Pages

Jika untuk didik rakyat, dedah perjanjian AES

KUALA LUMPUR: Setelah bertegang urat beberapa minit hingga terpaksa ditangguhkan sidang ke sebelah petang, Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 bagi Kementerian Pengangkutan diluluskan Dewan Rakyat, petang ini.
Ia dicapai selepas dewan memutuskan untuk membuat undian belah bahagi dengan keputusan memihak kepada 78 bersetuju, manakala 49 tidak bersetuju.
Perbahasan bagi kementerian itu mula kecoh apabila isu berkaitan pelaksanaan kamera 'Automatik Enforcement System' (AES) mula dijawab Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Chor Ha.
 
Bagaimanapun, beliau enggan melayan sebarang celahan ahli parlimen yang bangun mencelah bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan AES.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa Kong mendedahkan perjanjian antara kerajaan dengan syarikat yang mengendalikan Automatic Enforcement System (AES), iaitu A.T.E.S Sdn. Bhd. dan Bina Tegap Sdn. Bhd.
 
Menurut Mahfuz, pendedahan perjanjian itu perlu dilakukan bagi membuktikan pelaksanaan AES tersebut tidak bermaksud untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.
"Jika ia untuk kebaikan rakyat, untuk mendidik rakyat, tiada apa yang perlu disembunyikan. Kita tuntut kementerian mendedahkan butiran berkenaan perjanjian antara kerajaan dengan kedua-dua syarikat terbabit," tegas beliau pada sidang media, di lobi parlimen sejurus keputusan mesyuarat selesai.
Beliau yang juga Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE), berkata beliau mengharapkan kerajaan masih mendengar suara rakyat dengan menangguhkan pelaksanaan sistem kamera AES itu sehingga segala kekeliruan dan kekaburan dapat diselesaikan terlebih dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan