Pages

Ujian Ramadan

 
BAGI pelari maraton Jordan, Methkal Abu Drais, masanya mungkin tidak kena. Dia bukan saja bersedia untuk perlumbaan paling penting dalam hidupnya, dia juga melakukannya ketika Ramadan, sewaktu umat Islam di seluruh dunia menjalani ibadah puasa.
"Saya cuba untuk berlatih sebaik tiba di London ketika berpuasa tetapi saya sedar ia benar-benar sukar kerana saya mengambil bahagian dalam perlumbaan yang memerlukan banyak tenaga. Saya rasa saya tidak akan berpuasa."
Ia satu dilema yang diterima yang dihadapi 3,500 atlet Muslim yang bertanding di Sukan Olimpik London yang kebetulan dianjurkan ketika mereka meninggalkan makan, minum serta perkara yang membatalkan puasa mulai Subuh hingga Maghrib.

Kebanyakan negara Islam memberi pelepasan kepada atlet mereka untuk menunda puasa Ramadan ketika temasya sukan itu untuk membantu mereka mengekalkan kekuatan dan berpuasa sebaik kembali ke negara masing-masing.

Bagaimanapun ramai peserta masih terus berpuasa ketika Ramadan, bulan yang paling istimewa sepanjang kalendar Islam apabila berpuasa menjadi satu ibadah wajib.
Pasukan bola sepak lelaki Maghribi memohon untuk berpuasa sepanjang Olimpik biarpun jurulatih mereka dari Belanda Pim Verbeek meminta mereka untuk tidak melakukannya.

"Kami mesti berpuasa kerana ini satu kewajipan dan saya fikir Allah akan membantu kami pada hari perlawanan," kata penjaga gol Maghribi yang beraksi dengan Atletico Madrid, Yassine Bounou.

"Kami sudah biasa bermain ketika Ramadan dan ia tidak memberi impak negatif kepada kami."
 
Methkal Abu Drais
Methkal Abu Drais
Yassine Bounou
Yassine Bounou


Dalam acara judo, atlet Emiriah Arab Bersatu Hamid Alderei berlatih hanya selepas berbuka puasa dan di kalangan enam atlet Niger, hanya Zakari Gourouza tidak berpuasa.

"Lima lagi akan berpuasa kerana mereka berada di sini hanya untuk mengambil bahagian. Mereka belum tentu akan menang pingat dan puasa menjadi keutamaan kami," menurut atlet mendayung Niger, Hamadou Djibo Issaka.

Jurulatih tinju Maghribi, Abdel Haq Achic berkata sukar untuknya memujuk atletnya untuk meninggal�kan puasa biarpun ia memberi impak kepada kekuatan, tenaga dan berat badan.

"Jadi kami tidak mahu kelihatan seperti diktator, kami memberi peluang kepada mereka untuk cuba berlatih ketika berpuasa tetapi selepas mereka sedar tidak mampu melakukannya, mereka menerima keputusan itu," katanya.

"Sukar untuk mereka menerima keputusan itu kerana mereka meng�amalkan ajaran Islam tetapi tiada jalan lain jika mereka mahu bertanding untuk mendapatkan pingat."

Di dalam Al-Quran, umat Islam dibenarkan untuk tidak berpuasa jika sakit atau bermusafir, bermakna atlet yang mengunjungi London boleh menunda ibadah itu.

Sesetengah delegasi mendapatkan nasihat tokoh agama sebelum ke London.

"Delegasi menemui mufti sebelum ke London. Beliau memberitahu mereka bahawa anda sedang bermusafir dan Allah akan membantu anda," kata pegawai pasukan Mesir, Aladdin Jabar.

Perkampungan sukan turut menyediakan kemudahan beribadat dan makanan halal untuk peserta Muslim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan