Pages

Keranda 'muncul' dari kubur akibat taufan Sandy

CRISFIELD, Maryland - Dua buah keranda muncul dari dalam kubur selepas taufan Sandy melanda bandar ini pada Isnin lalu, menurut akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
 
Keranda perak dan gangsa itu 'muncul' selepas simen di atas kubur tersebut pecah ekoran taufan tersebut membawa angin kencang dan air laut ke daratan.
Taufan itu melanda kawasan Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) dengan membawa banyak kemusnahan sehingga hampir menenggelamkan bandar raya New York.
Lebih 8.2 juta orang tidak mendapat bekalan elektrik di 17 buah negeri di AS ekoran serangan taufan tersebut.
Taufan itu turut membawa kemusnahan di Boston, Philadelphia dan Washington.
Taufan itu meninggalkan bandar raya New York kelmarin.
 
Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS, taufan itu bergerak lemah ke negeri Pennsylvania di timur laut AS dan dijangka menuju ke timur New York dan Kanada. - Agensi

Kumpulan Islam tawar bantu AS

ISLAMABAD - Amerika Syarikat (AS) semalam menolak tawaran bantuan daripada pemimpin radikal sebuah kumpulan Islam selepas taufan Sandy melanda negara itu pada Isnin lalu.
Pemimpin kumpulan Lashkar-i-Taiba, Hafiz Muhammad Saeed menawarkan untuk menghantar sejumlah kakitangan kecemasan dan bekalan kemanusiaan ke wilayah yang teruk dilanda taufan tersebut.
 
Menurut kumpulan itu, bantuan tersebut akan dihantar menerusi badan kebajikannya, Jamatud Dawah (JuD).
Bagaimanapun, kedutaan AS di sini menolak untuk menerima tawaran tersebut.
Penolakan itu dibuat di akaun Twitter.
"Kami menghormati tradisi orang Islam membantu manusia yang memerlukan bantuan. Bagaimanapun, kami tidak dapat menerima tawaran Hafiz.
"Hafiz dikehendaki kerana terlibat dalam serangan pengganas di Mumbai yang menyebabkan 116 orang terbunuh.
"JuD pula ialah pertubuhan pengganas yang disenaraikan AS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," kata kedutaan AS.
Bagaimanapun, kumpulan berkenaan memberi reaksi balas menerusi Twitter.
"Bantuan kami ditawarkan untuk penduduk AS, kami akan melibatkan penduduk Islam di AS untuk berada di barisan depan bagi membantu rakan senegara mereka," kata kumpulan tersebut.
 
Hafiz disyaki pihak berkuasa AS dan India merancang serangan pengganas di Mumbai pada 2008.
Sementara itu, harga minyak meningkat di pasaran New York ekoran taufan tersebut.
Harga penghantaran untuk minyak mentah pada bulan Disember naik 48 sen (RM1.46) kepada RM86.16 (RM262.443) setong.
Presiden AS, Barack Obama semalam turut membatalkan parti Halloween bersama kanak-kanak di White House, Washington.
Beliau akan melawat kawasan yang teruk dilanda kemusnahan akibat taufan itu.
Pada tahun lalu, Obama dan isterinya, Michelle menjadi tuan rumah kepada 2,000 kanak-kanak untuk meraikan parti tersebut.
Obama juga akan menangguhkan kempen pilihan raya presiden selama beberapa hari bagi memberi tumpuan terhadap kerja-kerja membantu dan membaiki kerosakan akibat taufan tersebut yang melanda Pantai Timur AS.
Pilihan raya presiden akan diadakan pada 6 November ini.
 
Obama akan menentang pencabarnya daripada parti Republikan, Mitt Romney yang juga bekas gabenor Massachusetts.
Bagaimanapun, Romney menyambung semula kempennya di Miami semalam selepas terjejas akibat taufan tersebut yang melanda Pantai Timur AS.
Beberapa ahli ekonomi menyatakan kerugian akibat taufan tersebut ialah antara AS$30 bilion (RM91.39 bilion) hingga AS$50 bilion (RM152.33 bilion). - Agensi

Penyampai Hot FM disamun

KUALA TERENGGANU – "Wang yang disamun itu bakal saya jadikan sebagai wang hantaran perkahwinan yang akan berlangsung pada 10 November depan.

"Saya kini sedang pening memikirkan untuk mencari wang gantian bagi meneruskan majlis perkahwinan ini dengan pasangan saya, Durani Hanum Yusof, 26, kerana masa agak suntuk," demikian luahan penyampai radio Hot FM Terengganu, Mohd Hermansani Aminudin, 29, atau lebih dikenali sebagai Bell.

Wang hantaran perkahwinan Bell yang bernilai RM5,000 telah lesap dilarikan dua lelaki bertopeng bersenjatakan pisau dalam satu kejadian samun di Jalan Pusara, di sini, awal pagi semalam.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Bell berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam, semasa dia dalam perjalanan pulang dari sebuah bank di bandar raya ini untuk ke sebuah warung di Jalan Kamaruddin, dengan memandu kereta.

"Sebelum kejadian, saya telah ke sebuah bank untuk mendepositkan wang hantaran perkahwinan ini, namun sebaik tiba di bank terbabit, saya mendapati ia sudah tutup.

"Jadi, saya mengambil keputusan untuk singgah di sebuah warung di Jalan Kamaruddin dengan menggunakan jalan pintas itu iaitu di Jalan Pusara," katanya.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba kereta dipandunya telah dipotong sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki sebelum penunggang itu menjatuhkan motosikal di hadapan keretanya.

"Pada mulanya, saya menyangka saya telah terlanggar mereka berdua lalu terus memberhentikan kereta dengan niat untuk membantu dan meminta maaf.

"Namun, sejurus keluar dari kereta, saya diserang kedua-dua lelaki itu dengan seorang daripada mereka mengacukan sebilah pisau lipat ke arah perut saya manakala seorang lagi menyelongkar di dalam kereta sebelum mengambil sampul surat tertera tulisan 'wang hantaran perkahwinan'," katanya.

Menurutnya, sejurus mengambil sampul surat itu, salah seorang suspek telah membuka pintu belakang kereta lalu menolaknya ke dalam sebelum melarikan diri.

Bell berkata, sejak awal bulan lalu lagi semasa pulang dari tempat kerja dia mengesyaki seseorang mengekorinya, namun apabila dimaklumkan kepada rakan setugas, rakannya itu dengan nada bergurau memberitahu ia mungkin peminatnya.

"Jadi, saya tidak mengendahkan sangat semua itu dan tidak mahu menuduh sesiapa. Saya menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis sepenuhnya untuk menjalankan siasatan," katanya.

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, dua suspek berkenaan menggunakan sarung tangan, topi keledar dan penutup muka telah mengacukan sebilah pisau lipat sebelum menyamun mangsa.

"Kami kini sedang memburu kedua-dua suspek itu dan kes berkenaan kini akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan merompak," katanya.

Sebelum ini, dalam kejadian di Johor Bahru, penyampai radio Best 104, Julie Diana Omar Shariff, 34, nyaris menjadi mangsa culik, bunuh dan bakar selepas dilarikan lebih 10 lelaki tidak dikenali dalam kejadian jam 1 pagi, 29 September lalu.

Gaji sektor awam dikaji semula tahun depan

MELAKA - Kerajaan akan mengkaji semula skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula tahun depan.
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata kajian itu bagi membantu penjawat awam menangani masalah kos hidup yang semakin meningkat.
"Kita akan mengambil kira mungkin mengikut kategori, kalau lima peratus itu untuk kategori yang teratas terlalu tinggi dan kita akan menyelaraskan semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama 500 penjawat awam dan Anugerah Inovasi Sektor Awam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
 
Hadir sama Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Datuk Mohamad Zaidi Zainal dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Omar Kaseh.
 
Beliau berkata kajian berkenaan juga akan meneliti segala aspek bagi memastikan setiap penjawat awam mendapat manfaat daripada pelaksanaan skim gaji berkenaan termasuk isu penjawat awam yang menerima tangga gaji maksimum.
Ali berkata pihaknya turut mengambil kira kajian yang dibuat Suruhanjaya Khas Tranformasi Perkhidmatan Awam yang akan membentangkan laporan penuh kepada kerajaan pada akhir tahun ini.
 
"Buat masa ini suruhanjaya berkenaan sedang membuat kajian menyeluruh berhubung sektor awam di negara ini, kita akan ambil isu kenaikan gaji ini jika ia ada termaktub dalam kajian itu, namun jika tidak ada isu (kenaikan gaji) dalam laporan itu, kita akan mulakan kajian mengenainya pada tahun depan," katanya.
Terdahulu pada majlis tersebut, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka memenangi anugerah Inovasi Sektor Awam dalam kategori Teknologi Maklumat dan Teknologi ICT manakala Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah
menerima Anugerah dalam kategori Pentadbiran Daerah dan Tanah.
Semua pemenang anugerah menerima sebuah Trofi dan juga cek bernilai RM300,000

Pelaburan Genneva: 35,000 pelabur terbabit, pelaburan cecah RM10 bilion

KUALA LUMPUR: Seramai 35,000 pelabur dengan jumlah pelaburan mencecah RM10 bilion, dikesan terbabit dalam syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, menurut maklumat yang diterima, jumlah pelaburan yang diterima ketika ini sebanyak RM4 bilion, dan boleh mencecah RM10 bilion.
Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan masa untuk menyiasat perkara ini berdasarkan dua pertimbangan yang difikirkan perlu bagi menyelesaikan masalah skim tersebut.


"Pertama, syarikat ini berselindung dalam perniagaan emas di mana emas ini ada tarikan sentimental. Ramai berminat tidak kira latar belakang termasuk pemimpin. (Bagi mereka) Terdapat perasaan bahawa ini satu perniagaan betul.

"(Kedua) BNM terpaksa mengimbangi keadaan dan tidak boleh terus masuk pada satu masa. Contoh, kalau hari ini masuk dan siasat, BNM pun kena marah kerana disebabkan BNM masuk, pelabur hilang pulangan.

"Jadi BNM kena imbangi, tidak boleh terlalu cepat. Keseimbangan ini penting dan mustahak. Saya rasa kita semua akan belajar dari pengalaman ini semoga pengendalian kes lebih baik pada masa akan datang," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (BEBAS-Pasir Mas).

Awang Adek sebelum ini memberitahu Parlimen, liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas berkenaan melebihi aset syarikat dan keadaan itu menunjukkan Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.
Baru-baru ini, pihak berkuasa menyerbu Genneva Malaysia Sdn Bhd dan syarikat sekutunya kerana disyaki melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Menjawab soalan asal oleh Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai tindakan kementerian dalam membendung skim cepat kaya yang menjalankan pengambilan deposit dan pelaburan haram, Awang Adek berkata BNM sedang mengkaji untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang menjalankan skim seperti itu.

Selain itu, katanya, kementerian dengan kerjasama agensi kerajaan lain, termasuk bahagian penguatkuasaan, mengadakan pemantauan dan risikan serta maklumat menerusi aduan orang ramai. - BERNAMA

Guru prasekolah perlu miliki diploma: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyarankan supaya guru prasekolah memiliki sekurang-kurangnya Diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak bagi memastikan kualiti guru setara di semua pusat asuhan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan sentiasa mengkaji bagaimana guru pra sekolah dapat merealisasikan aspirasi ini termasuk membenarkan permohonan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) untuk melanjutkan pelajaran.
"Kementerian Pelajaran juga sudah mengambil inisiatif dengan menyediakan satu kursus selama tiga minggu secara percuma bagi melatih guru pra sekolah sektor swasta. Dianggarkan seramai 20,000 guru prasekolah terbabit hingga hujung tahun ini.

"Saya berharap lebih ramai lagi yang dapat dilatih di masa akan datang," katanya dalam ucapan ketika merasmikan Minggu Kebangsaan Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Malaysia (ECCE) 2012 di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini.

Muhyiddin berkata, kualiti program ECCE bergantung kepada kualiti guru yang harus memperolehi pengetahuan dan kecekapan dalam bidang ini.

"Satu daripada kriteria atau syarat yang ditetapkan Kementerian Pelajaran adalah guru pra sekoah mesti mempunyai ijazah dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak," katanya.

Mudahnya buku MPHOnline

JOSEPTH NG baru berusia 21 tahun, tetapi dia telah mengarang beberapa cerpen yang dikumpulkan dalam sebuah buku berjudul Death and Other Thing.
Walaupun mempunyai minat yang berbeza dengan kawan-kawan sama generasi, penuntut di Kolej SEGi, Kota Damansara, Selangor itu mempunyai cara tersendiri dalam memasarkan hasil karyanya dengan kenalan lain.
Dia memasarkan bukunya secara dalam talian melalui aplikasi MPHOnline yang dirasmikan di Subang Parade, Subang Jaya, Selangor bulan lalu.
"Buku dalam talian bukan sahaja boleh didapati dengan mudah dan cepat, malah saya mendapat maklum balas seperti bilangan buku yang dibeli dengan cepat," kata Josepth.
 
Selain Josepth, buku hasil tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Doctor in the House turut dipasarkan dalam aplikasi tersebut selain karya selebriti Amber Chia dan Sarimah Ibrahim.
Aplikasi MPHOnline merupakan hasil kerjasama antara pengeluar telefon pintar, Samsung dengan kedai buku, MPH.
Aplikasi percuma itu boleh dimuat turun oleh semua pengguna telefon Samsung atau peranti yang menggunakan sistem operasi Android. Ia boleh didapati dalam Samsung Apps store.
 
Sebaik dimuat turun, pembaca boleh memuat turun buku elektronik (e-buku) kesukaan dan ia dipindahkan terus ke tempat simpanan peribadi pengguna.
Tajuk-tajuk baharu dikemas kini dalam senarai tajuk buku setiap hari. Genre buku pula meliputi pelbagai jenis seperti romantik, fiksyen, fantasi, perniagaan, kesihatan, pengurusan dan undang-undang.
Kepelbagaian format bahan bacaan itu kelak diharap dapat memberikan ruang yang lebih luas dalam pemilihan bahan bacaan selain membolehkan perkembangan ruang pasaran.
 
Kini, para pembaca dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia boleh membeli buku Doctor in the House pada harga yang lebih murah kerana tiada caj penghantaran dan dalam masa yang sama boleh didapati serta-merta. Semua harga buku dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$).
"E-buku merupakan langkah seterusnya dalam evolusi buku dan penerbitan. Kita semakin mendekati dunia tanpa sempadan kerana internet.
"Ia tidak bermakna MPH akan menjadi digital sepenuhnya, tetapi saling melengkapi kedai buku sedia ada seiring dengan perkembangannya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MPH, Ng Tieh Chuan.
Selain murah dan cepat, e-buku menjimatkan ruang pada rak buku, malah semua buku elektronik boleh dimuatkan dalam sebuah peranti yang kecil.

Obama isytihar bencana besar

YORK - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengisytiharkan bencana besar di New York ekoran taufan Sandy yang menyebabkan banyak kemusnahan.
Obama mengisytiharkan bencana besar itu di negeri New York dan New Jersey.
Taufan itu melanda kelmarin sebelum ia meninggalkan New York semalam.
Pengisytiharan itu akan menyebabkan pinjaman dan geran akan dikeluarkan bagi membantu mangsa-mangsa untuk membaiki dan memperoleh rumah buat sementara.
 
Taufan itu membawa ombak gergasi yang melanda kawasan Pantai Timur AS.
Bursa Saham New York dan Nasdaq turut ditutup semalam.
Sementara itu, sebanyak 50 buah rumah terbakar di kawasan kediaman di bandar raya ini akibat taufan tersebut.
Hanya dua orang dilaporkan cedera dalam kebakaran tersebut.
 
Menurut laporan media, seramai 25 orang dilaporkan terperangkap di tingkat atas sebuah apartmen dalam kejadian tersebut.
Anggota-anggota bomba menggunakan bot untuk tiba di lokasi tersebut kerana jalan dipenuhi air.
Dua buah loji nuklear AS juga ditutup iaitu di New Jersey dan di tepi Sungai Delaware.
Menurut firma Eqecat, kerugian akibat taufan itu dianggarkan AS$20 bilion (RM61.04 bilion). - Agensi

Angkasawan lihat Sandy dari angkasa lepas

CAPE CANAVERAL, Florida - Taufan Sandy yang membawa kemusnahan besar di pantai timur Amerika Syarikat (AS) dapat dilihat dari angkasa lepas.
Komander Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), Sunita Williams semalam menyatakan dia dan seorang kru lain dapat melihat lingkaran besar Sandy semasa ia mendekati pantai timur itu.
 
Keluarga Sunita tinggal di New England dan dia membuat pemerhatian dengan teliti di wilayah tersebut.
Taufan Sandy itu melanda New York kelmarin sehingga mengakibatkan hampir keseluruhan bandar raya tersebut tenggelam.
Seramai 18 orang mati di tujuh buah negeri termasuk Kanada.
 
Kematian itu akibat dihempap pokok, rumah runtuh, terkena serpihan yang berterbangan dan renjatan elektrik.
Taufan itu tiba di New Jersey malam kelmarin dengan kelajuan angin 130 kilometer sejam.
Lebih enam juta penduduk terputus bekalan elektrik dari Carolina ke Ohio.
Sementara itu, kempen pilihan raya presiden terpaksa ditangguhkan selama seminggu.
Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan antara calon parti Republikan, Mitt Romney yang juga bekas gabenor Massachusetts dengan Presiden AS, Barack Obama.
 
Taufan itu juga menyebabkan sistem tren bawah tanah di bandar raya New York mengalami kerosakan teruk dalam tempoh 108 tahun.
"Ia akan menjadi salah satu rekod," kata Naib Presiden Kanan Consolidated Edison, John Miksad.
Beliau menyatakan, lebih 670,000 pelanggan syarikat itu yang tidak mendapat bekalan elektrik akibat taufan tersebut di bandar raya New York. - Agensi

Piala AFF Suzuki 2012 Empat pemain bakal digugur

SEKURANG-KURANGNYA empat pemain dijangka digugurkan pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal dalam masa terdekat sebelum sepak mula kejohanan Piala AFF Suzuki 2012 bulan depan.
 
Nama keempat-empat pemain tersebut dijangka diketahui hari ini ataupun selepas siri aksi persahabatan antarabangsa selepas ini.
Satu sumber memberitahu Kosmo!, 'pengecilan operasi' skuad kebangsaan itu begitupun bukan sesuatu yang asing sebenarnya.
"Ia sesuatu yang normal memandangkan hanya 22 pemain sahaja yang bakal didaftarkan pada kejohanan Piala AFF Suzuki nanti.
"Buat masa ini, sekurang-kurangnya empat pemain akan digugurkan dan ia dijangka diketahui esok (hari ini) ataupun selepas aksi persahabatan antarabangsa nanti, manakala senarai sebenar skuad juga akan diumumkan sebelum saingan bermula," kata sumber itu kepada Kosmo! semalam.
Untuk rekod, seramai 28 pelatih telah mula menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula 22 Oktober lalu.
Selain 28 pelatih itu, tujuh lagi pemain pelatih 'KIV' juga bakal dipanggil bila-bila masa bagi menggantikan mana-mana 28 pemain yang tercedera menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki nanti.
 
Apa pun, keempat-empat pemain tersebut pastinya 'kempunan' menimba pengalaman berguna sepanjang siri persahabatan antarabangsa selepas ini jika mereka benar-benar digugurkan hari ini.
Ia ekoran Harimau Malaya bakal berdepan Vietnam di Stadium MyDinh, Hanoi, Sabtu ini sebelum diuji Thailand di Chiang Mai (7 November) sebelum melayan kunjungan Hong Kong di Stadium Shah Alam, 14 November.
 
Pada edisi Piala AFF Suzuki kali ini, Harimau Malaya diundi bersama Indonesia, Singapura dan Laos dalam Kumpulan B.
Malaysia akan memulakan kempen menentang Singapura pada 25 November ini, diikuti berdepan Laos dua hari kemudian sebelum menamatkan aksi kumpulan bertemu Indonesia, 1 Disember depan.
Juara tiga kali, Thailand yang merupakan tuan rumah bersama kejohanan Piala AFF Suzuki 2012 dengan Malaysia pula diundi dalam Kumpulan A bersama juara edisi 2008 Vietnam, Filipina dan Myanmar.
Perlawanan Kumpulan A akan diadakan di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand manakala aksi Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir

Norshahrul terbaik

JIKA Kelantan gah dengan gelaran trebel musim ini, skrip yang sama juga boleh digunakan untuk penyerang prolifik mereka dan pasukan negara, Norshahrul Idlan Talaha apabila mempertahankan kemenangan bagi kategori Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai buat tahun ketiga berturut-turut pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 yang berlangsung di Shah Alam, Selangor semalam.
Norshahrul, 26, menewaskan empat pemain lain dalam dua kategori iaitu pemain Selangor, Mohd. Amri Yahyah dan Mohd. Norfarhan Mohamad (Kelantan) bagi kategori Penyerang Terbaik manakala bagi kategori Pemain Paling Bernilai, dia mengalahkan Mohd. Badri Radzi (Kelantan) dan Hairudin Omar daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
 
"Saya bersyukur kepada Allah atas kejayaan buat kali ketiga berturut-turut ini dan jutaan terima kasih kepada juri yang memilih saya untuk memenangi anugerah ini.
"Kemenangan ini juga boleh dianggap hadiah peribadi saya kepada isteri dan keluarga serta untuk anak saya yang bakal lahir tidak lama lagi dan buat seluruh peminat yang menyokong kerjaya saya selama ini," kata Norshahrul.
Selain itu, Norshahrul turut memberitahu bahawa perkara terpenting yang perlu ada dalam diri seorang pemain bola sepak untuk berjaya adalah kemahuan serta disiplin yang tinggi.
 
"Bagi saya, apa yang penting adalah latihan yang berterusan serta sentiasa berusaha untuk menjadi pemain yang lebih baik pada setiap masa," katanya yang enggan mengulas mengenai spekulasi perpindahan ke pasukan Johor musim hadapan.
Katanya lagi, dia kini hanya menumpukan kepada kem latihan pasukan kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2012 dan jika ada sebarang keputusan rasmi, dia akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.
 
Selain itu, bagi kategori Penjaga Gol Terbaik, pemain Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat turut mempertahankan gelaran tersebut yang dimenanginya tahun lalu apabila mengatasi dua rakan sepasukan dalam pasukan kebangsaan, Farizal Marlias (Negeri Sembilan) dan Norazlan Razali (Selangor).
Kategori Pertahanan Terbaik dimenangi Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak (ATM), Pemain Tengah Terbaik pula dimenangi kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim (Selangor) manakala bintang muda Sabah, Mohd. Rozaimi Abdul Rahman meraih anugerah Pemain Harapan Terbaik.
Dalam pada itu, bagi kategori Jurulatih Terbaik, ia dimenangi oleh B. Sathianathan serta kategori baharu diperkenalkan, Pemain Import Terbaik dimenangi Marlon Alex James yang kedua-duanya mewakili pasukan ATM.
 
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan berjaya memenangi anugerah Persatuan Bola Sepak Negeri Terbaik, Sime Darby FC pula meraih gelaran Kelab Bola Sepak Terbaik manakala Kelab Penyokong Bola Sepak Terbaik dimenangi oleh ATM.
Bagi Anugerah Khas Bola Sepak Kebangsaan 2012, ia diberikan kepada Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat dan Anugerah Khas Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan diberikan kepada Bahagian Pembangunan Sukan Kementerian Pelajaran manakala Pengadil Terbaik dimenangi Nafeez Abd. Wahab.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal serta Pengurus Perhubungan Korporat F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Cariessa Goh yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Anugerah anjuran FAM yang mendapat kerjasama 100PLUS serta Astro Arena itu telah memasuki tahun keenam penganjurannya

Petronas temui medan minyak Bertam 64 juta tong

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Petronas Carigali Sdn Bhd dan Lundin Oil menemui rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam, yang terletak di Blok PM 307.

Beliau berkata, medan minyak yang terletak kira-kira 160km di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

"Penemuan ini sangat penting memandangkan kita belum pernah menemui minyak komersil dalam kuantiti yang tinggi di Lembangan Penyu, dan ia merupakan kejayaan besar. 

"Bergantung kepada keputusan kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komersial, pengeluaran minyak dijangka akan dicapai pada suku ketiga tahun 2014 dengan sasaran pengeluaran berjumlah antara 17,500 dan  20,000 tong sehari," kata Najib  pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan Bioteknologi (ICM) di pejabat Perdana Menteri nya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Dengan penambahan rizab ini, medan minyak Bertam kini dianggarkan mengandungi jumlah isi padu asal keseluruhan  64 juta tong.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, negeri Pahang dijangka menerima wang ehsan sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

Beliau berkata, penemuan ini membuktikan kewujudan minyak dan gas di kawasan selatan Malay Basin ke arah Lembangan Penyu.

"Oleh itu, medan minyak tersebut adalah terletak di kawasan pelantar benua iaitu melepas tiga batu, dan terletak dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan. "Ini dasar kita untuk mengagihkan kekayaan minyak dengan lima  peratus pembayaran tunai kepada Pahang," katanya.

Petronas Carigali, anak syarikat Petronas dan Lundin Oil merupakan usaha sama minyak dan gas atau Kontrak Perkongsian Pengeluaran.

Sementara itu, Naib Presiden Perniagaan Eksplorasi dan Pengeluaran, Pengurusan Petroleum Petronas Nasional Bhd, Ramlan A Malek berkata kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komersial dijangka siap pada suku kedua  tahun depan.

Kerja-kerja cari gali akan dilaksanakan oleh operator blok, Lundin Oil, katanya. - Bernama

Bekas tahanan ISA hanya ‘layak’ ganti rugi RM1 bukan RM3.3 juta

PUTRAJAYA - Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Badrul Zaman P.S. Mohamed sepatutnya diberi pampasan nominal RM1 dan bukan RM3.3 juta seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi kerana ditahan secara salah, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.
Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan berkata, ini kerana Mahkamah Tinggi mengambil kira perkara yang tidak relevan ketika membuat keputusan itu.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan isu berhubung liabiliti semata-mata berdasarkan perintah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Badrul Zaman selepas membenarkan permohonan habeas corpus ahli perniagaan itu.
Katanya, mahkamah itu hanya boleh mendengar semakan kehakiman tahanan berhubung pematuhan prosedur dan bukan kes saman sivil seperti yang difailkan Badrul Zaman terhadap superintenden Pusat Tahanan Kamunting serta dua lagi bagi menuntut ganti rugi atas dakwaan ditahan secara salah.

Suzana juga berkata Mahkamah Tinggi melangkaui bidang kuasa yang diperuntukkan Parlimen apabila membenarkan tuntutan ganti rugi itu.
Beliau mewakili superintenden Pusat Tahanan Kamunting, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan yang mengemukakan rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jun 2010 agar Badrul Zaman dibayar RM3.3 juta sebagai ganti rugi am dan teladan.

Badrul Zaman ditahan selama tiga tahun sejak 1991 atas dakwaan terbabit dengan pengeluaran permit dan pasport palsu kepada pekerja asing.

Ahli perniagaan itu tidak mencabar kesahihan perintah tahanan asal selama dua tahun terhadapnya, dan dia hanya mencabar perintah tahanan lanjutan selama dua tahun lagi yang dikeluarkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, berkuatkuasa pada 14 September 1993.
Dia dibebaskan pada 1994 selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkannya.

Peguam M. Manoharan berhujah keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes itu adalah wajar, dan mahkamah itu juga tidak melakukan sebarang kekhilafan ketika menaksir jumlah ganti rugi tersebut.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah mengisytiharkan penahanan Badrul Zaman sebagai tidak sah dan menyalahi undang-undang.
Katanya, Mahkamah Tinggi juga sebenarnya telah memberi diskaun sebanyak 50 peratus kepada responden ketika memerintahkan Badrul Zaman diberi pampas an sebanyak RM3.3 juta.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan, yang dianggotai Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, menetapkan 23 November ini untuk membuat keputusan.

Hakim Syed Ahmad Helmy berkata mahkamah memerlukan masa untuk meneliti perkara itu. – Bernama

PBNJ pikat Mat Yo

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sekali lagi menyatakan hasrat bawa masuk penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha, untuk sarung jersi Johor untuk saingan Liga Malaysia, musim depan.

Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, PBNJ kini masih menunggu jawapan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo untuk bersama Harimau Selatan.

"Terpulang kepada pemain (Mat Yo) jika masih mahu beraksi dengan Kelantan atau tidak. Saya tidak tahu kontrak beliau secara mendalam, tetapi memang Johor ada niat bawa Mat Yo Ke mari.

"Saya rasa dalam soal kertas kerja ke apa, ataupun surat semua sekali masih dalam proses lagi, tetapi kita masih tunggu jawapan daripada sana," katanya kepada media di Istana Bukit Pelangi, semalam.

PBNJ juga kini semakin pasti mendapatkan khidmat penyerang dari Sepanyol, Daniel Guiza, 32, yang kini bermain untuk Getafe CF dalam saingan La Liga.

Akan tiba di Johor bersama ejennya esok, Tunku Ismail berkata, penjaring terbanyak La Liga pada 2008, selain pernah membantu Sepanyol memenangi Euro 2008 hampir 95 peratus pasti bersama Johor.

Tunku Ismail berkata, PBNJ kini berjaya mendapatkan pemain yang mewakili pasukan Angkatan Tentera Malaysia iaitu pasangan kembar Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Abdul Razak bagi mewakili pasukan Johor musim hadapan.

"Kita juga sudah mendapat Mohd Azmi Muslim dan Mohd Muslim Ahmad selain sudah mendapat persetujuan daripada Safiq Rahim serta Mohd Nurul Azwan Roya. Kini, PBNJ masih menunggu Mat Yo," katanya.

Ditanya mengenai status pemain import sedia ada Johor FC iaitu Arthur Henrique dan Fernando Augosto Ferreira, Tunku Ismail berkata, kedua-dua pemain terbabit akan dilepaskan untuk sertai pasukan lain.

Telefon bimbit bendung malaria

PENYEBARAN penyakit malaria di Kemboja mengundang keresahan dalam kalangan rakyat mereka khususnya mereka yang tinggal di kawasan terpencil.
Sebagai usaha menangani masalah itu, kawasan Phnom Dambang yang terletak di sempadan Thailand, kini menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) bagi melaporkan kes malaria. Ia memudahkan pakar perubatan memantau dan bertindak ke atas pesakit yang memerlukan.
Ketua kampung sebuah daerah di kawasan itu, Long Vuthy, 41, menjadi individu yang bertanggungjawab ke atas sistem yang diperkenalkan kerajaan Kemboja itu.
"Malaria mampu membunuh orang dalam sekelip mata sekiranya kami tidak menerima rawatan khusus. Cara yang diperkenalkan ini diharapkan dapat membantu komuniti di sini," luah Vuthy yang diajar menggunakan servis itu dua bulan lalu oleh pihak Konsortium Malaria, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang bekerja bersama kerajaan Kemboja dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sebagai amaran, papan tanda berwarna kuning yang menunjukkan gambar nyamuk turut dinaikkan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kadar kes malaria membimbangkan.
 
Vuthy diamanahkan melakukan diagnosis penyakit menerusi ujian darah ke atas mereka yang menunjukkan simptom malaria. Perkhidmatan rawatan oleh sukarelawan perubatan yang disediakan juga percuma memandangkan kesukaran akses perubatan di kawasan pedalaman.
Selain memastikan pesakitnya mengambil pil dengan betul, pemeriksaan susulan selepas tiga hari dijalankan bagi memeriksa kandungan darah bagi menentukan sama ada mereka telah bebas daripada parasit. Pesakit yang masih belum sembuh akan dirujuk kepada pakar perubatan bagi rawatan lanjut.
 
Hantar maklumat
Sistem SMS tersebut mudah. Jika ujian diagnosis Vuthy menunjukkan seorang pesakit menghidap malaria, dia perlu memberi rawatan awal kepada mereka. Kemudian, maklumat berkaitan usia, jantina, lokasi dan jenis malaria pesakit akan dihantar menerusi SMS.
SMS yang menggunakan nombor bebas tol itu dihantar kepada pusat kesihatan daerah, pegawai rasmi kesihatan kawasan dan diterima pangkalan data kebangsaan di ibu negara, Phnom Penh. Dahulu, proses penyampaian maklumat itu mengambil masa selama sebulan.
Informasi itu juga dihubungkan dengan Google Earth bagi memudahkan kerja pemetaan kes dan mengenal pasti kawasan-kawasan panas yang berpotensi diserang malaria.
 
Kesimpulannya, data tersebut membantu pegawai perubatan mengesan setiap kes dan memastikan rawatan sewajarnya disediakan atau ubat-ubatan yang betul dibekalkan segera apabila stok berkurangan.
Kemboja dilihat berjaya dalam menangani isu malaria. Berdasarkan statistik mereka pada tahun 2011, sebanyak 108,000 kes dilaporkan dengan 96 kes melibatkan kematian berbanding 102,473 kes dengan 154 kematian pada tahun 2010. Ia jauh berbeza dengan tahun 2000 yang mencatatkan lebih 600 kematian.
Keupayaan malaria melepasi sebarang bentuk rawatan biasa telah disahkan di Kemboja sejak lapan tahun lalu. Ini berikutan prosedur rawatan salah atau rawatan tidak lengkap yang dijalani pesakit terhadap ubat-ubat antimalaria.
Bagi mengelakkan masalah sama berulang, pengamal perubatan perlu mengenal pasti kes pada peringkat awal bagi membolehkan pesakit mengikuti pelan rawatan yang tepat.
 
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), malaria telah membunuh kira-kira 655,000 orang di seluruh dunia pada tahun 2010 walaupun kadar kematian telah menurun sejak beberapa dekad lalu.
Para penyelidik beranggapan, penurunan tinggi itu disebabkan pertambahan penggunaan ubat jenis artemisinin, rawatan paling efektif setakat ini. Ia juga didorong pengagihan kelambu yang telah disembur racun serangga oleh kerajaan Kemboja.
Sementara itu, dalam kajian yang dijalankan para saintis antarabangsa di antara tahun 2007 sehingga 2010, 42 peratus kes malaria falciparum dikenal pasti kalis ubat. Perkara itu turut diterbitkan dalam jurnal kesihatan, The Lancet, pada tahun ini.
 
Sasaran tahun 2025
Timbalan Pengarah Pusat Kebangsaan bagi Parasitologi, Entomologi dan Kawalan Malaria, Meas Tha menyatakan, pendekatan teknologi dalam pengurusan malaria mampu mencapai sasaran pada tahun 2025. Di samping itu, usaha pendidikan tentang pencegahan dan rawatan giat dijalankan.
Ia adalah sebahagian daripada projek pembendungan malaria yang dibantu oleh Dana Global dan mendapat sokongan daripada Yayasan Bill and Melinda Gates. Sebanyak US$30 juta (RM91.8 juta) telah dilaburkan sejak tahun 2010.
Sistem tersebut yang menggunakan kad SIM yang disediakan secara percuma oleh syarikat telekomunikasi Kemboja, Mobitel, dilancarkan di tiga kawasan pada tahun lalu sebelum dikuatkuasakan di Pailin pada Julai lalu. - AFP

Main bunga api: 2 penyokong Kelantan didenda

SHAH ALAM — Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini mendenda dua penyokong pasukan bola sepak Kelantan masing-masing RM100 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda, kerana bermain bunga api 'hand flare' semasa perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Angkatan Tentera Malaysia di Stadium Shah Alam di sini 20 Oktober lepas.
 
Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah menjatuhi hukuman denda di bawah Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 itu terhadap pembantu restoran, Nurazaha Muhammad Nur, 39, dari Kampung Melayu Subang, Petaling Jaya dan Ahmad Shahir Daud, 19, dari Kampung Pantai Sabak, Kota Bharu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.— BERNAMA

'Torres wajar diberi kad merah'

LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson membidas tindakan Fernando Torres sambil menyifatkan penyerang Chelsea itu wajar dilayangkan kad merah gara-gara sengaja menjatuhkan badan.
Kata-kata Ferguson itu hadir sebaik kedua-dua pasukan berentap dalam saingan Liga Perdana England awal pagi semalam yang berkesudahan United menang 3-2.
Dalam aksi 'panas' di Stamford Bridge itu, gol jaringan pemain gantian United, Javier Hernandez pada penghujung babak kedua menjadi pemisah kedua-dua pasukan yang terdahulu terikat 2-2.
 
Selepas kehilangan Branislav Ivanovic yang dilayangkan kad merah gara-gara mengasari Ashley Young pada pertengahan babak kedua, The Blues bertambah tertekan apabila Torres didakwa sengaja menjatuhkan badan ketika diasak Jonny Evans pada minit ke-68.
Disebabkan itu, pengadil perlawanan, Mark Clattenburg melayangkan kad kuning kedua terhadap Torres yang terlebih dahulu dilayangkan kad kuning pertama apabila mengasari Tom Cleverley.
Ia jelas membangkitkan kemarahan rakan sejawatan Ferguson, Roberto Di Matteo sehingga menyebabkan kedua-dua pengurus itu dilaporkan bertikam lidah di tepi padang.
 
Biarpun mengakui terdapat sentuhan yang dilakukan Evans terhadap Torres, Ferguson sebaliknya menegaskan, Torres tidak sepatutnya bertindak keterlaluan.
"Torres sepatutnya meneruskan larian kerana dia hanya disentuh sedikit oleh Evans. Dia sepatutnya boleh terus berlari dan menjaringkan gol.
"Saya tidak faham mengapa dia menjatuhkan badan. Bagi saya, Torres wajar dilayangkan kad merah," kata Ferguson.
Dalam perlawanan itu, United terlebih dahulu di depan apabila tonggak pertahanan Chelsea, David Luiz menjaringkan gol sendiri pada minit keempat sebelum Robin van Persie menggandakan kelebihan pelawat.
The Blues kembali bangkit apabila Juan Mata dan Ramires berjaya mengikat kedudukan 2-2 sebelum malapetaka dilihat menimpa Chelsea sebaik kehilangan Ivanovic dan Torres.
 
Evans pula memberitahu: "Ketika itu, saya tidak sedar melakukan sentuhan terhadap Torres, mungkin ia hanya pelanggaran kecil.
"Mungkin, Torres menjatuhkan badan apabila melihat bola agak jauh darinya," kata Evans.
Apa yang pasti, insiden itu pasti menghangatkan lagi pertembungan kedua-dua pasukan yang bakal bertemu semula dalam pusingan keempat Piala Liga di Stamford Bridge awal pagi Khamis ini.
"Saya tidak tahu hendak cakap apa, kepada pengadil perlawanan (Khamis ini), saya hanya boleh ucapkan selamat maju jaya," kata Ferguson. - Agensi

Ramai tidak sedar bahaya pil kurus

KUALA LUMPUR – Keinginan mempunyai badan yang cantik dan langsing dengan cepat menyebabkan sebilangan pengguna hari ini tidak menghiraukan kesan sampingan daripada pengambilan ubat-ubatan yang boleh membahayakan diri mereka.
Ada antara mereka yang cuba mengambil jalan singkat untuk mengurangkan berat badan tanpa mengamalkan diet yang seimbang sehingga menyebabkan mereka menderita penyakit seperti bulimia (memuntahkan makanan) dan anoreksia (takut untuk makan).
Lebih membimbangkan, terdapat pihak yang terlalu taksub dengan kempen penjualan pil-pil kurus seperti pil Duromine yang sebenarnya boleh memberikan kesan buruk kepada diri sendiri.
 
Pil berkenaan tidak boleh dibeli di farmasi ataupun kedai ubat kerana ia merupakan ubat kawalan dan boleh didapati melalui preskripsi doktor sahaja.
Menurut seorang pengamal perubatan, Dr. Hamdi Mohd. Noor (gambar kecil), pil Duromine sebenarnya hanya dibenarkan kepada mereka yang mengalami risiko perubatan sekiranya terus mempunyai berat badan berlebihan.
 
Beliau berkata, pil tersebut akan bertindak merangsang otak untuk mengawal selera makan seseorang.
"Duromine juga cuma diberikan kepada mereka yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang melebihi 30 agar berat badan mereka dapat dikurangkan.
"Ia selalunya diambil untuk tempoh masa yang singkat dan sekiranya tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas dua minggu maka pengambilannya harus dihentikan," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
 
Dalam perkembangan yang sama, Pegawai Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr. Norfazilawaty Abdul Latif memberitahu, pil tersebut mempunyai banyak kesan sampingan yang boleh menjejaskan kesihatan seseorang.
"Sesiapa yang mengambil pil tersebut sebenarnya berisiko tinggi untuk mendapat pelbagai jenis penyakit seperti kegagalan buah pinggang, gangguan atau susah untuk tidur, sembelit, mati pucuk dan banyak lagi.
"Pil tersebut juga akan mengganggu metabolisme hati di mana hati tidak dapat memproses glukosa dengan sempurna dan akhirnya ia akan menjejaskan kesihatan," katanya.
 
Tambah Norfazilawaty, pengambilan pil tersebut merupakan jalan terakhir kepada mereka yang mengalami masalah berat badan kerana ia bukanlah cara yang betul untuk mengurangkan berat badan.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kepada sesiapa yang ingin mengurangkan berat badan supaya mengubah cara hidup yang sedia ada kepada amalan yang lebih sihat.
Ujarnya, menjaga pemakanan, bersenam dan mengamalkan diet yang seimbang merupakan cara yang sihat dan tidak membahayakan kesihatan.

Proton, Honda setuju kerjasama

KUALA LUMPUR - DRB-HICOM Bhd. (DRB-HICOM) mengumumkan anak syarikatnya, Proton Holdings Bhd. (Proton) telah memeterai persetujuan kerjasama dengan Honda Motor Co. Ltd. (Honda) untuk meneroka peluang dalam bidang peningkatan teknologi, pengeluaran rangkaian produk baharu, perkongsian platform dan kemudahan.
 
Dalam kenyataannya ke Bursa Malaysia, DRB-HICOM berkata, persetujuan itu menandakan potensi kerjasama strategik jangka masa panjang dengan Honda.
"Mempunyai syarikat automotif global terkemuka dan kukuh seperti Honda sebagai rakan strategik asing akan menyediakan peluang bagi Proton dan Kumpulan DRB-HICOM untuk berkembang sebagai pengeluar produk tulen (OEM).
 
"Usaha sama ini akan memberikan impak positif kepada Proton dan DRB-HICOM untuk jangka panjang," katanya di sini semalam.
Tambah kenyataan itu, persetujuan kerjasama tersebut akan terus berkuat kuasa sehingga pelaksanaan perjanjian akhir untuk mewujudkan cadangan kerjasama, kecuali apabila kedua-dua pihak terlibat bersepakat bersetuju untuk tidak meneruskan persetujuan kerjasama berkenaan.

Lelaki kasanova kini kepanasan

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang menyamar sebagai jurutera dan menggunakan laman web mencari jodoh Myjodoh.net untuk memperdaya wanita bagi mengaut untung mudah kini bagai cacing kepanasan apabila meminta semua kekasihnya supaya menarik semula laporan polis yang dibuat ke atasnya.
Menurut salah seorang bekas kekasihnya, Salsabila, 20-an, Marzuki kini ketakutan apabila perbuatan buruknya itu sejak tahun 2009 terbongkar dan disiarkan di akhbar.
 
"Lelaki itu sedang panas, telefon semua orang merayu-rayu minta mereka gugurkan laporan polis yang dibuat.
"Tapi percayalah, kami tak akan mengalah begitu sahaja," katanya ketika memaklumkan hal itu kepada Kosmo!
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki yang berasal dari Terengganu didakwa memperdaya wanita-wanita bujang serta janda berumur 20-an hingga 30-an terutamanya yang berbadan besar, montok dan gebu yang dijerat melalui laman web MyJodoh.net untuk mengikis wang.
Lelaki yang mendakwa mempunyai talian persaudaraan dengan seorang Exco kerajaan negeri Terengganu itu terlebih dulu menabur janji untuk berkahwin dengan mangsa sebelum menipu wang mereka.
 
Dia juga dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan 20 orang wanita dan berjaya mengumpul kekayaan mencecah RM1 juta hasil duit sebagai kasanova.
Sementara itu, seorang lagi mangsa berkata, dia turut dihubungi Marzuki yang tiba-tiba bersumpah untuk berkahwin dengannya.
"Saya dah tak peduli kerana saya akan berjumpa dengan polis hari ini (semalam) untuk memberi keterangan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang," katanya.
 
Dalam pada itu, Salsabila memberitahu, dia sudah pun memanjangkan kes penipuan lelaki bernama Marzuki yang turut menggunakan nama lain iaitu Amir kepada pengendali laman web MyJodoh.net.
Dalam reaksi segera jurucakap laman web berkenaan, pihaknya memandang serius perkara itu.
"Laman web ini sebenarnya telah banyak menyatukan pasangan hingga ke gerbang perkahwinan dan kami kesal kerana ada pihak yang mengambil kesempatan menipu orang lain," katanya.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali mengesahkan menerima laporan daripada beberapa mangsa kes ini.
"Kita sedang giat mencari suspek dan pada masa sama telah memanggil pengadu-pengadu untuk melakukan siasatan menyeluruh.
"Polis turut menggesa wanita-wanita lain yang pernah terjerat dengan lelaki kasanova itu tampil ke depan membuat laporan," tegasnya

Janda, isteri rebut durian runtuh Felda

SHAH ALAM - Noor, seorang janda, pada mulanya teruja mendengar pengumuman Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang menyatakan janda akan turut menerima bahagian mereka apabila durian runtuh diagihkan kelak.

Dia agak kecewa kerana perkara itu tidak berlaku. Pengalaman pahit dilalui.

Pun begitu, Noor dari Felda Jengka 14, Pahang reda dengan keengganan bekas suaminya menyerahkan sebahagian duit durian runtuh yang sepatutnya diterima isteri peneroka Julai lalu.

Noor, 43, berkata, sebelum bercerai, dia dan suami tinggal di Felda Bukit Sagu.

Menurutnya, dia sudah membuat tuntutan kepada bekas suaminya itu, namun tidak diendahkan.

"Saya juga telah meminta bantuan pihak pengurusan Felda di sana (Bukit Sagu) supaya membantu saya mendapatkan bahagian saya, namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana ia bergantung sepenuhnya atas budi bicara bekas suami," katanya kepada Sinar Harian.

"Sepatutnya janda dan isteri baru masing-masing akan menerima RM2,500 tetapi lain pula yang terjadi kepada saya.

"Lebih 20 tahun saya hidup sebagai isteri peneroka, malah pernah hidup susah ketika mula-mula masuk ke kawasan Felda dahulu, namun ia tidak dihargai," katanya.

Noor berkata, dia kini menyewa di rumah saudaranya dan tinggal bersama dua anak yang masih bersekolah.

"Sudahlah bekas suami tidak pernah memberikan nafkah untuk menyara anak-anak, kini durian runtuh pun saya tidak dapat," katanya.

Seorang peneroka, Rashid (bukan nama sebenar) pula mengeluh kerana gagal mendapatkan sebahagian durian runtuh untuk isteri keduanya kerana isteri pertamanya enggan berkongsi wang terbabit.

Rashid, 63, berkata, isteri pertamanya yang merupakan penama cek, enggan memberikan sebahagian RM5,000 yang diterima kepada isteri keduanya.

"Dia enggan menyerahkannya atas alasan wang itu haknya kerana cek ditulis atas namanya.

"Disebabkan isteri pertama saya enggan berkongsi durian runtuh fasa kedua, saya akan serahkan durian runtuh fasa ketiga nanti kepada anak bersama isteri kedua," katanya.

Dia mencadangkan supaya Felda mengkaji semula cara pengagihan durian runtuh yang disifatkan sekarang kurang tepat.

 "Pada pandangan saya, lebih baik pengagihan kepada peneroka yang berkahwin dua ini diserahkan kepada pengurus Felda.

"Pengurus diberi hak untuk menunaikan cek, seterusnya dibahagikan sama rata kepada penerima," katanya.

Rashid mencadangkan perkara sama dilakukan kepada anak peneroka yang sudah kematian ibu bapa.

"Ini kerana sudah ada kejadian anak peneroka yang dipertanggungjawabkan menerima durian runtuh ini tidak mengagihkannya secara sama rata dengan adik-beradik mereka.

"Baru-baru ini ada yang sampai bergaduh sehingga dimasukkan ke penjara semalaman kerana berebut duit," katanya.

Sebelum ini, Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Datuk Saari Din menasihatkan peneroka memilih sendiri siapakah di antara anak mereka yang patut menerima durian runtuh berkenaan

Pandelela, Haziq dinobat Olahragawati dan Olahragawan SSBJ 2012

RATU terjun negara Pandelela Rinong Pamg dan atlet memanah Haziq Kamaruddin dinobatkan sebagai Olahragawati dan Olahragawan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) 2012 di sini hari ini.

Kedua-dua Olimpiad itu dipilih berdasarkan kecemerlangan mereka dalam sukan masing-masing, khususnya pencapaian mewakili Malaysia pada Olimpik Julai lalu selain kutipan emas menerusi Sukan SEA di Indonesia tahun lepas. 

Pandelela yang muncul atlet wanita pertama Malaysia meraih gangsa Olimpik bagaimanapun tidak hadir berikutan terlibat dalam kejohanan di luar negara. 

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Gemilang SSBJ, Haziq, 19, berkata beliau amat bersyukur dengan anugerah itu yang secara tidak langsung membakar semangatnya untuk mempamer prestasi lebih baik.

Meskipun tersingkir awal pada Olimpik lalu, anak muda dari Johor Baharu itu tidak berputus asa dan telah memulakan persiapan untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik di Rio de Janeiro 2016.

"Terima kasih pada pihak sekolah yang memilih saya untuk meraih anugerah ini. Fokus saya kini adalah untuk melayakkan diri sekali lagi ke Olimpik, " kata Haziq.    

Majlis itu dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. 

Beliau turut menyampaikan Anugerah Khas Olimpik kepada lima pelajar SSBJ iaitu Pandelela, Haziq, Nurul Shafiqah Hashim (memanah), Traisy Vivien Tukiet (terjun) dan Wendy Ng (terjun). 

Dalam ucapannya, Raja Nong Chik berkata pelajar perlu memiliki disiplin tinggi dan kekuatan mental untuk berjaya dalam sukan masing-masing. 

Menjadikan sukan golf di Korea Selatan sebagai contoh, beliau berkata walaupun negara itu baru berjinak dengan golf dalam tempoh 10 tahun ini, namun negara berkenaan mampu menghasilkan jaguh-jaguh dunia hasil penerapan disiplin dan kekuatan mental. 

"Untuk berjaya dalam apa juga bidang, dua elemen ini mesti ada iaitu kekuatan mental dan disiplin. Kita mesti buktikan walaupun kita mempunyai bilangan penduduk yang kecil, namun kita mampu mencapai taraf dunia," kata Raja Nong Chik. 

SSBJ turut menyampaikan anugerah kepada 21 pelajarnya yang berjaya dalam bidang akademik. 

Antaranya atlet badminton Lim Yin Fun (Penerima Anugerah Terbaik SPM 2011-Sastera, gimnas Farah Ann Abdul Hadi (Penerima Anugerah Terbaik SPM 2011-Sains dan atlet lompat bergalah Chuah Yu Tian (Penerima Anugerah Terbaik PraUniversiti Sains). - Bernama

Peralatan muzik, barang peribadi Yuna lesap di Seattle

PERALATAN muzik yang digunakan penyanyi, Yuna dan beberapa barang peribadi yang disimpan di van dinaikinya hilang, dipercayai dicuri di Seattle, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Berita itu disampaikan sendiri oleh penyanyi Terukir Di Bintang ini melalui laman mikro Twitter miliknya awal pagi tadi.

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai memberitahu bahawa kesemua peralatan muzik yang digunakan untuk siri jelajah telah lesap dari van dinaiki.

Yuna menulis di laman Twitter miliknya, "talking to my mom after all of our gears got stolen from the van in Seattle today."

Namun, Yuna bersyukur kerana semua krew yang menyertai siri jelajahnya selamat.

Yuna menulis, "Redha sajalah. Asalkan semua selamat."

Susulan perkembangan kejadian itu, Yuna menulis lagi tentang barangan yang hilang boleh diganti, tetapi bukan pengalaman.

"Terima kasih kepada semua yang menyokong Allen Stone dan menyaksikan persembahan saya," katanya lagi.

Sementara itu, Yuna sempat berkongsi paparan perbualan dengan ibunya.

Melalui perbualan itu, dimaklumkan bahawa kesemua barangan yang ada di dalam van itu telah lesap termasuk peralatan muzik, barangan peribadi miliknya dan hadiah berupa kemeja-T untuk keluarganya.

Kejadian itu berlaku selepas dia dan Stone menamatkan siri jelajah di lokasi terakhir iaitu Seattle.

Stone juga melahirkan simpati atas kejadian itu melalui laman Twitter miliknya.

Penyanyi muda itu dijangka pulang dalam masa terdekat bagi melaksanakan 'Yuna Homecoming Tour di Malaysia' yang dijadualkan tidak lama lagi.

Toyota Corolla Altis Sedan 2013

H160 – TABLET WINDOWS 8 TERBARU DARI LG

Ia mempunyai rekaan yang nipis iaitu 16 milimeter dan mempunyai berat sekitar 1.04 kilogram. Secara luarannya tablet ini tidak mempunyai banyak perbezaan dengan tablet android lain di pasaran.
Layar skrinnya agak besar 11.6 inci dengan resolusi 1366×768 piksel. Manakala untuk prosesor, LG menggunakan prosesor Intel Clover Trail. Pihak LG mengatakan bahawa bateri tablet ini mampu bertahan hingga 10 jam. Buat masa ini LG hanya bercadang untuk menjual produk terbaru mereka ini

Pemain Kelantan kuasai pencalonan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012

KUALA LUMPUR - Pemain dari pasukan Kelantan, yang merangkul gelaran trebel musim ini, menguasai senarai pendek calon untuk Anugerah Bolasepak Kebangsaan 100PLUS-Astro Arena FAM 2012.
    
Pasukan Pantai Timur itu, yang meraihkan gelaran Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini, mempunyai pemain dalam kesemua lapan kategori pada majlis penyampaian anugerah pada Selasa ini di Shah Alam.
    
Acara tahunan itu, yang diiktiraf oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bertujuan mengiktiraf pencapaian pemain tempatan sepanjang musim ini, menurut kenyataan penaja bersama, F&N Beverages, di sini hari ini.
    
Penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat menghadapi saingan sengit daripada rakan sepasukan skuad negara dan pemain Negeri Sembilan, Mohd Farizal Marlias serta Norazlan Razali dari Selangor.
    
Ketua pasukan Kelantan Mohd Badri Radzi pula bersaing hebat untuk merebut anugerah kategori pemain tengah terbaik serta pemain paling bernilai sepanjang musim.

Meskipun Kelantan mempunyai sebahagian besar pencalonan, namum juara Liga Perdana dan naib juara Piala Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), turut menerima beberapa pencalonan berikutan pencapaian cemerlang musim ini.
    
Pemain ATM Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Amirizwan Taj Tajudin akan bersaing dengan pemain Kelantan S. Subramaniam untuk anugerah pemain pertahanan terbaik manakala Rezal Zambery Yahya, yang menjaringkan gol cantik pada final Piala Malaysia, dipertimbangkan untuk anugerah pemain tengah terbaik.
    
Ketua jurulatih ATM B. Sathianathan turut menjadi pilihan untuk anugerah jurulatih terbaik manakala penyerang import ATM, Marlon Alex James bagi anugerah pemain asing terbaik yang baru diperkenalkan tahun ini.
    
Anugerah lain ialah persatuan terbaik, kelab dan kelab peminat terbaik.
    
'Berdasaran pencalonan, majlis anugerah tahun ini dijangka amat menarik.   

Pemain, pegawai dan khususnya jutaan pemain di negara ini tidak sabar untuk melihat keputusan nanti," kata pengurus hal ehwal korporat, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Cariessa Goh.

    SENARAI CALON ANUGERAH:
    ----------------------
    
    PENJAGA GOL TERBAIK:
    -------------------
    Mohd Farizal Marlias (Negeri Sembilan)
      Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
      Norazlan Razali (Selangor)
    
    PEMAIN PERTAHANAN TERBAIK:
    --------------------------
    S. Subramaniam (Kelantan)
      Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (ATM)
      Amirizwan Taj Tajudin (ATM)
    
    PEMAIN TENGAH TERBAIK:
    ---------------------
    Safiq Rahim (Selangor)
      Mohd Badri Radzi (Kelantan)
      Rezal Zambery Yahya (ATM)
    
    PENYERANG TERBAIK:
    ------------------
    Mohd Norfarhan Mohamad (Kelantan)
      Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
      Mohd Amri Yahyah (Selangor)
    
    PEMAIN HARAPAN:
    ---------------
    Mohd Rozaimi Abdul Rahman (Sabah)
      Nik Mohd Shahrul Azim Halim (Kelantan)
      Ashri Chu Chu (Sarawak)
    
    JURULATIH TERBAIK:
    -----------------
    Bojan Hodak (Kelantan)
      B.Sathiananthan (ATM)
     Irfan Bakti Abu Salim (Selangor)
    
    PEMAIN PALING BERNILAI:
    ----------------------
    Mohd Badri Radzi (Kelantan)
      Hairuddin Omar (ATM)
      Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
    
    PEMAIN ASING TERBAIK:
    ---------------------
    Marlon Alex James (ATM)
      Mohammed Ghaddar Mahmoud (Kelantan)
      Jean Emmanuel Effa Owana (Negeri Sembilan)

Harimau Muda A kekal dalam Liga Singapura

Shah Alam: Harimau Muda A dijangka terus kekal beraksi dalam Liga Singapura musim depan berdasarkan kontrak empat tahun bermula 2012 yang ditandatangani Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Julai lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad bagaimanapun berkata situasi itu boleh berubah memandangkan skuad bimbingan Ong Kim Swee itu perlu membuat persediaan rapi untuk mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA di Myanmar, tahun depan.
Menurut Azzuddin, spekulasi bahawa Harimau Muda A bakal menyertai liga lain di luar negara, hanya khabar angin kerana jawatankuasa eksekutif FAM belum membuat keputusan mengenai perkara itu.


"Kita bagaimanapun bercadang menghantar mereka menyertai latihan di Eropah sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA tahun depan," katanya kepada pemberita selepas seminar Liga Malaysia 2013-2016 semalam.

Sebelum ini dilaporkan, FAM bercadang menghantar skuad Harimau Muda A menyertai Liga Brazil sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas Sukan SEA.

Sementara itu Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM akan mengadakan perbincangan dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam tempoh terdekat bagi mewujudkan sebuah badan bebas yang akan mentadbir liga bola sepak tempatan.

Rahsia Ben 10

SIAPA sangka di sebalik kehebatan hero pujaan kanak-kanak, Ben Tennyson atau lebih dikenali sebagai Ben 10, terselit rahsia yang mengejutkan.

Rupa-rupanya, si peminjam suara untuk karakter popular itu adalah seorang wanita dikenali sebagai Tara Strong. Lebih mengejutkan, Tara bukanlah anak gadis, sebaliknya dia bakal mencapai usia 40 tahun, tahun depan.
Ternyata, pelbagai reaksi diterima wanita ini apabila peminat kecil Ben 10 mendapat tahu siapa sebenarnya identiti peminjam suara watak pujaan mereka itu.
"Saya seronok melihat reaksi kanak-kanak lelaki. Ada yang marah dan tidak dapat menerima kenyataan selepas mengetahui pemilik suara Ben 10 adalah seorang perempuan.

"Ini bermakna, saya sudah melaksanakan tugas yang baik selama ini," katanya yang mula meminjam suara untuk pelbagai produksi sejak usia 13 tahun.

Menceritakan pembabitan awalnya, Tara dilaporkan berkata, dia dihantar menghadiri uji bakat untuk peranan Hello Kitty oleh ejen yang berpusat di Toronto. Nasib Tara baik apabila dia diterima menyumbangkan suara untuk watak itu.

pix_gal0
Sepanjang pembabitan dalam industri ini, Tara paling menggemari peranannya sebagai Melodi dari animasi The Little Mermaid 2.
Sememangnya, sudah menjadi impian wanita ini untuk terbabit dalam animasi berkenaan.

Mengapa tidak, dia dapat bekerja di samping bintang pujaan, Jodi Benson yang juga seorang penyanyi soprano, pelakon dan penyumbang suara untuk pelbagai projek animasi.

Menurut Tara, untuk menjadi seorang pelakon suara, individu terbabit perlu melengkapkan diri dengan menghadiri kelas pemantapan suara.

"Hadirlah sebanyak mungkin kelas yang anda boleh. Ini kerana lakonan suara juga suatu cabang seni lakon. Kami bukan hanya bertanggung jawab menyumbang suara, malah perlu mengkaji babak atau adegan.

"Kita juga perlu tahu bagaimana hendak beraksi secara spontan dan menyanyi," katanya yang seronok melakukan tugas ini kerana tidak terikat dengan rutin kerja pejabat.

Sementara itu, sepanjang menyumbangkan suara untuk pelbagai projek animasi, Tara melihat watak Ben berbeza daripada watak budak lelaki lain.

Menurutnya, Ben 10 adalah seorang budak lelaki angkuh, tidak pernah mengenali erti takut dan suka memperkecilkan orang lain. Baginya, Ben 10 juga mempunyai tahap keyakinan diri yang sangat tinggi.

Cho Ha: Elak disaman AES

SEJAK Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilaksanakan 23 September lalu, pelbagai rungutan dilontarkan pengguna jalan raya kerana dilihat sistem ini seolah-olah membebankan mereka. Malah wujud persepsi kononnya ia antara usaha kerajaan untuk mengatasi defisit perbelanjaan menerusi wang saman dibayar pesalah lalu lintas yang dirakam sistem tersebut. Sinar Harian berkesempatan bertemu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha untuk mengulas isu ini. Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, NOOR AZURA SAHRIL bersama jurufoto, AZMI ARYANTO.

Sejak AES dilaksanakan, bagaimana dengan maklum balas yang diterima daripada pengguna jalan raya?

CHO HA: Kami menerima reaksi positif daripada majoriti pengguna jalan raya yang mahukan AES dilaksanakan kerana tidak gembira dengan sikap buruk pengguna jalan raya di negara ini. Melalui maklum balas itu, tidak ada yang mengatakan AES tidak baik kerana tujuan utama pelaksanaannya adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya.

Tanggapan segelintir pihak, bahawa kelajuan tidak menyebabkan kemalangan adalah tidak benar dan kenyataan itu sama sekali tidak bertanggungjawab. Daripada kajian penyelidikan, kelajuan boleh membunuh. Justeru, dengan adanya AES ini mendidik pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas.

Kerajaan telah menjalankan kajian selama 10 tahun sebelum memutuskan untuk melaksanakan sistem berkenaan di negara ini. Dan, sistem ini terbukti berjaya di 90 negara di seluruh dunia dengan berjaya mengurangkan kadar kemalangan di antara 40 sehingga 60 peratus.

Bagaimana AES itu dikatakan mendidik pengguna jalan raya?

CHO HA: Sistem ini memberi satu gambaran dan persepsi kepada pengguna jalan raya bahawa mereka diperhatikan oleh penguat kuasa, walaupun dilakukan secara automatik dengan penggunaan kamera. Ini mewujudkan perception of being caught kepada pengguna. Sekiranya mereka tidak berwaspada, mereka akan kena tindakan. Oleh itu, pengguna akan mematuhi had kelajuan dan tidak lagi melanggar peraturan lalu lintas.

Kerajaan bukan mahu menghukum rakyat atau sengaja mengenakan denda, tetapi mahu menerapkan disiplin kepada pengguna jalan raya. Apabila berlaku kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan kemalangan maut pada setiap hari, rakyat tertanya-tanya apakah yang kerajaan buat untuk mengatasinya.

Oleh itu, kerajaan sudah mengkaji keberkesanan sistem ini seperti dilaksanakan di negara lain dan ternyata sistem ini mampu menurunkan kadar kemalangan biasa dan maut. Kerajaan sentiasa telus dalam melaksanakan
sistem tersebut tanpa mempunyai niat tersirat mengambil duit rakyat dengan cara mudah.

Kerajaan kerugian RM10 juta setahun akibat kemalangan maut. Adakah dengan pelaksanaan AES ini dapat mengurangkan kadar kerugian tersebut dengan pengurangan kemalangan maut?

CHO HA: Setiap kali berlaku kemalangan maut, negara kehilangan tenaga kerja yang terdiri daripada kalangan profesional dan ini merugikan negara. Selain itu kemalangan juga memberi kesan kepada keluarga mangsa terlibat yang lumpuh atau menjadi orang kurang upaya (OKU). Keluarga akan hilang punca pendapatan.

Dengan langkah kerajaan menguatkuasakan AES, kemalangan maut dapat dikurangkan sekali gus membantu mengurangkan kerugian. Oleh itu, mengapa perlunya AES dibantah, sedangkan ia baik untuk dilaksanakan.

Segelintir pihak berpandangan had laju di beberapa di lokasi pemasangan AES dikatakan tidak bersesuaian. Komen Datuk?

CHO HA: Had kelajuan di jalan raya telah ditentukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), dan ia tiada boleh sewenang-wenangnya dipersoalkan. Pemasangan AES di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan hitam berpotensi mengurangkan kadar kemalangan maut di kawasan tersebut.

Keseluruhannya, 831 AES akan dipasang di seluruh negara dan bagi fasa pertama, 14 buah buah telah dipasang. Bilakah baki selebihnya akan berkuat kuasa?

CHO HA: Mengenai 817 lagi lokasi hitam kemalangan yang bakal dilengkapi sistem tersebut ia akan ditentukan oleh polis dan pihaknya hanya akan membuat perubahan jika kawasan tersebut tidak lagi dilabel sebagai hitam. Kementerian Pengangkutan masih lagi mengkaji senarai itu yang dicadangkan polis dan belum ada keputusan muktamad mengenainya lagi. Kemungkinan berlaku perubahan bergantung kepada infrastruktur jalan dan sebagainya dalam tempoh 18 bulan sebelum dipasang.

Maklum balas daripada orang ramai, kurang publisiti dan pendedahan mengenai pelaksanaan AES menyebabkan pengguna jalan raya tidak jelas mengenai sistem ini?

CHO HA: Kementerian dan agensi yang terlibat sentiasa menghebahkannya melalui media massa sama ada media cetak, radio dan televisyen. Hebahan mengenai pemasangan sistem ini juga diiklankan dalam semua jenis akhbar jadi tidak timbul isu kerajaan cuba menyembunyikan daripada pengetahuan umum.

Malahan pemimpin politik juga berulang kali sering kali bertanyakan mengenai AES ini di sejak dua tiga tahun kebelakangan ini di Parlimen dan dijawab secara bertulis dan lisan oleh Kementerian sebelum ia dilaksanakan oleh Kerajaan.

Tidak munasabah sekiranya orang ramai masih tidak mengetahui kewujudan sistem ini. Bahkan maklumat berhubung kawasan serta jumlah bilangan kamera yang dipasang sentiasa dihebahkan, malah pengguna jalan raya juga diberi amaran menerusi papan tanda yang diletakkan di kawasan berhampiran. Usaha kerajaan yang bertujuan selamatkan nyawa manusia ini seharusnya mendapat sokongan semua pihak bukan sahaja pengguna jalan raya malah ahli politik dan pemimpin masyarakat.

Adakah wujud pertindihan tugas dengan adanya AES yang dikuatkuasakan oleh JPJ?

CHO HA: Soal pertindihan tugas tidak berlaku kerana setiap agensi penguatkuasaan mempunyai hak untuk menjalankan tugas mengikut bidang masing-masing dan setiap agensi juga menjalankan penguatkuasaan dengan berlainan kesalahan.

Dakwaan segelintir pihak, pelaksanaan sistem ini akan menguntungkan kroni. Komen Datuk?

CHO HA: Syarikat konsesi tersebut hanya mendapat keuntungan jika ramai pengguna jalan raya disaman dan kerajaan juga tidak membayar sebarang sewa peralatan atau yuran penyelenggaraan kepada syarikat konsesi yang dilantik itu.

Oleh itu, pengguna jalan raya seharusnya tidak memberi peluang kepada syarikat konsesi AES membuat untung menerusi kesalahan-kesalahan di jalan raya. Ia hanya dapat dilakukan sekiranya semua pengguna lebuh raya mematuhi had laju yang ditetapkan di atas jalan raya dan tidak melanggar arahan arahan lampu isyarat.

Harapan Kerajaan dengan pelaksanaan sistem ini?

CHO HA: Secara keseluruhannya, orang ramai menerima dan hanya segelintir pihak cuba mempermainkan isu ini dengan memutar belit untuk mengelirukan rakyat.

Ahli politik seharusnya tidak menjadikan usaha kerajaan ini sebagai permainan politik mereka. Jangan hanya kerana permainan politik, mereka sanggup menggadaikan sistem yang baik ini untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa menjadi mangsa.

Usaha ini perlu dilihat lebih positif oleh orang ramai. Apabila pengguna patuh kepada peraturan lalu lintas, mereka akan menjadi lebih berdisiplin dan akhirnya matlamat pelaksanaan AES ini akan tercapai.

Keperitan sekolah tahfiz kumpul dana

KEBANYAKAN maahad tahfiz yang dibina di negara ini bergerak secara sendirian tanpa kewangan yang kukuh sekali gus memaksa mereka mempelbagaikan kaedah untuk mencari sumber dan dana bagi menampung kos perbelanjaan bulanan.

Pengerusi Maahad Tahfiz al- Quran al-Amin Kampung Berhala Gantang, dekat Temerloh, Wahid Ghaffar Ibrahim mengakui kebanyakan maahad tahfiz di negara ini khususnya yang baru dibuka menghadapi masalah kewangan hingga memaksa mereka mengutip derma.

Menurutnya, kutipan derma adalah kaedah terbaik mengutip dana dalam tempoh yang singkat bagi menampung kos perbelanjaan bulanan.

"Kalau dahulu kutipan derma atas nama 'pondok' al-Quran tetapi sekarang atas nama tahfiz, ia sama sahaja tetapi masyarakat kita mungkin lebih pemurah apabila kutipan derma diberikan atas nama maahad tahfiz.

"Kami juga mengutip derma, tetapi kaedah yang digunakan berbeza. Kami hanya menghantar surat kepada pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan sumbangan selain sumbangan peribadi diberikan orang awam.

"Kami tidak meletakkan pelajar mengutip derma di hadapan-hadapan bank, pasar malam dan stesen minyak kerana mempunyai kaedah berlainan yang lebih mudah," katanya.

Wahid Ghaffar berkata, Maahad Tahfiz al-Quran al-Amin Berhala Gantang menggunakan kaedah penganjuran kem hafazan al-Quran setiap kali cuti sekolah bagi mencari sumber kewangan menampung kos belanja bulanan.

Beliau berkata, kaedah itu lebih kepada bimbingan modal insan selain mampu memberi keuntungan kepada maahad tahfiz untuk menampung kos bulanan operasi.

"Inilah produk kami sejak lapan tahun lalu, sejak dibuka 18 tahun lalu, 90 peratus daripada kos pembangunan dan operasi maahad tahfiz ini adalah datangnya dari sumbangan orang ramai.

"Bagi mencari sumber lain, maka kami wujudkan kem hafazan cuti sekolah yang mendapat sambutan baik dari ibu bapa dari seluruh negara," katanya.

Berhati-hati beri sumbangan

Wahid Ghaffar turut menasihati orang ramai yang ingin memberi sumbangan supaya meneliti kelulusan diberikan pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (Muip) sebelum menderma.
Menurutnya, perkara itu sebagai langkah berhati-hati supaya sumbangan diberikan sampai kepada pihak yang memerlukan kerana beliau sendiri tidak menolak kemungkinan terdapat juga sindiket yang menggunakan nama maahad tahfiz dalam mengutip sumbangan ramai.

Wahid Ghaffar berkata, langkah ke hadapan yang diambil pengurusan Maahad Tahfiz al-Quran al-Amin Berhala Gantang untuk mempunyai produk sendiri bagi menampung kos operasi bulanan ialah dengan membina sebuah kolam bagi aktiviti riadah keluarga.

Menurutnya, kolam tersebut dilengkapi tiga kolam renang khusus untuk kanak-kanak, orang dewasa dan satu untuk muslimat yang dibina secara berasingan.

Beliau berkata, pembinaan kolam bernilai RM500,000 itu menggunakan dana lebihan sumbangan orang ramai dimulakan setahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya November ini.

"Sabda Nabi SAW, ajarlah anak kamu dengan kemahiran memanah, berkuda dan berenang. Ini yang akan kami lakukan, peserta kem hafazan akan diajar memanah dan berenang di kolam ini sekali gus mengamalkan sunnah nabi SAW.

"Kolam yang dinamakan Wadi al-Amin ini juga dibuka kepada orang ramai dengan bayaran serendah RM3, ia berkonsepkan riadah sambil menderma kepada maahad tahfiz.

"Kolam ini bukan satu pembaziran, semua keuntungan dan lebihan akan disalurkan terus ke tabung maahad tahfiz 100 peratus," katanya.

Wahid Ghaffar berkata, dengan adanya tarikan baru itu bukan sahaja masyarakat setempat dapat beriadah bersama keluarga malah dapat juga mengamalkan sunnah nabi SAW

BMW RM538,800 seunit dan BMW Active Hybrid 5 harga RM648,800 seunit

BMW Group Malaysia (BMW) menyasarkan jualan keseluruhan model edarannya mencecah kira-kira 6,000 unit tahun ini berbanding 5,400 unit tahun lalu bersandarkan kepada sambutan pembeli di negara ini dalam segmen kenderaan mewah.
Pengarah Urusannya, Gerhard Pils berkata, ketika ini pihaknya hampir mencatatkan jualan keseluruhan menghampiri 5,400 unit dan pengenalan model berteknologi tinggi dalam kejuruteraan BMW meningkatkan lagi pembelian kenderaannya tahun ini.

Beliau berkata, kedudukan BMW di pasaran tempatan turut dilihat semakin kukuh apabila mencatatkan hampir 40 peratus penguasaan pasaran, sekali gus menerajui pasaran dalam segmen premium.
"Kecanggihan kejuruteraan kenderaan yang dilaksanakan BMW semakin berkembang mengikut keperluan pengguna dan hari ini, kami turut memperkenalkan dua model sedan hibrid, BMW Active Hybrid 3 dan BMW Active Hybrid 5 yang akan merancakkan lagi inovasi penciptaan dalam BMW. "Kami menjangkakan kedua-dua model ini mampu dijual melebihi 20 unit pada suku pertama tahun depan dan penerimaan baik masyarakat Malaysia kepada kenderaan hibrid menambah lagi keyakinan kepada syarikat," katanya pada majlis pameran inovasi BMW di Kuala Lumpur.

BMW Active Hybrid 3 dijual pada harga di atas jalan (OTR), tanpa insurans dengan BMW services ialah RM538,800 seunit dan BMW Active Hybrid 5 pula ditawarkan pada harga RM648,800 seunit. Kedua harga model berkenaan dilengkapi enjin enam silinder berkuasa BMW TwinPower Turbo.

Bandar yang dipercayai tertua di Eropah ditemui

SOFIA - Beberapa pakar arkeologi menemui lokasi sebuah bandar kecil berhampiran bandar Provadia, timur Bulgaria yang dipercayai paling tua di Eropah.
Bandar tersebut wujud antara 4,700 hingga 4,200 Sebelum Masihi.
Ia terletak di sekitar sebuah kilang garam tertua di Eropah.
 
Rangka tulang milik seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak turut ditemui di lokasi tersebut.
Penemuan yang dibuat oleh kumpulan ahli arkeologi Bulgaria itu disahkan oleh saintis Jerman, Jepun dan Britain. - Agensi

Effa Owona sertai Terengganu

PENYERANG import Negeri Sembilan, Jean-Emmanuel Effa Owona yang akan tamat kontrak dengan pasukan itu hujung bulan depan bakal mengetuai jentera serangan pasukan Terengganu musim depan.
Pemain berusia 29 tahun itu yang pernah beraksi dalam Liga Perancis dan Liga Emiriyah Arab Bersatu (UAE) juga yakin dapat menunjukkan prestasi lebih baik apabila menganggotai skuad Terengganu kelak.
Keyakinan tersebut diluahkan penyerang kelahiran Cameroon itu yang berjaya merekodkan 24 jaringan daripada 30 perlawanan dalam tempoh semusim ketika bersama Negeri Sembilan.
 
"Saya juga kenal beberapa pemain di sini (Terengganu) dan saya yakin saya boleh melakukan lebih baik daripada apa yang saya lakukan sebelum ini," katanya.
Owona ditemui selepas menandatangani kontrak bersama skuad Penyu di pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di Kuala Terengganu semalam. Hadir pada majlis itu, pengurus pasukan, Marzuki Yusof.
Kontrak Owona selama setahun bersama skuad Penyu akan berkuat kuasa mulai 1 Disember depan tetapi dia akan mula menjalani latihan bersama pasukan baharunya itu lebih awal iaitu pada 25 November nanti.
 
Sementara itu, menurut Marzuki, selain Owona, Terengganu juga akan mengumumkan pemain import kedua mereka yang akan beraksi di posisi pertahanan minggu depan.
"Kita akan adakan ujian pemilihan pada 7 November ini untuk mendapatkan seorang lagi pemain import dan setakat ini, enam atau tujuh pemain luar termasuk dari Brazil, Congo dan Ghana telah dikenal pasti untuk mengisi posisi tersebut.
"Kita akan tengok dan buat penilaian bersama. Saya yakin menjelang minggu depan, perkara ini (urusan pengambilan pemain import) akan selesai," katanya.
Jelasnya, beberapa pemain tempatan juga telah dipilih untuk menjalani sesi pemilihan bersama skuad Penyu musim depan, namun beliau enggan mendedahkan nama pemain berkenaan buat masa ini
 
"Apa yang penting ialah kita sasar untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim depan," katanya.

Peneroka Terengganu dapat dividen RM2.6j

SETIU - Seramai 7,459 peserta Felda Wilayah Terengganu menerima dividen Felda Global Venture Holdings (FGVH) bernilai lebih RM2.6 juta daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di sini semalam.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, setiap peserta akan menerima RM365 seorang.
"Pemberian dividen ini menggambarkan Felda sentiasa prihatin terhadap nasib peneroka di Terengganu," katanya selepas majlis penyampaian dividen berkenaan dan korban sempena Hari Raya Aidiladha di Felda Chalok Barat di sini.
 
Turut hadir, Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad dan Pengurus Besar Wilayah Terengganu, Abdul Malik Abdul Rani.
Mohd. Isa berkata, tahun ini, Felda membelanjakan RM45 juta untuk membayar dividen FGVH kepada seramai 112,635 orang peneroka di seluruh negara.
Seorang peserta, Tengku Heng Ku Besar, 45, berkata, penyerahan cek dividen FGVH itu membuktikan Felda benar-benar jujur dan sekali gus menolak dakyah pembangkang.
 
Bagi ketua peneroka Felda Wilayah Terengganu, Mansor Mamat, 36, peneroka tidak harus mendengar hasutan pembangkang sebaliknya harus terus bekerja untuk generasi akan datang dan bersyukur kerana berada di tahap sekarang.

Ditipu: Pagi raya masih dalam bas

ALOR SETAR 28 Okt. - Kegembiraan beberapa penumpang bas dari Kuala Lumpur untuk balik ke Sungai Petani bagi menyambut Aidiladha bertukar malang apabila ditipu oleh sebuah syarikat bas ekspres yang hanya menghantar mereka ke Butterworth, Pulau Pinang.
Seorang penumpang, Nor Farhani Che Ad, 23, mendakwa, dia dan tiga penumpang lain menaiki bas pukul 11.30 malam Khamis lalu di Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur (UTC KL) dan sepatutnya sampai pukul 4 pagi Jumaat di Sungai Petani.
 
Bagaimanapun menurutnya, bas tersebut mula bergerak lewat iaitu pukul 2 pagi Jumaat dan apabila tiba di Butterworth 8.30 pagi, pemandunya memberitahu kenderaan tersebut tidak pergi ke Sungai Petani.
 
"Saya dan penumpang lain diberikan RM5 seorang sebagai tambang menaiki bas lain untuk ke Sungai Petani oleh pemandu itu yang kemudian turut mengambil tiket kami untuk mengelakkan penumpang mengadu hal kepada pihak berkuasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sultan Kelantan mencemar duli sempurna korban

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan menyempurnakan majlis korban di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, hari ini.

Baginda yang mengenakan baju T-shirt berwarna merah tiba di majlis tersebut kira-kira jam 12.15 tengah hari dengan diiringi pasukan keselamatan.

Turut menyertai baginda ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra, kerabat diraja Kelantan dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Acara tahunan kali ini menyaksikan sebanyak 49 ekor lembu dikorbankan sempena dengan sambutan Aidiladha.

Daripada jumlah tersebut, dua ekor disumbangkan oleh Sultan Kelantan dan seekor lagi oleh Tengku Mahkota.

Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Che Hamat Che Muda berkata, daging korban tersebut akan diagih-agihkan kepada fakir miskin melalui  masjid-masjid di  Kota Bharu dan Masjid Muhammadi.

"Dianggarkan 4,000 bungkus daging akan diagihkan bermula tengah hari ini," katanya kepada pemberita.

Pada majlis tersebut Sultan Kelantan turut mencemar duli menyempurnakan sendiri majlis tersebut termasuk menyembelih sendiri dua lembu korban disumbangkan baginda.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Agihan pendapatan AHB 3.25 sen seunit - PHB

KUALA LUMPUR 24 Okt. - Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan interim sebanyak 3.25 sen seunit untuk para pemegang unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB).
 
Agihan itu melibatkan anggaran pembayaran kira-kira RM31 juta kepada para pemegang unit amanah berkenaan, iaitu untuk kali kedua berakhir 30 September lalu.

BMW lancar dua model hibrid terbaharu - ActiveHybrid 3 Series dan 5 Series

KUALA LUMPUR 25 Okt. - BMW Group Malaysia buat kali pertama telah melancarkan dua buah model hibrid terbaharu iaitu ActiveHybrid 3 Series dan 5 Series di pasaran tempatan.
 
Kedua-dua model berkenaan masing-masing dijual pada harga RM538,800 dan RM648,800 sebuah tidak termasuk insurans.
Orang ramai kini boleh melihat model baharu berkenaan di tingkat 3, Pavilion. Turut dipamerkan adalah kereta konsep BMW Vission Connected Drive yang menjadi perhatian pasaran automotif dunia.