Pages

Piala AFF - Skuad kali ini lebih baik: Raja

Kuala Lumpur: Dihujani kritikan yang meragui kemampuan skuad kendaliannya, Datuk K Rajagobal semalam bingkas mempertahankan dengan menganggap barisan kali ini adalah yang terbaik berbanding skuad yang menjuarai Piala AFF Suzuki, dua tahun lalu.

"Dari pandangan saya, pemain yang kita ada edisi ini lebih mantap dan yang terbaik berbanding sebelum ini," kata Rajagobal. "Ia akan beri kestabilan dan impak kepada pasukan, ini adalah pasukan yang boleh dikatakan kuat berbanding edisi lain."
Bakal melayan kunjungan Bangladesh yang menghuni ranking ke-171 dunia dalam perlawanan persahabatan terakhir malam ini, Rajagopal mengakui ada kelemahan yang perlu diperbaiki terutama selepas dua kekalahan kepada Vietnam (1-0) dan Thailand (2-0).


Wajib menang

Ketika peminat mengharapkan Harimau Malaya menang ketika melawan Hong Kong minggu lalu, skuad negara sekadar seri 1-1 selepas melepaskan gol mudah hasil kesilapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak pada saat akhir perlawanan.

Sehubungan itu, Rajagobal mengakui skuad bimbingannya tiada pilihan lain selain mencatat kemenangan malam ini bagi melonjakkan semula semangat pasukan dan menarik semula sokongan peminat.

"Sekarang semua pemain perlu meningkatkan momentum mereka, tunjukkan peningkatan dalam permainan berbanding sebelum ini.
"Pemain juga sedar mengenai kepentingan perlawanan menentang Bangladesh yang menjadi titik kebangkitan buat mereka. Bagi saya, esok (malam ini) penting untuk kita menang perlawanan itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan