Pages

'Torres wajar diberi kad merah'

LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson membidas tindakan Fernando Torres sambil menyifatkan penyerang Chelsea itu wajar dilayangkan kad merah gara-gara sengaja menjatuhkan badan.
Kata-kata Ferguson itu hadir sebaik kedua-dua pasukan berentap dalam saingan Liga Perdana England awal pagi semalam yang berkesudahan United menang 3-2.
Dalam aksi 'panas' di Stamford Bridge itu, gol jaringan pemain gantian United, Javier Hernandez pada penghujung babak kedua menjadi pemisah kedua-dua pasukan yang terdahulu terikat 2-2.
 
Selepas kehilangan Branislav Ivanovic yang dilayangkan kad merah gara-gara mengasari Ashley Young pada pertengahan babak kedua, The Blues bertambah tertekan apabila Torres didakwa sengaja menjatuhkan badan ketika diasak Jonny Evans pada minit ke-68.
Disebabkan itu, pengadil perlawanan, Mark Clattenburg melayangkan kad kuning kedua terhadap Torres yang terlebih dahulu dilayangkan kad kuning pertama apabila mengasari Tom Cleverley.
Ia jelas membangkitkan kemarahan rakan sejawatan Ferguson, Roberto Di Matteo sehingga menyebabkan kedua-dua pengurus itu dilaporkan bertikam lidah di tepi padang.
 
Biarpun mengakui terdapat sentuhan yang dilakukan Evans terhadap Torres, Ferguson sebaliknya menegaskan, Torres tidak sepatutnya bertindak keterlaluan.
"Torres sepatutnya meneruskan larian kerana dia hanya disentuh sedikit oleh Evans. Dia sepatutnya boleh terus berlari dan menjaringkan gol.
"Saya tidak faham mengapa dia menjatuhkan badan. Bagi saya, Torres wajar dilayangkan kad merah," kata Ferguson.
Dalam perlawanan itu, United terlebih dahulu di depan apabila tonggak pertahanan Chelsea, David Luiz menjaringkan gol sendiri pada minit keempat sebelum Robin van Persie menggandakan kelebihan pelawat.
The Blues kembali bangkit apabila Juan Mata dan Ramires berjaya mengikat kedudukan 2-2 sebelum malapetaka dilihat menimpa Chelsea sebaik kehilangan Ivanovic dan Torres.
 
Evans pula memberitahu: "Ketika itu, saya tidak sedar melakukan sentuhan terhadap Torres, mungkin ia hanya pelanggaran kecil.
"Mungkin, Torres menjatuhkan badan apabila melihat bola agak jauh darinya," kata Evans.
Apa yang pasti, insiden itu pasti menghangatkan lagi pertembungan kedua-dua pasukan yang bakal bertemu semula dalam pusingan keempat Piala Liga di Stamford Bridge awal pagi Khamis ini.
"Saya tidak tahu hendak cakap apa, kepada pengadil perlawanan (Khamis ini), saya hanya boleh ucapkan selamat maju jaya," kata Ferguson. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan