Pages

Penentuan nasib Mat Yo hari ini

HARI ini, bakal diketahui 'nasib' penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha, sama ada kekal atau dilepaskan beraksi mewakili pasukan Johor, musim depan.
Ini kerana, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dijangka mengumumkan senarai 25 pemain The Red Warriors (TRW) bagi membawa cabaran juara treble itu mengharungi kancah baharu Liga Malaysia 2013.
 
Selepas kehilangan Mohd Nurul Azwan Roya yang menyertai Johor, Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Selangor), Azlan Ismail dan S Chanturu (Perak), Kafa mengorak langkah pantas dengan mencari pemain lain bagi mengisi kekosongan ditinggalkan mereka.
 
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam laporan akhbar sebelum ini memberitahu, senarai pemain dan sebahagian penaja The Red Warriors untuk musim depan itu, akan diumumkan di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, sempena perarakan tiga piala pada tarikh tersebut (hari ini).
Annuar dikatakan hanya mahu membawa masuk tiga atau empat pemain baru dan mendedahkan persiapan pasukan Kelantan sudah 95 peratus hampir siap.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan pihak Kafa giat memperkemaskan usaha memancing dua pemain T-Team, Zairo Annuar Zailani dan Mohd Faiz Subri serta pemain sayap Kedah, Mohd Khyril Muhymeen Zambri untuk menyarung jersi Kelantan pada musim depan.
 
Cuma, menjadi persoalan, adakah khidmat Mat Yo terus ditagih Kafa selepas Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) masih belum mencapai kata sepakat dalam mendapatkan tonggak utama Harimau Malaya itu.
Peminat di Kelantan mahupun di selatan tanah air pastinya tertunggu-tunggu pengumuman 'bersejarah' ini memandangkan hati Mat Yo sudah berada di Johor, biarpun masih miliki kontrak semusim di Kota Bharu.
Apakah kesudahan drama Mat Yo? Sama-sama kita nantikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan