WASHINGTON 6 Sept. - Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran bekas Presiden George W. Bush, didakwa melaksanakan kaedah penyeksaan menggunakan air (waterboarding) terhadap penentang pemimpin Muammar Gaddafi sebelum menyerahkannya kepada kerajaan Libya untuk terus diseksa.
Satu laporan oleh Human Rights Watch hari ini berkata, seorang bekas tahanan mendakwa telah diseksa dengan kaedah 'waterboarding' dan seorang lagi menyifatkannya sebagai penyeksaan menggunakan air.
Dakwaan itu sekali gus menunjukkan penggunaan kaedah penyeksaan itu yang berleluasa ketika era pemerintahan Bush, berbeza dengan kenyataan rasmi sebelum ini.
"AS bukan sahaja membantu menangkap musuh Gaddafi, tetapi Agensi Perisikan Pusat (CIA) turut menyeksa mereka terlebih dahulu.
"Tindakan mereka itu juga dilihat lebih meluas berbanding yang diketahui sebelum ini, sekali gus menggariskan kepentingan pembukaan siasatan penuh untuk mengetahui apa yang berlaku," kata penulis laporan itu, Laura Pitter.
Kumpulan Penentang Islam Libya (LIFG), sebuah pergerakan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda tetapi menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menggulingkan Gaddafi, ditangkap tanpa dibicarakan dari beberapa negara selepas insiden serangan 11 September.
Pitter berkata, sekurang-kurangnya lima orang mengalami 'penyeksaan serius' di pusat tahanan AS di Afghanistan yang dipercayai dikendalikan oleh CIA, termasuk 'waterboarding' dan beberapa penyeksaan air lain.
Penyeksaan lain termasuklah dirantai di dinding selama seminggu atau sebulan, dipukul dan dihempas ke dinding serta dilarang tidur untuk tempoh masa yang lama dengan memasang muzik Barat secara kuat.
Menurut kumpulan yang beribu pejabat di New York itu, laporan tersebut dibuat berdasarkan penemuan dokumen di pejabat ketua perisikan Gaddafi, Musa Kusa selepas pemberontak menawan Tripoli tahun lalu, selain temu bual dengan bekas tahanan yang dibebaskan selepas kejatuhan bekas pemimpin Libya itu. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan