Pages

Hanya 20% guna e-perkhidmatan

PERSATUAN Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) menyarankan kerajaan memperkenalkan insentif tertentu bagi menggalakkan penggunaan e-perkhidmatan kerajaan, sekali gus merancakkan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
Presidennya, Shaifubahrim Saleh berkata, setakat ini, hanya kira-kira 20 peratus aplikasi e-perkhidmatan kerajaan diguna pakai orang ramai.

"Angka ini boleh disifatkan rendah sedangkan kerajaan mahu menggalak dan merancakkan perkembangan industri ICT tempatan. Maka, langkah mempromosikan e-perkhidmatan kerajaan ini boleh membantu dan memberi galakan untuk masyarakat menggunakannya.
"Antara insentif yang boleh diperkenalkan mungkin membabitkan diskaun bagi sesiapa yang membuat bayaran cukai dan sebagainya menggunakan e-perkhidmatan atau pelepasan cukai," katanya kepada Bisnes Metro di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengutarakan perkara itu kepada Kementerian Kewangan dan berharap kerajaan akan mengumumkan insentif terbabit dalam pembentangan Belanjawan 2013 di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, 28 September ini.

"Selain itu, Pikom berharap kerajaan akan menurunkan kadar caj penggunaan Internet di negara ini, seterusnya menggalakkan pertumbuhan penembusannya seiring dengan visi kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi membolehkan syarikat ICT tempatan lebih berdaya saing dan efisien, kerajaan perlu mempergiatkan usaha membina kapasiti dengan mewajibkan syarikat mendapatkan pensijilan CMMI (Model Integrasi Kematangan Kapasiti).

"Ini dapat membantu syarikat tempatan bersaing kerana jika tidak, apabila langkah liberalisasi dilaksanakan nanti, kami bimbang syarikat tempatan akan terpinggir akibat tidak mampu menawarkan perkhidmatan sebaik syarikat asing," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan