke peringkat akhir pertandingan The Global Battle Of The Band.

Apa itu SEO

SEO adalah singkatan bagi satu terma teknologi maklumat iaitu Search Engine Optimization.
SEO sering dibincangkan dalam seminar perniagaan internet kerana ia merupakan salah satu strategi pemasaran yang berkesan di internet.
Andaian yang boleh diberikan ialah bagaimana untuk membuat laman web organisasi Y berada dalam senarai carian yang pertama dalam laman web enjin carian seperti Google sekiranya seseorang menaip perkataan 'komputer' di laman web enjin carian Google tersebut? Jadi, ini adalah sebahagian daripada strategi pemasaran di internet.
 
Terdapat teknik-teknik SEO yang boleh digunakan untuk manipulasi algoritma atau tata cara perjalanan proses bagi sesebuah laman web enjin carian bagi menempatkan kedudukan sesebuah laman web itu di senarai carian yang teratas.

Lukisan medium dakwah

USAHA memartabatkan al-Quran tidak pernah terhenti, malah pelbagai idea baru sentiasa diilhamkan oleh Allah SWT kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.
Ini jelas terbukti sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya. (al-Hijr: 9)
Pelbagai seni dan reka bentuk kreatif kian dihasilkan oleh umat Islam di seluruh dunia. Terbaru, insan bertuah terpilih, Abd. Ghafur Tahir membuktikan bakat yang dikurniakan apabila berjaya menghasilkan lukisan kaligrafi ayat al-Quran terbesar di dunia.
 
Menjadikan misi mengajak masyarakat untuk mengenal dan memahami al-Quran sebagai perjuangan hidup, pemilik Galeri Art Ghafur itu sentiasa memikirkan usaha untuk menghasilkan rekaan kreatif sebagai landasan bagi menarik minat umat Islam mendekati al-Quran.
Usaha murninya akhirnya diperkenankan oleh Allah SWT apabila beliau kini sedang menyempurnakan lukisan kaligrafi ayat al-Quran terbesar bersaiz 7x10 kaki itu yang kesemuanya dianggarkan sebanyak 604 helai lukisan ayat al-Quran.
"Sejak mula dihasilkan pada dua tahun lalu, sebanyak 30 helai lukisan telah berjaya disiapkan iaitu merangkumi juzuk pertama dan kedua dalam surah al-Quran.
"Setiap helaian ayat al-Quran yang dihasilkan menggunakan warna akrilik di atas kanvas itu semuanya dihasilkan dengan corak dan rekaan lukisan berbeza yang mempunyai mesej tersendiri untuk disampaikan kepada masyarakat.
 
"Untuk menghasilkan lukisan ayat al-Quran ini bukan mudah kerana ia memerlukan penumpuan dan ilham idea yang perlu disempurnakan segera. Setiap sehelai lukisan tersebut perlu diselesaikan dalam tempoh kurang daripada lapan jam," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Karnival Kesenian Islam anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, baru-baru ini.
Karnival yang berlangsung selama tiga hari itu turut mempamerkan 50 lukisan pelbagai saiz berkonsep Islam dan ketuhanan karya milik Ghafur.
Selain itu, karnival bertemakan Solusi Muzik dan Kaligrafi itu turut menyediakan pelbagai aktiviti lain termasuk pameran kaligrafi, marhaban, kelas latihan alat muzik dan kutipan tabung dana bantuan untuk Palestin.
Ghafur berkata, setiap helaian lukisan kaligrafi ayat al-Quran tersebut menggunakan seni khat berbeza iaitu khat nasakh, thuluth, rik'ah, farsi, diwani dan kufi.
 
Medium dakwah
Ghafur yang tidak pernah mempelajari, apatah lagi mengetahui seni kaligrafi bernekad menghasilkan sesuatu kelainan dalam penghasilan nafkah al-Quran kerana didorong oleh semangatnya yang mendalam.
Sehinggalah pada 2010, terlintas difikirannya untuk merealisasikan cita-cita yang dibina sejak 10 tahun lalu untuk menghasilkan naskah al-Quran dengan gaya kontemporari dan tersendiri.
"Hobi saya ialah melukis sejak kecil lagi. Tetapi mula aktif menceburi bidang ini sejak 2007. Namun, kebanyakannya adalah lukisan berbentuk abstrak," ujarnya.
Beliau berkata, bukan bertujuan untuk mengaut keuntungan, tetapi lukisan ayat al-Quran tersebut diharap menjadi landasan baginya untuk memanfaatkan bakat yang dikurnia bagi berdakwah dan mengajak orang ramai kepada Islam.
 
"Mengaplikasikan gabungan khat menggunakan warna yang segar dan seni kontemporari dalam versi abstrak diharap dapat menarik perhatian orang ramai yang memandang terhadap keindahan kesenian Islam.
"Saya berharap menerusi kaedah lukisan seni kaligrafi ayat al-Quran ini dapat mengembalikan kegemilangan al-Quran dan menarik minat masyarakat seluruh dunia terhadap kitab suci Allah SWT ini," katanya.
Tambahnya, untuk menghasilkan reka bentuk lukisan itu bukan hanya memerlukan pengalaman dan kreativiti, malah menuntut kepada ketulusan dan keikhlasan pelukis.
Dibantu oleh seorang pelukis dari Pakistan, In'am dan empat lagi anak lelakinya, beliau kini menyasarkan untuk menyempurnakan lukisan kaligrafi ayat al-Quran tersebut pada 2015.
Bagaimanapun, beliau berharap sumbangan daripada pelbagai pihak dalam memberikan bantuan untuk menampung perbelanjaan kos menyempurnakan lukisan nafkah al-Quran yang bernilai RM1.2 juta.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian dengan menemui Ghafur di Galeri Art Ghafur, Ruang Legar Space U8, Shah Alam.

'Tahan' teksi guna telefon

NEW YORK 16 Dis. - Situasi menunggu dan berebut teksi ketika waktu puncak mungkin menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
Namun, perkara itu bukan lagi menjadi masalah apabila orang ramai kini boleh 'menahan' teksi menggunakan telefon pintar.
Menerusi aplikasi yang dikenali sebagai 'e-hailing', orang ramai boleh mendapatkan khidmat teksi sama seperti yang dilakukan secara manual.
 
Aplikasi ciptaan syarikat telekomunikasi TLC itu semakin meluas digunakan di beberapa bandar raya utama di dunia termasuk di San Francisco, London, Chicago dan Dublin.
Penggunaan aplikasi tersebut dilihat lebih mudah dan menjimatkan masa, selain dapat membantu golongan pemandu teksi mendapatkan lebih banyak penumpang.
 
TLC hanya membenarkan aplikasi tersebut digunakan selama setahun oleh setiap syarikat perkhidmatan teksi bagi memberi peluang sama rata kepada syarikat lain, berserta terma dan syarat tertentu.
E-hailing berfungsi bagi teksi yang berada dalam lingkungan jarak 805 meter dari pusat bandar dan beberapa kawasan lain, bagi mengelakkan pemandu teksi mengenakan caj berlebihan.
Antara syarikat perkhidmatan teksi yang terlibat dalam penggunaan aplikasi tersebut ialah Uber, Hailo, GetTaxi, dan Flywheel. - AGENSI

Gunting selamat nyawa bayi tidak cukup bulan

LONDON 16 Dis. - Kebiasaannya bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan dengan berat kurang daripada satu paun (450 gram) sukar untuk diselamatkan kerana kurang memiliki daya juang hidup.
Bagaimanapun, berlainan dengan Maddalena Douse yang dilahirkan enam bulan lalu, yang hanya memiliki berat 382 gram, kerana kejadian yang jarang-jarang berlaku telah membantu menyelamatkan nyawanya.
Sepasang gunting yang secara tidak sengaja tertinggal di atas penimbang telah membantu menambah berat badannya, sehingga menyakinkan para doktor untuk memberi rawatan susulan kepadanya.
 
Selepas dia diletakkan di dalam mesin khas untuk bayi tidak cukup bulan, sepasang gunting yang secara tidak sengaja tertinggal di atas penimbang menyebabkan berat badannya melebihi berat sebenar bayi itu, sehingga menyakinkan para doktor untuk berusaha menyelamatkan bayi kecil berusia 23 minggu itu.
Setelah diberi rawatan secara berterusan di Hospital Royal Sussex, bayi itu semakin pulih serta sihat, dan dia kini sudah pun dibenarkan pulang ke rumah.
 
Maddalena sebenarnya mempunyai pasangan kembar, Isabella, namun kembarnya itu meninggal dunia beberapa minggu selepas dilahirkan.
Ibu mereka, Kate, dan bapa, Renato, sangat sedih dengan kematian Isabella serta bimbang Maddalena mengalami nasib yang sama.
Namun, pasangan suami isteri itu sangat gembira dengan perkembangan Maddalena yang dianggap 'menakjubkan.'
"Kami tidak pernah menjangka Maddalena boleh dibawa pulang ke rumah apatah lagi untuk menyambut Krismas ini.Beratnya kini 2.49 kilogram dan semakin kuat dari hari ke hari." katanya. - AGENSI

Bolt raih anugerah Personaliti Sukan BBC

JAGUH pecut dunia, Usain Bolt dianugerahkan Personaliti Sukan BBC berikutan kejayaannya meraih tiga emas dalam Sukan Olimpik 2012 buat kali kedua berturut-turut.

Pelari Jamaica berusia 26 tahun ini mencipta sejarah di Olimpik London 2012 dengan meraih tiga emas iaitu 100m, 200m dan 4x100m, malah disytiharkan 'legenda olahraga dunia'.

Bolt juga menjadi atlet pertama berjaya mempertahankan kedua-dua kejuaraan dalam acara 100m dan 200m serta membantu pasukannya meraih emas dalam acara 4x400 meter dengan mencatatkan rekod dunia 36.84 saat.

Pengiktirafan ini merupakan kali ketiga dalam tempoh lima tahun diberikan oleh BBC kepada Bolt.

"Sukan Olimpik merupakan kejohanan besar, tahun yang hebat dan saya telah bekerja keras," katanya.

Selepas memenangi emas 200m buat kali kedua berturut-turut, Bolt turut mengisytiharkan dirinya sebagai seorang legenda.

"Saya legenda yang  hidup, tetapi saya tidak cukup cergas," ujarnya.

Siti: 'Alhamdulillah saya di sisi Datuk K sekarang'

SUSULAN kemalangan yang menimpa  Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa kelmarin, Datuk Siti Nurhaliza sudah tiba di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand yang merawat suaminya itu, pagi ini.

"Alhamdulillah... bersyukur sampai dengan selamat untuk perjalanan 27 jam... tak dapat menahan apabila suami asyik bertanya bila nak sampai... akhirnya... alhamdullillah Me di sisi B...," kata Siti dalam laman Twitter kira-kira 10.40 pagi tadi.

Terdahulu, beliau yang memaklumkan perkembangan perjalanan dari semasa ke semasa berkata telah tiba di  Dunedin awal pagi tadi.

Penyanyi itu menaiki kereta selama dua jam untuk ke hospital.

"Alhamdulillah sudah berada di Dunedin, New Zealand... sekarang menempuh perjalanan dua jam dengan kereta untuk ke hospital... semoga selamat sampai," katanya dalam mesej sekitar jam 4.26 pagi tadi.

Penyanyi nombor satu negara itu berangkat ke New Zealand tengah hari semalam dengan ditemani kakak iparnya, Datin Zaiton dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Kelmarin, Khalid yang turut dikenali sebagai Datuk K terlibat dalam kemalangan motosikal di Queenstown, New Zealand.

Melalui Twitter, anak lelakinya, Muhammad Azief berkata, Datuk K mengalami patah bahu dan kaki serta patah tiga batang gigi.

Anak Datuk K akan berangkat ke New Zealand hari ini untuk menziarah beliau.

Piala AFF : Rajagobal tidak harus dipecat

KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal tidak harus dipecat atas kekalahan skuad kebangsaan Harimau Malaya pada separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012, Khamis lepas, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman terhadap jurulatih itu malah beliau perlu diberi peluang melakukan penambaikan dan pembaharuan dalam skuad bimbingannya dalam menghadapi kejohanan seterusnya.

"Kita tidak harus lupa Rajagobal yang bertanggungjawab mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap pasukan negara dan menaikkan imej pemain sehingga dikenali ramai... tidak seperti sebelum ini.

"Bagaimanapun beliau harus mencari jalan dalam meningkatkan lagi prestasi skuad kebangsaan," katanya kepada pemberita pada majlis perkahwinan anak perempuannya Nurkhalida dan pasangannya, Qaiyum Hasnul, kedua-dua berusia 25 tahun, di Stadium Juara Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga bertanggungjawab untuk melihat pembangunan mutu sukan itu secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata, FAM perlu memberi perhatian untuk meningkatkan status Liga Malaysia yang kini berada dalam kategori D berbanding kategori B oleh Liga Vietnam dan Indonesia dalam ranking Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Dalam saingan separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012, Malaysia, selaku juara bertahan, dikecewakan oleh Thailand dengan agregat 1-3.

Thailand akan menentang Singapura pada perlawanan akhir timbal balik pada 19 dan 22 Disember ini.

Selepas gagal mempertahankan kejuaraan itu, Rajagobal berkata beliau mahu memenuhi kontraknya sehingga Disember 2013 bersama FAM dengan misi utama membantu skuad negara melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan Piala Asia 2015 di Australia.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 56 tahun itu menegaskan bahawa kedudukannya selepas ini diserahkan kepada FAM.

Pasukan negara akan memulakan kempen kelayakan Piala Asia 2015 pada Februari depan dengan menentang Qatar sebelum berdepan dengan Bahrain dan Yemen dalam saingan Kumpulan D. - Bernama

Sayu lihat ayah tersepit

KOTA TINGGI - "Tumpuan saya hanya kepada ayah. Saya langsung tidak fikirkan keadaan huru-hara di luar.
"Sebaliknya sedaya upaya saya cuba membantu ayah yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas dirempuh treler," cerita Mohd Hasni Abdul Samah, 23, ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Mohd Hasni antara mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 44 Jalan Sg Rengit - Kota Tinggi, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu,  tiga maut setelah terlibat dalam kemalangan yang membabitkan lima kenderaan. Mohd Hasni, hanya cedera ringan
Kejadian itu meragut nyawa Mohd Ali Kenid, 51, dari Felcra Sg Layau yang meninggal dunia di tempat kejadian; sementara Abdul Samah Darmawi, 56,  peneroka Felda Kledang; dan Siti Noraziah Abdul Wahab, 21, dari Felda Sg Mas meninggal dunia di HKT.
Menceritakan kejadian, Mohd Hasni berkata, dia bersama ayahnya dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi menuju ke Felda Kledang.

"Saya melihat dengan jelas kejadian ini di mana dua kereta jenis Proton Saga di hadapan kami memasuki laluan bertentangan.
"Ketika itu, ayah sempat bersuara dan bertanya 'eh kenapa dengan kereta tu?'.

"Dalam sekelip mata, lori yang cuba mengelak kereta Proton Saga itu hilang kawalan dan terus merempuh kenderaan kami.
"Saya yang berada di tempat duduk penumpang melihat ayah sudah tersepit tidak sedarkan diri," katanya.
Lambaian terakhir suami

ISTERI Allahyarham Abdul Samah, Zainab Khalid, 54, tidak menyangka ciuman dan lambaian tangan suaminya tengah hari kelmarin adalah petanda dia akan ditinggalkan buat selamanya.
Ketika itu mangsa hendak ke Felda Kledang kerana mahu melihat anak hasil perkahwinan dengan isteri pertamanya yang belajar di Terengganu pulang bercuti.
"Saya diberitahu mengenai kejadian jam 5.30 petang, terus bergegas ke HKT.
"Dia kata akan balik esok (semalam). Sebelum bertolak arwah sempat cium pipi dan lambai tangan kepada saya.
"Saya mula merasa pelik kerana sebelum ini arwah tidak pernah begitu, namun tidak sangka ia adalah pertemuan terakhir kami," katanya.

Sementara itu, anak sulung kepada Mohd Ali, Norain, 25, tidak menyangka perbualannya dengan bapa tersayang sehari sebelum kejadian adalah yang terakhir bagi mereka berdua.

"Ketika berbual, saya mengadu kepada arwah tentang kereta saya yang dilanggar lori semasa dalam perjalanan pulang dari kerja.

"Arwah yang bekerja sebagai nelayan ketika itu sedang membelek jaringnya, berpesan supaya saya sabar.
"Pesanannya masih segar di ingatan saya, tetapi tidak sangka arwah pula akan terlibat dengan kemalangan lori.
"Malah saya melihat dengan mata saya sendiri di mana kereta ayah yang melekat di badan lori treler itu.
"Mayatnya pula sudah ditutup dengan plastik hitam ketika saya sampai di tempat kejadian," katanya.
Difahamkan, jenazah ketiga-tiga mangsa dituntut oleh keluarga masing-masing dan sudah dibawa pulang untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Felcra Sungai Layau, Felda Sungai Mas dan juga Felda Tenggaroh 5.

Kes sedang disiasat
KETUA Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik berkata, kejadian berlaku apabila sebuah treler dari arah Sungai Rengit dipercayai bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Saga dari arah Kota Tinggi sebelum melibatkan tiga kereta lain.
"Sebanyak lima kenderaan terlibat iaitu sebuah treler, dua buah kereta jenis Proton Wira dan dua kereta jenis Proton Saga.
"Mangsa pemandu kereta jenis Proton Wira (Mohd Ali) maut di lokasi kejadian, manakala dua mangsa meninggal dunia di HKT.

"Pemandu treler dan pemandu sebuah lagi kereta Proton Saga tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Che Mahazan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian dan pemandu treler ditahan untuk disoal siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Page Janda Duda Malaysia

Memegang status duda bukanlah seberat status janda yang selalu dikaitkan sebagai orang ketiga dalam rumah tangga orang lain. Bahkan, ada yang beranggapan duda lebih tinggi market di mata wanita berbanding lelaki bujang kerana lebih romantik dan punyai banyak pengalaman.

Berbeza dengan janda, lebih-lebih lagi jika punya anak, rintangan hidup yang terpaksa mereka tempuh lebih berliku dan beronak duri. Namun, baik siapa pun, tentu tidak pernah membayangkan untuk memegang dua status itu ketika pertama kali melafazkan akad untuk berumah tangga. Harapan utama tentunya mahu mengekalkan mahligai perkahwinan hingga ke akhir usia.

Apabila ia berlaku juga, perkara seterusnya adalah meneruskan hidup. Sesulit mana pun, berpeganglah pada pepatah 'patah tumbuh hilang berganti'.


Status tidak diragui

Memegang status duda atau janda membuatkan sesetengah orang malu mengakui status mereka, seterusnya gagal mencipta hubungan baru bagi mencari pengganti teman hidup. Justeru, kebanyakannya memilih jalan  berkomunikasi atau memulakan perkenalan menerusi medium maya atau internet yang tentunya tidak menjanjikan keseriusan perhubungan.

"Atas dasar membantu, page Duda dan Janda Malaysia ini ditubuhkan. Page ini bertujuan baik. Kita tidak mahu ramai orang terpedaya dengan cinta maya.

"Saya tubuhkan page ini supaya ahli tidak berasa ragu untuk memulakan perhubungan. Apabila status sudah disahkan lebih awal, senanglah ceritanya nanti," kata Mohd Shukri, 30, pengasas Komuniti Janda Duda Malaysia.

Menurut Mohd, menerusi page ini, ahli bukan sahaja berpeluang berkenalan sesama mereka atas inisiatif sendiri, malah Admin turut membantu dengan menganjurkan pelbagai aktiviti.

"Page ini masih baru. Setakat ini kami mempunyai lebih 1,000 ahli dan kebanyakan mereka ibu dan bapa tunggal. Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah majlis suai kenal Zon Utara dan akan disusuli ke negeri-negeri lain.

"Kami juga mengadakan pertandingan boling buat ahli yang berminat di samping berhari raya ke  rumah ahli ketika Aidilfitri dan Aidiladha lalu," katanya.


Elak wanita jadi mangsa

Bagi Admin pemerhati, Amrah Ariffin,35, berkata, penglibatannya dalam page ini berlaku secara tidak sengaja semasa melayari internet. Memandangkan dia aktif melayari page tersebut, dia kemudiannya diundangkan menjadi Admin.

"Kadangkala, perkenalan mudah dalam medium maya memerangkap wanita sehingga menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Perkenalan yang pada mulanya atas dasar kasih sayang bertukar penipuan. Saya bimbang berlaku perkara itu. Sebab itu saya menyertai persatuan ini supaya tidak takut untuk menjalin hubungan serius dengan kenalan internet," katanya.

Ditanya mengenai kejayaan persatuan dalam menemukan pasangan hidup, Amrah memberitahu terdapat ahli yang berjaya namun, persatuan tidak mengekalkan keahlian mereka yang sudah berkahwin.

"Dahulunya, page ini tidak aktif seketika kerana berlaku perubahan Admin. Kini, ia diaktifkan semula dan masih dalam proses mengukuhkan syarat keahlian kerana kebanyakan Admin bertugas bukan sepenuh masa," katanya.

Selain Amrah, Admin terlibat secara langsung adalah Mahniza Mohamad, Suriati Shaari dan Nur Fazlina Ismail. Layari http://www.facebook.com/groups/362062192558/ untuk maklumat.

YASNITA sedia urus pembantu rumah

Kuala Lumpur: Yayasan Suara Wanita (YASNITA) sedia menguruskan kemasukan dan latihan warga Indonesia yang mahu berkhidmat sebagai pembantu rumah di negara ini.

Pengerusi YASNITA , Tan Sri Zaleha Ismail, berkata langkah itu bagi mengelakkan pembabitan orang tengah dalam proses pengambilan pembantu rumah.

Kami juga sedia bekerjasama dengan mana-mana yayasan wanita di Indonesia untuk menguruskan aspek teknikal termasuk latihan, urusan perjalanan dan kebajikan," Zaleha Ismail, Pengerusi YASNITA
Sehubungan itu, katanya, YASNITA bercadang melancarkan portal bursa pembantu rumah yang membolehkan pembantu rumah Indonesia mengiklankan biodata mereka, manakala bakal majikan pula mengiklankan diri mereka sebagai bakal majikan yang inginkan khidmat pembantu rumah.

"Kami juga sedia bekerjasama dengan mana-mana yayasan wanita di Indonesia
untuk menguruskan aspek teknikal termasuk latihan, urusan perjalanan dan kebajikan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Zaleha mengulas kenyataan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhaimin Iskandar yang menyatakan republik itu menimbangkan untuk tidak menggunakan khidmat agensi dalam proses kemasukan pembantu rumah Indonesia ke negara ini.
Peraturan baru yang bakal menyaksikan fungsi agensi dikurangkan atau dihapuskan terus itu adalah antara kaedah dipertimbangkan oleh Indonesia bagi membolehkan tenaga kerja dihantar terus kepada majikan, sekali gus mengurangkan kos.

Kos sebenar rm2000 sahaja
 
Bagaimanapun, pengambilan masih dalam pengawasan pihak berkuasa Indonesia.

Zaleha yang menyokong hasrat kerajaan Indonesia itu percaya langkah itu akan disokong suri rumah, isteri dan ibu bapa negara ini yang tertekan akibat kos pengambilan pembantu rumah asing yang mencecah sehingga RM10,000 seorang.

"Pada hal, jika pembantu rumah asing datang ke Malaysia, kosnya hanya sekitar RM2,000.

"Yang lebih menyedihkan jika pembantu rumah lari, majikan akan menanggung rugi," katanya.

Beliau berkata, pembantu rumah sebagai pekerja juga merana dan tertekan kerana terpaksa bekerja tiga bulan tanpa gaji bagi membayar balik kos yang dikenakan agensi pembantu rumah asing.

Mourinho angkat bendera putih

MADRID: Ketika Real Madrid masih tercicir 13 mata daripada pendahulu liga, Barcelona, Jose Mourinho hari ini mengakui perlumbaan untuk memburu kejuaraan itu sudah berakhir, bulan ini.

Ini kerana Barcelona masih terus menjarakkan kedudukan selepas mencatatkan kemenangan ke-15 kelab itu membelasah Atletico Madrid 4-1, awal pagi tadi.
Real pula masih terumbang-ambing apabila hanya seri 2-2 dengan Espanyol.

"Kejuaraan liga kini mustahil.

"Ini kali pertama saya dalam situasi seperti ini apabila pasukan saya masih berada dalam kedudukan yang jauh untuk mencapai objektif.

"Tiga belas mata adalah jarak yang jauh dan apa yang penting kita terus bermain dan jangan memikirkan untuk di tempat pertama, kedua atau ketiga," katanya.

Label NEO Adidas sasar remaja

KUALA LUMPUR - Adidas Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju utama segmen pakaian sukan dengan memperkenalkan rekaan terbaharu sempena musim bunga dan panas menerusi koleksi label NEO kepada pada tahun hadapan.
Rekaan yang lebih segar, berwarna-warni dan bergaya tersebut bakal menjadi koleksi yang ideal untuk golongan remaja berumur 14 hingga 19 tahun.
 
Pengurus Jenama dan Pemasaran Sukan adidas Malaysia, Bryan Gee berkata, label NEO itu disasarkan kepada golongan remaja yang ingin menjadi pencetus trend fesyen melalui pengaruh budaya pop.
"Rangkaian baharu itu merupakan sebahagian daripada Divisyen Gaya Sukan Adidas yang turut terdiri daripada label Originals, Y-3 dan SLVR.
 
"Setiap koleksi ini mewakili aspek fesyen yang berbeza, di mana NEO diinspirasikan daripada trend aliran utama generasi bergaya masa kini," katanya pada majlis pelancaran koleksi terbaharu itu di sini baru-baru ini.

Dirempuh hingga terpelanting 50m di langgar keretapi

PASIR MAS - Tindakan seorang lelaki menggunakan landasan sebagai jalan pintas untuk ke rumahnya sambil memegang telefon bimbit mengundang padah apabila dia dilanggar kereta api dalam kejadian di Kampung Chenok, Slow Machang di sini petang semalam.
Lebih mengharukan, penduduk di kampung berkenaan sempat menjerit ke arah mangsa, Mohd. Zudilman Che Ismail, 34, mengenai bahaya yang menantinya malah kereta api tersebut juga sudah membunyikan siren.
Malang sekali pekerja sambilan Telekom Malaysia itu tidak mengendahkannya menyebabkan kereta api tersebut merempuh mangsa sehingga dia terpelanting 50 meter.
 
Mangsa cedera parah di kepala dan badan, meninggal dunia dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mangsa dikatakan cuba melintas landasan itu sebelum dirempuh kereta api yang datang dari arah Pasir Mas ke Tumpat.
"Pekerja sambilan Telekom itu cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kes diklasifikasikan mati mengejut dan tiada unsur jenayah," katanya ketika dihubungi.
 
Sementara itu, saksi kejadian, Zulkifli Mohamad, 42, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke landasan untuk mengambil anaknya yang bermain di sekitar kawasan di seberang landasan.
"Sebelum kejadian, saya melihat mangsa baru sahaja turun dari kereta rakannya, kemudian mahu melintas landasan untuk ke rumahnya sambil memegang telefon bimbit.
"Semua penduduk kampung menjerit malah siren kereta api turut berbunyi beberapa kali, namun tiada tanda dia mahu mengelak sebaliknya mangsa meneruskan perjalanan," ujarnya.
Tambahnya, sejurus tiba di tengah landasan mangsa dilanggar kereta api dan melambung hampir 50 meter(m) dari lokasi perlanggaran.

Jawi lancar kelab bermotor sahabat D'Masjid

KUALA LUMPUR — Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melancarkan Kelab Bermotor Sahabat D'Masjid bagi membantunya melaksanakan program kebajikan untuk masyarakat.
Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali berkata, anggota kelab itu sebelum ini pernah menghulur bantuan kepada golongan gelandangan di Kuala Lumpur dan melaksanakan program kebajikan di Temerloh.
"Ada juga dalam kalangan anggota kelab yang boleh memberi bantuan kaunseling kepada golongan yang memerlukan, termasuk yang terlibat dengan masalah sosial," katanya ketika melancarkan kelab itu, yang kini mempunyai 200 anggota, di sini semalam.
 
Sementara itu, pengerusi kelab, Rosile Saat Al-Gayauwi berkata, penubuhan kelab berkenaan dilihat mampu menarik minat golongan muda yang gemarkan aktiviti bermotosikal untuk mendekatkan diri dengan masjid serta mengambil bahagian dalam program kebajikan.
"Kelab ini juga mahu mengubah tanggapan negatif yang sering dikaitkan dengan peminat motosikal seperti gejala rempit, ragut, dadah dan sebagainya," katanya kepada pembeita.
 
Rosile berkata, antara syarat untuk menyertai kelab itu ialah memiliki lesen yang sah dan motosikal sendiri.
Dalam pada itu, majlis hari ini turut menyaksikan pelancaran tabung "Salam Al-Gayauwi" bertujuan mengumpul dana bagi membina surau Kampung Penan di Batu 12 1/2, Bintulu, Sarawak. — BERNAMA

Harimau Muda bersedia awal

TIRAI temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar hanya akan disingkap pada penghujung tahun depan.
Namun, 'kerja rumah' pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee telah pun bermula dalam misi mempertahankan ibu segala emas yang dimenangi mereka di Jakarta, Indonesia dua tahun lalu.
Sedar mempertahankan emas jauh lebih sukar terutamanya dalam usaha melakar kemenangan hatrik pada temasya kali ini, Kim Swee enggan anak-anak buahnya terlalu selesa dibuai mimpi indah selaku juara bertahan.
 
Menurut beliau, tiga bulan terakhir sebelum tirai temasya bermula Disember tahun depan merupakan detik penentu sejauh mana kemampuan Harimau Muda mempertahankan kejuaraan ataupun tidak.
"Dalam tempoh tiga bulan terakhir sebelum temasya Sukan SEA bermula, saya akan mengenal pasti sistem atau kelemahan pasukan.
"Ia tempoh yang paling penting buat saya mengetahui apa yang perlu diperbaiki dalam pasukan," katanya kepada Kosmo! semalam.
 
Skuad Harimau Muda yang kembali menjalani latihan minggu lalu telahpun menjalani latihan persahabatan bersama Sarawak yang berkesudahan seri 1-1 di Port Dickson, petang kelmarin.
Mengulas lanjut, Kim Swee memberitahu beliau merancang membawa anak-anak buahnya berguru di Australia bermula Januari depan sebaik tidak lagi menyertai saingan Liga Singapura (Liga S) bagi musim 2013.
 
Selepas itu katanya, beliau juga merancang untuk menimba ilmu di Slovakia atau pun benua Eropah untuk tempoh sekurang-kurangnya empat bulan pada pertengahan Mac depan, dan hanya kembali ke tanah air sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Saya juga dalam perancangan membawa Harimau Muda menyertai Pestabola Merdeka (Ogos) dan Newspaper Cup di Vietnam (Oktober) sebagai sebahagian daripada persiapan mempertahankan emas Sukan SEA.
"Cuma pada masa sama, kami perlu kekal realistik. Tiada gunanya muncul juara mana-mana kejohanan jemputan jika emas Sukan SEA terlepas daripada genggaman.
"Senarai terkini skuad Harimau Muda juga akan diumumkan dalam masa terdekat, dan saya harap skuad Harimau Muda kali ini dapat memberikan yang terbaik di Myanmar nanti bagi memastikan kita mempertahankan kejuaraan," katanya optimis.


Piala AFF - Ong Kim Swee ganti Rajagopal?

NAMA pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee ketika ini cukup laku bagaikan 'pisang goreng panas' dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.
Ia ekoran pengendali kelahiran Melaka itu dikatakan calon paling sesuai mengambil alih tugas pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal ekoran kegagalan skuad Ha rimau Malaya mempertahankan Piala Suzuki AFF kali ini sebaik ditewaskan Thailand menerusi agregat 1-3 pada peringkat separuh akhir di Stadium Supachalasai Bangkok, minggu lalu.
 
Biarpun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih mempercayai kredibiliti Rajagobal sehingga kontraknya berakhir pada Disember 2013, sebahagian besar penyokong tempatan dilihat sudah mula kurang sabar dan mendesak supaya Rajagobal meletak jawatan ataupun dipecat serta-merta.
Pada masa sama, rata-rata mereka mahu Harimau Malaya diambil alih oleh Kim Swee berdasarkan reputasi jurulatih itu mempertahankan ibu emas temasya Sukan SEA di Jakarta, Indonesia tahun lalu.
Begitupun, Kim Swee lebih gemar mengambil pendekatan 'mengunci mulut', selain membayangkan mahu kekal menerajui Harimau Muda bagi mempertahankan emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar, tahun depan.
 
"Biarlah beliau (Rajagobal) teruskan dahulu kerja beliau (selaku jurulatih).
"Senang cerita, fokus utama saya ialah mempertahankan emas Sukan SEA," kata Kim Swee ringkas kepada Kosmo! semalam.
Semalam, Kosmo! Ahad melaporkan kedudukan Rajagobal selaku jurulatih Harimau Malaya masih terjamin sekurang-kurangnya sehingga kontraknya tamat penghujung tahun depan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dilaporkan berkata, Rajagobal perlu diberikan sokongan biar pun gagal mempertahankan Piala Suzuki AFF kali ini.
Dalam pada itu, Kim Swee yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-42 pada 11 Disember lalu menegaskan, beliau sentiasa akur dengan arahan yang dikeluarkan FAM berhubung perkara itu.
"Saya hanya ikut arahan FAM," jelas Kim Swee

Membudayakan membaca al-Quran

ALLAH SWT telah berfirman dalam ayat 185 surah al-Baqarah bahawa tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia adalah untuk memberi petunjuk dan penjelasan kepada seluruh umat serta menerangkan tentang perbezaan antara hak dan batil.
Malah dalam surah yang sama menerusi ayat kedua dan ketiga, Allah SWT menyatakan tujuan lain al-Quran diturunkan adalah sebagai tanda mukjizat kebesaran Ilahi bahawa tiada keraguan selain menjadi petunjuk bagi orang yang mahu bertakwa.
 
Menyedari ilmu al-Quran terbentang luas dan konsep kitab suci tersebut sebenarnya bukan hanya dibaca ketika waktu kematian atau mana-mana pertandingan tilawah, maka timbul kesedaran oleh sepasang suami isteri yang mempunyai pengetahuan qiraat untuk menubuhkan dua sekolah tahfiz sejak tiga tahun lalu.
 
Madrasah Tahsin al-Quran khusus bagi lelaki yang terletak di Puchong manakala untuk wanita, Madrasah Hafizah Tamam di Bandar Baru Bangi, Selangor
 
Hasrat seorang tokoh penceramah agama, Asni Mansor dan suaminya, Mohd. Nasir Rustam untuk mewujudkan dua sekolah tahfiz iaitu Madrasah Tahsin al-Quran khusus bagi lelaki yang terletak di Puchong manakala untuk wanita, Madrasah Hafizah Tamam di Bandar Baru Bangi, Selangor adalah usaha mereka untuk membudayakan bacaan kitab suci itu dalam kehidupan seharian.
Jelas Asni yang pernah menjadi hakim dalam sebuah rancangan berbentuk realiti keagamaan, idea menubuhkan dua buah sekolah menghafaz al-Quran juga timbul setelah beliau dan suaminya menjalankan program cuti sekolah 'ala madrasah' sejak 12 tahun lalu, malah wujud permintaan oleh bekas peserta meminati menghafaz al-Quran selepas menyertai aktiviti seumpama itu.
"Hasrat untuk menubuhkan sekolah tahfiz sudah lama terpendam, tetapi usaha untuk ke arah itu memerlukan penelitian yang tinggi memandangkan menubuhkan sekolah atau pusat pengajian bukan senang kerana memerlukan pengetahuan pengurusan dan komitmen tinggi.
 
"Akhirnya dimulakan sebuah sekolah tahfiz untuk lelaki dan kemudiannya wanita pada tahun lalu, usaha kami untuk membudayakan al-Quran dalam kehidupan hampir berjaya dengan kewujudan sekolah berkenaan," tambahnya.
Ketika ditanya berhubung sukatan pelajaran yang digunakan, Mohd. Nasir memberitahu, ia sepenuhnya tertumpu kepada menghafaz al-Quran.
 
Ilmu qiraat
 
Matlamat pihaknya mengadakan sukatan pelajaran seumpama itu agar para pelajar lebih memfokuskan kepada ilmu qiraat dan menumpukan kepada amalan menghafaz.
Sejak ditubuhkan, Mohd. Nasir berkata, sebanyak 48 pelajar lelaki dan 25 pelajar wanita sedang menuntut di dua buah sekolah itu yang ada antara mereka dijangka menghabiskan pengajian dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.
 
Beliau menyatakan terdapat tiga tahap tempoh pengajian tahfiz iaitu yang pertama selama tiga tahun, kedua empat tahun dan akhir sekali selama empat tahun setengah.
"Mereka dibahagikan mengikut tahap tersebut berdasarkan kemampuan untuk menghafaz al-Quran.
"Alhamdulillah setakat ini, saya melihat semua pelajar berkebolehan dan bersungguh serta usaha menunjukkan mereka mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran," ujar beliau.
Dengan kadar bayaran yuran bulanan RM450 dikenakan untuk pelajar lelaki manakala RM500 bagi pelajar perempuan, Mohd. Nasir berkata jumlah itu meliputi untuk dana semua perbelanjaan dan pengurusan kedua-dua buah sekolah tahfiz itu. Tambah beliau, sukatan kokurikulum pelajar wanita berbeza dengan lelaki dengan ditambah silibus ekonomi rumah tangga.
 
Madrasah sendiri perlu turun padang menemui masyarakat
 
Asni menjelaskan pada masa kini, sikap menunggu orang ramai datang ke madrasah perlu ditukar dengan madrasah sendiri perlu turun padang menemui masyarakat.
Beliau menjelaskan konsep itu perlu diperhalusi supaya madrasah khususnya sekolah tahfiz lebih dekat kepada masyarakat dan bukan dijauhi.
Ibu bapa yang mempunyai anak berusia 10 tahun ke atas dan berhasrat menghantar mereka ke Madrasah Tahsin al-Quran di Puchong dan Madrasah Hafizah Tamam di Bandar Baru Bangi, Selangor boleh menghubungi Mohd. Nasir menerusi talian 019-695 5930.

13 negeri lulus 100% UPKK

PUTRAJAYA 12 Dis. - Sebanyak 13 negeri berjaya mencatat keputusan cemerlang dengan lulus 100 peratus dalam peperiksaan Ujian Penulisan Kelas Kafa (UPKK) pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, keputusan tersebut mengatasi pencapaian tahun lepas di mana hanya 12 negeri mencapai kelulusan 100 peratus.
 
Katanya, hanya Wilayah Persekutuan memperoleh keputusan 99 peratus lulus.
"Secara keseluruhan, 24,962 calon mendapat 8A berbanding 17,684 pada 2011.
"Jumlah tertinggi mendapat 8A ialah di Terengganu iaitu sebanyak 21.69 peratus, diikuti Melaka 21.50 peratus dan Sabah sebanyak 18.34 peratus," katanya pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan itu di sini hari ini.
 
Katanya, berdasarkan kelulusan mata pelajaran, subjek Amali Solat mencatat kadar kelulusan tertinggi iaitu 99.93 peratus diikuti Penghayatan Cara Hidup Islam, 99.91 peratus manakala bidang al-Quran mencapai 98.47 peratus.
Jamil Khir berkata, berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), Selangor muncul negeri terbaik dengan (1.55 mata) diikuti Melaka (1.59 mata) dan Terengganu (1.64 mata).
Seramai 186,966 calon menduduki peperiksaan UPKK 2012 yang diadakan pada 1 hingga 4 Oktober lepas.

PRU13 - Ibrahim Ali akan pertahan kerusi Pasir Mas

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali akan mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya umum akan datang namun belum menentukan untuk bertanding di bawah lambang parti politik tertentu.
Menurutnya, beliau bersedia bertanding sama ada di bawah Pas seperti dalam Pilihan Raya Umum 2008 atau di bawah lambang parti lain seperti UMNO.
 
Sehubungan itu, katanya, beliau masih mengharapkan sokongan semua pihak sama ada daripada UMNO serta Barisan Nasional (BN) atau Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membantunya memenangi semula kerusi itu.
 
"Saya bersedia berbincang dengan mana-mana parti politik yang sedia menawarkan saya bertanding di bawah lambang parti mereka dalam pilihan raya umum nanti.
"Saya mahu meneruskan khidmat dengan penduduk Pasir Mas dan yakin khidmat saya lebih baik daripada ramai pemimpin parti politik tertentu," katanya.

Penyatuan UMNO-Pas martabatkan Islam - Mufti

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Perpaduan antara UMNO dan Pas dapat memperkembang serta memartabatkan perjuangan Islam di negara ini seterusnya memperkuatkan wadah politik masyarakat Melayu.
Sehubungan itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, masyarakat Melayu terutama daripada kedua-dua parti tersebut tidak boleh terlalu taksub dengan ideologi politik masing-masing sehingga merugikan Islam.
 
Lebih menyedihkan, kata beliau, terdapat kecenderungan parti terbabit menuduh pemimpin serta ahli parti berlawanan sebagai kafir hanya kerana berbeza ideologi politik.
"Pernah dalam majlis kenduri yang saya hadiri, mereka membuang dua besen ayam atas alasan haram kerana disembelih ahli UMNO, sedangkan sembelihan Kristian dan Yahudi (ahli kitab) pun halal, apatah lagi ahli UMNO yang mengucap dua kalimah syahadah.
 
"Pas dan UMNO, kedua-duanya cakap mempertahankan Islam, masing-masing bertelagah, saya seronok kalau dua kumpulan itu bergerak mengembangkan Islam kerana usaha itu pasti berjaya," katanya.
Beliau berucap merasmikan Persidangan Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Ketiga di sini hari ini.
Menurut Harussani, perpecahan kedua-dua parti itu disebabkan pemimpin dan ahli masing-masing terlalu taksub dalam memperjuangkan ideologi mereka.
Menurut beliau, perbezaan ideologi seharusnya membawa kepada kemajuan serta perkembangan Islam dan bukannya kehancuran.
 
"Melayu jangan taksub dengan parti, biarlah dua parti, namun percanggahan fikiran (seharusnya) akan membawa kemajuan dan jangan sesekali lupa matlamat kita adalah Islam," tegasnya.
Harussani sebelum itu menerima Anugerah Bintang Perkasa daripada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali atas sumbangan serta ketokohan dalam memperjuangkan Islam selama ini.
Beliau muncul individu keempat menerima anugerah itu selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas sumbangan dalam memajukan negara; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor (Tokoh Keselamatan Negara) dan Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Arshad Ayub (Tokoh Pendidikan Negara).


Pelajar IPT boleh tanding PRU-13

Putrajaya: Kerajaan membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kebenaran itu tanda kerajaan mengiktiraf fungsi dan sumbangan serta kematangan daya pemikiran mahasiswa di negara ini sekarang.
Ia juga selari dengan langkah kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) baru-baru ini yang membenarkan mahasiswa aktif dalam aktiviti dan parti politik di luar kampus tanpa sebarang sekatan.


"Pindaan ini menunjukkan kepercayaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap kemampuan dan keupayaan mahasiswa berfikir, bertanggungjawab serta membuat keputusan dengan matang demi menentukan masa depan mereka.

"Kerajaan tidak pernah menutup minda mahasiswa, sebaliknya sentiasa memberi peluang untuk membuat penilaian dan pertimbangan.

"Justeru, kerajaan sedia membenarkan pemimpin pelajar yang memenangi pilihan raya kampus baru-baru ini menjadi calon mana-mana parti politik pada PRU-13 jika mereka mahu berbuat demikian," katanya ketika perasmian Program Persijilan 1CITIZEN dan Konvensyen Pemimpin Pelajar 2012, di sini malam tadi.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata ia tidak akan mengganggu keharmonian kampus sebagai entiti bebas politik kepartian dan kekal berkecuali.
Berikutan itu, Khaled berkata adalah menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk mempertahankan keharmonian kampus daripada pengaruh politik partisan.

"Persekitaran kampus yang berkecuali perlu dipelihara untuk melahirkan mahasiswa yang dapat memperluaskan dan meneroka daya pemikiran kritikal, membina minda dan keupayaan intelektual mereka sendiri, sekali gus menerapkan budaya kesarjanaan di kalangan mereka," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada mereka perlu berhenti belajar, beliau berkata pelajar yang bertanding dan menang boleh meneruskan pengajian tetapi tidak dibenarkan berpolitik atau berkempen di dalam kampus.

Orang Melayu Perlu Kukuhkan Pegangan Agama Islam – Harussani

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Orang Melayu perlu memperkukuhkan pegangan agama Islam dan kedaulatan bahasa Melayu walaupun diasak pelbagai ancaman ketika ini, kata Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.
Beliau berkata agama perlu diletakkan sebagai garis panduan dan berjalan seiring dalam perjuangan memartabatkan hak orang Melayu.
 
Murtad, hak istimewa orang Melayu, raja-raja
Katanya isu seperti murtad, hak istimewa orang Melayu, raja-raja dan sebagainya tidak harus dilihat sebagai cubaan melunturkan kekuatan bangsa Melayu yang ada ketika ini.
"Lihatlah kembali kepada sejarah, walaupun (semasa) kita dijajah, orang Melayu tetap berpegang dengan pegangan agama… begitu juga dengan memperkasa bahasa, mempertahankan akidah, melaksanakan syariat Islam dan memperkukuhkan bahasa Melayu di kalangan setiap orang Melayu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan perhimpunan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) ke-3 di sini hari ini.
 
Bintang Tertinggi Pahlawan Perkasa
Jelasnya pertahanan orang Melayu lahir daripada kekuatan agama Islam itu sendiri dan orang Melayu tidak seharusnya memencilkan aspek kerohanian tersebut dalam kehidupan mereka.
"Setiap hari kita baca di media cetak dan mendapat maklumat di media elektronik mengenai keadaan umat Islam yang begitu teruk dihina di bumi ini termasuk apa yang berlaku dalam negara kita," katanya.
Katanya golongan muda sering terdedah kepada ancaman pelbagai pihak untuk memesongkan akidah dan semangat cintakan bangsa mereka namun dengan pertahanan daripada segi pendidikan agama di akar umbi, teras pegangan agama akan terus tersemai dalam jati diri setiap orang Melayu.
 
Pada majlis itu, Harussani dianugerahi Bintang Tertinggi Pahlawan Perkasa iaitu Tokoh Agama Negarawan sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya dalam memartabatkan institusi keagamaan di negara ini.
Anugerah disampaikan oleh Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.