Menurut laporan dari Australia, Proton S16 akan menerima versi facelift terbaru dan akan mula dijual di sana mulai November 2011.
Versi facelift Saga FLX yang akan menggantikan model S16 bukan saja tersedia pilihan kotak gear CVT keluaran syarikat Punch Powertrain dari Belgium, malah ia juga akan memiliki ciri keselamatan baru iaitu Electronic Stability Control (ESC), ciri yang tiada pada model Saga FLX di pasaran Malaysia.
Model semasa Proton S16 di Australia boleh didapati dalam tiga varian, G, GX dan GXR. Varian G dilengkapi enjin 1.3 liter (transmisi manual sahaja) manakala GX dan GXR memiliki enjin 1.6 liter. Memiliki reputasi sebagai sedan kompak termurah di sana, kemaskini terbaru yang akan diterima nanti selain ESC dan transmisi CVT ialah dwi beg udara, ABS dan EBD.
Berkemungkinan besar S16 facelift terbaru turut menerima varian 1.6 liter dengan gear CVT, memandangkan versi FLX 1.6 CVT akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Namun alangkah baiknya jika Saga FLX dengan transmisi CVT di pasaran tempatan khususnya untuk rakyat Malaysia, terutamanya varian 1.6 liter, turut dilengkapi ciri keselamatan penting seperti ESC.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan