Pages

Usahawan Hampir Rugi RM85,000, Emel Digodam?

 

MELAKA: Tiga lelaki warga Nigeria dan dua wanita rakyat tempatan ditahan berhubung penipuan melalui internet hampir melibatkan kerugian berjumlah RM85,000 di Melaka.

Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 19 dan 28 tahun itu menggunakan modus operandi menggodam emel seorang usahawan berusia 45 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil JSJK) Melaka, Suprintendan Soh Hock Sing berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan runcit menerima satu emel daripada syarikat pembekal Indonesia yang memerlukan beliau membuat pembayaran sebanyak RM85,000 pada 30 Mac lepas.

"Mangsa kemudian membuat bayaran sebanyak dua kali melibatkan RM45,000 dan RM40,000 memasukkan ke dalam akaun sebuah bank yang dipaparkan di emel namun rakan perniagaan mangsa memberitahu tiada pembayaran diterima berhubung perniagaan tersebut," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Polis (IPK) di sini, Jumaat.

Beliau berkata, satu laporan polis dibuat pada hari sama membawa kepada tangkapan pertama seorang wanita berusia 25 tahun di Kuala Lumpur ketika sedang mengeluarkan wang daripada bank pada Khamis.

Soh berkata, hasil soal siasat wanita itu mengaku diarah berbuat demikian oleh rakan lelakinya, seorang warga Nigeria.

Katanya, sehubungan itu polis menyerbu sebuah rumah di Puchong dan menemui pasport, komputer dan komputer riba dipercayai milik suspek namun tiada tangkapan dilakukan.

Beliau berkata, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Bachang, Melaka pada Khamis yang dipercayai mempunyai kaitan kes penipuan usahawan tersebut.

Soh berkata, ketika serbuan dibuat suspek enggan memberikan kerjasama dan membuka pintu hanya selepas 30 minit.

"Tiga lelaki warga Nigeria berusia 26 hingga 28 tahun dan seorang wanita tempatan berumur 19 tahun ditahan," katanya.

Dirampas daripada mereka tiga komputer riba yang disorokkan di bawah tilam dan enam telefon bimbit. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan