Pages

Penstrukturan Semula Tingkatan Enam

Sistem pendidikan tingkatan enam dicadang distruktur semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan pendidikan pra-universiti seperti kolej matrikulasi dan pusat asasi sains. Antara langkah yang akan diambil ialah:
  • memisahkan pelajar tingkatan enam daripada sekolah biasa
  • menempatkan mereka di pusat pengajian khas
  • menggunakan pakaian berbeza, jadual waktu yang tidak sama dan guru berlainan berbanding sekolah sekolah biasa.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemisahan pelajar tingkatan enam dengan sekolah biasa ialah untuk meningkatkan imej sistem dan kualiti pendidikan tingkatan enam.
Faktor lain ialah jumlahnya yang ketika ini bertaburan di seluruh negara, selain ada sekolah tertentu hanya mempunyai satu atau dua kelas.
Walau bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat kajian dan perbincangan sebelum dilaksanakan.
"Kerajaan juga bersedia mengkaji kemungkinan tempoh pembelajaran dipendekkan enam bulan lebih awal seperti Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran," katanya di sini semalam.
Muhyiddin berkata, untuk menjayakan penstrukturan tingkatan enam, sistem sokongan yang lebih kukuh diperlukan, termasuk faktor logistik yang diperluaskan.
"Ketika ini tingkatan enam dilihat kesinambungan daripada tingkatan lima, sedangkan sebenarnya mereka sudah dewasa dan matang. Walaupun pelajar tingkatan enam bersekolah di premis sama dengan pelajar sekolah menengah, namun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setaraf kolej matrikulasi," katanya.
Beliau berkata, persepsi masyarakat sekarang ialah pendidikan di kolej matrikulasi lebih baik berbanding tingkatan enam, sedangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing ke universiti awam adalah sama.
Oleh itu, masyarakat seharusnya tidak  melihat pendidikan matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada masanya pencapaian pelajar tingkatan enam lebih cemerlang daripada pelajar matrikulasi.
"Jadi, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) harus melihat bahawa pendidikan tingkatan enam juga antara pilihan terbaik untuk pendidikan pra-universiti," katanya.
Pada tahun ini, ada sejumlah 83,000 pelajar tingkatan enam dan 26,000 pelajar matrikulasi di seluruh negara.
Kami menyambut  baik dengan cadangan penstrukturan semula ini kerana memantapkan lagi sistem pendidikan tingkatan enam yang sedia ada. Seterusnya bisa mengubah persepsi masyarakat terhadap tingkatan enam dalam memilih untuk melanjutkan pelajaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan