Pages

Komen untuk apa?: Rajagobal

Petaling Jaya: Pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal menegaskan dia mahu terus memfokuskan tumpuan untuk merencana strategi terbaik untuk Harimau Malaya menghadapi baki perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 meskipun jawatannya kini umpama 'telur di hujung tanduk.

"Komen untuk apa? Saya tidak terima apa-apa pun, macam mana kamu nak suruh saya komen. Daripada dulu saya cakap, fokus saya hanyalah untuk pasukan kebangsaan, itu saja.
"Bagaimana saya nak fikir tentang perkara ini kalau saya tidak tahu apa-apa. Fokus saya hanya pada pasukan. Saya tidak ada terima (surat pertuduhan), jadi saya tidak ada sebarang komen," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, petang semalam.


Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kelmarin mendapati kenyataan pengendali berusia 57 tahun itu yang mempertikaikan keputusan FAM membenarkan pemain import beraksi dalam Liga Malaysia (liga-M) menyalahi Artikel 88 dan akan didakwa dalam masa terdekat.

Sathia pernah dipecat

Keputusan jawatankuasa yang dipengerusikan Datuk Taufek Abd Razak itu mungkin menyebabkan dirinya dipecat sama seperti dialami B Sathianathan pada Februari 2009 selepas menyifatkan 'Liga Malaysia bukan bola sepak' susulan kekalahan skuad kebangsaan kendaliannya kepada Emiriah Arab Bersatu 0-5 dalam kempen kelayakan Piala Asia 2011.

Keputusan itu juga sekali gus menafikan spekulasi yang pengendali skuad kebangsaan berkenaan bakal terlepas hukuman walaupun mengkritik dasar FAM kerana jasanya meraih pingat emas Sukan SEA 2009 dan kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010.
Bagaimanapun, Taufek tidak mendedahkan bentuk hukuman yang bakal diterima Rajagobal namun menegaskan pihak tertuduh diberi tempoh untuk menjawab surat pertuduhan – sama ada mengaku bersalah atau tidak – yang akan diserahkan kepadanya minggu depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan