Pages

Annuar: Isu Mat Yo jejas tajaan

SENAWANG - Bukan hanya pres-tasi pasukan bakal terjejas, malah Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan hilang penajaan sekiranya penyerang Norshahrul Idlan Talaha berpindah ke pasukan lain.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, beberapa penaja berhasrat menarik kembali penajaan sekiranya Mat Yo tidak lagi bermain untuk pasukan pada musim depan.
"Kehilangan penajaan bermakna, kita hilang sumber kewangan. Amat sukar mencari penaja lain dalam masa singkat.

"Situasi ini turut memberi kesan terhadap pengeluaran dan penjualan jersi baru pasukan yang perlu disiapkan  60 hari sebelum musim 2013 bermula," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Penghargaan The Red Warriors Club Negeri Sembilan (TRWCNS) Meraikan Kejayaan Trebel Pasukan Bola Sepak Kelantan 2012 di Restoran Cili Merah, Taman Bandar Senawang, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah dan mantan Pengarah Kastam Sabah, Datuk Zainol Rashid.

Katanya, perkara ini amat mendukacitakan. Justeru, pihaknya terutama di bahagian komersil akan adakan mesyuarat tergempar menangani perkara ini.

"Walau bagaimanapun, kita tetap hormati pendirian Mat Yo.

"Jika tawaran diterima berbaloi, kita tidak halang pemergiannya ke pasukan baru. Cuma ia perlu ikut peraturan," katanya yang menyifatkan kes ini sebagai pertama kali berlaku di Malaysia apatah lagi melibatkan pemain berstatus bintang.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, pihaknya akan hantar surat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar memberi kelonggaran kepada Kafa dalam isu pemain import.
Katanya, tidak berbaloi membeli empat pemain import, namun hanya dua boleh digunakan dalam saingan liga tempatan. Manakala baki selebihnya digunakan untuk kejuaraan Piala AFC sahaja.
"Kita harap FAM pertimbangkan perkara ini demi kebaikan bersama memandangkan kita mewakili negara dalam kejohanan tersebut.
"Lagipun, bukan sedikit kos diperlukan untuk mendapatkan pemain import. Sekurang-kurangnya RM1 juta perlu ada untuk membeli pemain sesuai," katanya.
Pada majlis itu,  ramai hadir pada  majlis kesyukuran berkenaan  walaupun hujan renyai sejak jam 1.30 petang.

Turut diadakan kutipan derma untuk membantu keluarga mangsa yang terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan menyaksikan final Piala Malaysia 2012, iaitu Allahyarham Muhamad Saiful Daud, 19. Manakala sepupunya, Mohd Zulkarnain Mohd Yusof,18, cedera parah dalam kejadian itu.

Sambil menjamu selera menu gulai kawah, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan dikir barat oleh ahli kelab penyokong tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan